Sifat Universal Karya Tradisional Melayu

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Jika ditelusuri karya-karya klasik atau historiografi tradisional Melayu, kebanyakannya cenderung bersifat universal atau sejagat. Permulaan karya-karya klasik ini mempunyai unsur pensejarahan tetapi tafsiran dan hipotesisnya adalah bersifat umum. Unsur pemaparan terhadap karya klasik dikatakan bersifat universal disebabkan ketiadaan nama pengarang, hipotesis yang umum, mengandungi elemen dongeng dan penglipuran, serta kritikan dan tafsirannya tidak mendalam.

Photo via: alsofwa.com
Masyarakat Melayu zaman tradisional berpendirian bahawa nama pengarang dalam sesuatu karya penulisan bukan menjadi satu keperluan. Hal ini selaras dengan perspektif sebahagian sejarawan Melayu yang menganggap tindakan tersebut bertujuan menonjolkan nilai merendah diri pengarang Melayu tradisional terhadap karya mereka. Malah, ia juga dikatakan sebagai tanda hormat kepada Sultan. Buktinya dapat dilihat daripada watak Tun Seri Lanang dalam karya Sulalatus Salatin yang menggelarkan dirinya sebagai patik.
“…maka fakir karanglah hikayat ini kama sami’ tuhu min jaddi wa abi, supaya akan menyukakan duli hadrat baginda. Maka fakir namai hikayat ini “Sulalatus Salatin” yakni “Pertuturan Segala Raja-raja.”
Karya klasik seperti Puisi-Puisi Raja Ali Haji juga turut menonjolkan sifat rendah diri pengarang terdahulu. Karya ini mengisahkan tentang Raja Belanda yang telah menghadiahkan kepada pengarang puisi ini sebuah tempat dakwat yang diperbuat daripada perak. Pengarang membahasakan dirinya sebagai “fakir maulana” yang tinggal di Kota Lama, Penyengat. Hadiah itu diterima di balairong seri pada hari Sabtu pukul sembilan pada dal- ‘ain ra-ghain (H. 1274).
Photo via: njleputh.uiwap.com
Ringkasnya, kepengarangan seseorang penulis dalam karya klasik Melayu kebanyakannya menerapkan nilai-nilai Islam yang mendorong supaya bersifat tawadhu khususnya apabila seseorang penulis atau pengkarya itu berlatarkan golongan tasawuf. Pensejarahan Melayu tradisional ini dikatakan universal kerana mengambil keseluruhan pandangan atau fikiran seseorang pengarang yang merangkumi segala aspek pengetahuan, pemerhatian dan pendirian yang menjadi dasar keilmuan atau pegangannya.


A. Samad Ahmad (Penyelenggara). 2018. Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abu Hassan Sham. 1993. Puisi-Puisi Raja Ali Haji. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mahayudin Haji Yahaya. 2000. Karya Klasik Melayu-Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Taufik Abdullah et al. 2002. Ensiklopedia Tematis Dunia Islam (Asia Tenggara). Jakarta: PT Ichar Van Hoev.


Kongsikan Bersama