Perjuangan Soekarno: PNI-PUTERA-BPUKI-PPKI

  • Post category:Tokoh
Kongsikan Bersama

*Oleh: Izyan Hanis:)

Gerakan nasionalisme awal abad ke-20 di Indonesia dirancakkan menerusi peranan yang dimainkan oleh Perserikatan Nasional Indonesia. Pertubuhan ini diasaskan oleh gabungan pelajar Indonesia yang menuntut di Bandung menerusi kelab Algemene Studie Club pada 4 Jun 1927. Antara tokoh Perserikatan Nasional Indonesia ialah Soekarno, Ir Anwari, Mr Sartono dan Mr Iskak. Perserikatan Nasional Indonesia seterusnya bertukar nama kepada Partai Nasional Indonesia (PNI).

Selaras dengan penjenamaan PNI, Soekarno dipilih menjadi pemimpin parti ini kerana populariti beliau serta memiliki sifat kepimpinan yang tinggi. Kepetahan Soekarno dalam berpidato meningkatkan lagi semangat nasionalisme pengikut PNI. Peranan PNI paling jelas ialah menuntut kemerdekaan mutlak Indonesia daripada Belanda. Soekarno telah ditangkap dan dipenjarakan oleh penjajah Belanda pada tahun 1929 berikutan dilihat sebagai ancaman kepada politik Belanda di Indonesia. Malah, pada tahun 1933, Soekarno dibuang negeri ke Irian barat oleh pihak Belanda ekoran kebimbangan Belanda terhadap pengaruh Soekarno dalam penentangannya terhadap penjajah itu.
Photo by: tirto.id (ed)

Semasa pendudukan Jepun di Indonesia pada tahun 1942 hingga 1945, Soekarno dibebaskan daripada tahanan Belanda. Beliau diberikan jawatan penting dalam pentadbiran Jepun. Contohnya pihak Jepun melantik Soekarno sebagai pengerusi Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) demi mendapatkan sokongan penduduk Indonesia menyokong Jepun dan menentang Belanda. Namun, tindakan beliau bekerjasama dengan Jepun adalah sekadar strategi untuk turut menuntut pemerintahan sendiri. Jepun seterusnya menjanjikan kemerdekaan kepada Indonesia dengan membentuk Badan Penyelidik Usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia (BPUPKI) yang mana Soekarno merupakan antara pelopor penting pertubuhan tersebut. Pada 1 Jun 1945 Sukarno menerusi ucapannya dalam BPUPKI menyampaikan lima dasar yang turut dikenali sebagai Pancasila atau rukun negara Indonesia. 

Photo by: app.emaze.com (ed)

Jepun membubarkan BPUPKI dan seterusnya menubuhkan Panitia Persiapan kemerdekaan Indonesia (PPKI) pada7 Ogos 1945 pimpinan Soekarno ke arah mempersiapkan Indonesia untuk merdeka. Selepas Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua, Soekarno mengambil peluang tersebut dan mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia dan beliau menjadi presiden pertama republik tersebut. Namun, kemerdekaan ini tidak diakui Belanda yang berpandangan kemerdekaan republik tersebut hanya dicapai selepeas berlaku Revolusi Kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945 hingga 1949.


Ahmat Adam. 2013. Melayu, Nasionalisme Radikal dan Pembinaan Bangsa. Kuala Lumpur: UniversitI Malaya.

Bernard H.M Vlekke. 1967. Nusantara: Sejarah Indonesia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.

Dirk Tomsa. 2008. Party Politics and Democratization in Indonesia. London: Routledge Taylor& Francis Group.


Kongsikan Bersama