*Oleh: Hasanah Taib:)
Tempoh atau rangka masa (dalam pernomboran tahun) penting demi menunjukkan permulaan dan pengakhiran sesuatu kajian sejarah. Kebanyakan pengkaji sejarah memilih untuk menetapkan tempoh kajian mereka dalam dua bentuk. Bentuk pertama adalah spesifik-spesifik. Maksudnya tahun permulaan kajian dan tahun akhir kajian kedua-duanya menjurus secara langsung/khusus atau terus kepada tahun yang dinyatakan. Contoh tajuk kajian: Pentadiran British di Perak, 1880-1890. Tajuk ini memberi gambaran atau kefahaman kepada pembaca secara jelas bahawa tempoh kajian adalah dari tahun 1880 hingga 1890 (iaitu selama 11 tahun=1880, 1881, 1882, 1883, 1884, 1885, 1886, 1887, 1888, 1889, 1890).
Bentuk kedua pula adalah spesifik-umum. Maksudnya, tahun permulaan kajian bersifsat khusus, manakala tahun akhir kajian bersifat umum. Sungguhpun demikian bentuk tempoh kajian spesifik-umum ini tetap mempunyai batas akhir tahun kajian. Kebiasaannya, perkataan “-an” akan diletakkan di belakang tahun tersebut, seperti tahun 1960-an (…in the 1960s).. Contoh tajuk kajian sejarah yang mengandungi tempoh kajian spesifik-umum ialah: Pentadiran British di Perak, 1880-1890-an. Tajuk ini memberi gambaran bahawa permulaan bagi tempoh kajian ialah tahun 1880, tetapi pengakhiran tempoh kajian ialah tahun 1890-an atau lebih tepat 1899. Maka, tempoh kajian bagi tajuk ini adalah selama 20 tahun =1880, 1881, 1882, 1883, 1884, 1885, 1886, 1887, 1888, 1889, 1890, 1891,1892, 1893, 1894, 1895, 1896, 1897, 1898, 1899.
Persoalan sampingan yang timbul berkenaan tempoh kajian adalah, bilakah sesuatu tahun itu dianggap sah sebagai pengakhiran tempoh kajian sejarah berbanding tahun semasa/sekarang? Pelajar universiti kebiasaannya didedahkan oleh pensyarah sejarah bahawa tahun akhir yang sah dianggap sebagai tempoh akhir kajian sejarah berbanding tahun semasa/sekarang ialah= 20@ 15 tahun berbanding tahun semasa. Contoh, tahun semasa ialah 2020. Justeru, tahun 2000 atau 2005 adalah tahun anggaran sah sebagai tempoh akhir kajian sejarah berbanding tahun semasa bagi pengkaji yang ingin mengakhiri tempoh kajiannya pada tahun berkenaan.