Mukti- Pejuang Melayu yang Memberi Sumbangan kepada Keluarga Diraja dan Orang Johor

  • Post category:Tokoh
Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Haji Muhammad Mukti merupakan seorang pejuang Melayu yang kurang dikenali oleh masyarakat di Malaysia. Mukti yang berasal dari Kaliwungu Hulu, Jawa menghabiskan kehidupannya sepanjang abad ke 19 demi menentang penjajahan Belanda dan British. Fasa pertama perjuangannya menjurus kepada penentangan terhadap penjajahan Belanda. Mukti ketika itu mempamerkan kesungguhannya menyelamatkan Pangeran Deponegoro (Putera Jawa) selepas ditahan oleh Belanda di Kota Magelang 1829. Kemuncak perjuangan Mukti tersebut dilihat semasa perjuangan fasa ketiganya pada tahun 1855. Mukti ditahan tentera Belanda ekoran “membantai” salah seorang pengawal Belanda penjara Ujung Pandang, Bentengsel yang memperkecilkan kematian Deponegoro.

Namun, fasa kedua adalah paling penting kerana melibatkan sumbangannya di Tanah Melayu antara tahun 1830 hingga 1850-an. Mukti yang dikenali sebagai Suman di Singapura (strategi mengelak pengecaman Belanda berikutan perjuangan awalnya bekerjasama dengan Deponegoro) merupakan orang penting kepercayaan Sultan Hussein (Sultan Johor-Riau dan Singapura)  tahun 1833. Ia bermula apabila Abdul Kadir, bakal menantu Sultan Hussein meminta Sultan Hussein membalas jasa Suman kerana membantu menyelamatkan Abdul Kadir yang diburu oleh musuh yang tidak menyenangi Abdul Kadir.

Sumbangan Suman kepada keluarga Diraja Johor berketurunan Bendahara adalah menunaikan amanat Sultan Hussein kepada kerabat dan pembesar Johor. Amanat Sultan Hussein kepada Suman ketika baginda sedang gering pada 1835 ialah mendapatkan hak bagi pewaris takhta Johor, iaitu Tengku Ali daripada British. Amanat tersebut disampaikan Suman menerusi 3 cadangan kepada kerabat dan pembesar Johor selepas kemangkatan Sultan Hussein; 1) Suman bersetuju dengan tuntutan kerabat dan pembesar supaya bayaran elaun kepada anak cucu Sultan Hussein diteruskan oleh British. 2) Mencadangkan Johor diteroka kerana melihat potensinya sebagai petempatan baharu serta alasan bahawa perjanjian antara Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman hanya melibatkan Singapura (asalnya salah satu wilayah dalam kesultanan Johor-Riau) dan pulau-pulau berhampirannya. 3) Pihak Sultan Ali dan pihak Temenggung Ibrahim (Anak Temenggung Abdul Rahman) perlu berunding ke arah kebaikan demi mengelakkan perselisiahan yang menguntungkan British. Cadangan Suman ditolak pembesar Johor/Singapura. Mereka bertegas ingin mendapatkan pengiktirafan Sultan dari British, menolak cadangan ketiga Suman, serta menyindir Suman sebagai pejuang bersenjata yang gagal di Jawa.

Suman sedar Temenggung yang menguasai Istana Teluk Belanga disebabkan pengaruh yang luas dalam ekonomi dan hubungan Temenggung dengan British bakal menjejaskan pengaruh Sultan Ali berketurunan bendahara di Istana Kampung Gelam. Justeru, sumbangan Mukti (a.k.a Suman) seterusnya adalah merelakan anaknya Mokri supaya menjadi sebahagian daripada orang penting kepada pembagunan Johor dibawah pimpinan Temenggung Ibrahim. Mokri yang asalnya ditugaskan menjadi pemungut cukai oleh Istana Kampung Gelam disebabkan hubungan erat keluarga Mukti dengan Sultan Johor ditawan oleh pasukan Istana Teluk Belanga di bawah pengaruh Temengung Ibrahim pada 1847. Temenggung Ibrahim menyerahkan Mokri di bawah jagaan Datuk Perang. Meskipun Mukti pada awalnya berniat untuk membebaskan Mokri, beliau membatalkan hasratnya itu. Ia berikutan Suman melihat Mokri di Teluk Belanga gembira di bawah pengawasan Datuk Perang lantaran keakraban Mokri dengan anak Datuk Perang iaitu Muhammad Salleh. Muhamad Salleh Perang yang menjadi penguasa ladang gambir dan lada hitam Johor selepas tahun 1875 seterusnya melantik Mokri sebagai pembantu utamanya untuk membangunkan Johor. Maka, keputusan Mukti merelakan Mokri pada hujung 1840-an dan awal 1850-an di bawah pengaruh Temenggung memperlihatkan pengorbanannya sebagai bapa demi melihat kegembiraan anaknya dalam kerjaya membantu legasi Kesultanan Johor yang baharu iaitu keluarga Temenggung. Pada aspek lain, keputusan Mukti tersebut juga menjelaskan pendiriannya sebagai pejuang apabila mengambil keputusan untuk membebaskan Pangeran Deponegoro di Penjara Bentengsel awal 1850-an. Mukti seterusnya ditahan di penjara sama tahun 1855 dan dibawa oleh Belanda sebagai tahanan ke Pulau Robben, Afrika Selatan. Sumbangan Mukti yang terakhr adalah menjadi penasihat kepada Penghulu Abdul Jabar sebagai “rakan kongsi” penerokaan  di kawasan Padang, iaitu Pesisir Pantai Barat utara negeri Johor pada 1875-1880. Jadi, Mukti adalah lambang kepada pejuang Melayu nusantara. Ini kerana tempoh beliau melibatkan diri sebagai penentang penjajah, orang kepercayaan raja, peneroka dan perantau dilakukan dalam usia muda ketika umur 20-30 tahun. Sejarah Mukti menyentak masyarakat  untuk berfikir apa sumbangan kita ketika umur tersebut…

Iskandar Dzulkarnain H.M. 2012. Nostalgia Padang. Shah Alam: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.

P/S TahuTuai berbangga dengan penulisan Iskandar Dzulkarnain ini. Sumber manuskrip Naskhah Tanjung (dari Afrika Selatan) dan Naskhah Padang (dari Asia Tenggara) dijalinkan dengan mantap bagi memberi kepuasan kepada golongan pembaca novel yang cenderung kepada kisah sejarah sebenar tokoh nusantara.


Kongsikan Bersama