Asia Tenggara- Satu Pengenalan

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Asia Tenggara ialah sebuah kawasan yang telah wujud beribu-ribu tahun dahulu sejak zaman prasejarah. Pentas sunda adalah kawasan asal masyarakat Asia Tenggara yang kemudiannya berpecah kerana kenaikan paras laut. Kewujudan pentas sunda membolehkan manusia bergerak bebas melalui semenanjung dan Borneo untuk ke selatan dan utara. Perkembangan zaman prasejarah yang meliputi Zaman Paleolitik, Zaman Mesolitik, Zaman Neolitik dan Zaman Logam membolehkan masyarakat ketika itu melakukan perubahan dalam kehidupan mereka dan mula mengalami evolusi menjadi masyarakat yang lebih bertamadun. Transisi zaman prasejarah juga memperlihatkan kawasan Asia Tenggara telah berkembang daripada sebuah kawasan yang terbentang luas sehingga terbentuk sebuah kawasan yang lebih terurus. Hal ini dikatakan demikian kerana, kawasan Asia Tenggara telah berjaya berkembang dan berjaya membentuk masyarakat yang berbilang kaum dan berbeza budayanya.

Photo by: indonesiawindow.com (ed)
Gelaran Asia Tenggara ini tidak wujud seiring dengan kemunculan masyarakat-masyarakat di Asia Tenggara. Namun demikian gelaran Asia Tenggara ini mula wujud ketika Perang Dunia Kedua dimana tujuan gelaran atau nama ini diberikan adalah untuk menggambarkan kawasan-kawasan yang meliputi negeri-negeri di sebelah timur tanah besar di Asia, yang terdiri daripada Semenanjung Indo China dan gugusan pulau-pulau Indonesia dan Filipina. Secara dasarnya, kawasan Asia Tenggara meliputi beberapa buah kawasan yang mempunyai bilangan masyarakat yang besar. Kawasan tersebut meliputi kawasan di negeri-negeri Tanah Besar dan negeri-negeri Kepulauan. Antara negeri-negeri yang meliputi kawasan-kawasan ini ialah seperti Indonesia, Kemboja, Tanah Melayu, Vietnam, Thailand dan Filipina. Jika dilihat dari sudut lain, Filipina hanya masuk dalam sejarah Asia Tenggara selepas ia ditakluki oleh Sepanyol pada akhir abad keenam belas.
Photo by: topsecret.fr (ed)
Sejak dari permulaan zaman tradisional Asia Tenggara sehingga munculnya zaman penjajahan Barat pada pertengahan abad ke-19, rantau Asia Tenggara telah mula menampakkan usaha-usaha dalam memperkembangkan sosiobudayanya. Dalam masa yang sama, masyarakat pada ketika itu juga telah mula untuk mengembangkan dan mengubah suai pengaruh-pengaruh asing yang ada mengikut keperluan sosiopolitik dan suasana kehidupan masyarakat tempatan. Hal ini dikatakan demikian kerana, pada ketika itu kawasan Asia Tenggara telah mula menerima pengaruh-pengaruh dari negeri-negeri luar yang meliputi pengaruh Hindu Buddha, Islam, China dan lain-lain. Peristiwa ini boleh dibuktikan melalui peristiwa indianisasi yang dibawa dari India.
Photo by: devata.org (ed)

Bermula daripada peristiwa dan proses Indianisasi tersebut, kawasan Asia Tenggara telah menjadi kawasan tumpuan buat masyarakat-masyarakat asing untuk menyebarkan pengaruh mereka. Keghairahan kerajaan luar dalam menyebarkan dan mempengaruhi masyarakat Asia Tenggara untuk amalkan pengaruh mereka tidak dapat disangkal lagi. Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan-kerajaan yang kurang terkenal khususnya di semenanjung Tanah Melayu juga turut terkesan oleh kemasukan pengaruh luar.


Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Zuliskandar Ramli. 2018. Prasejarah dan Protosejarah Tanah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kobkua Suwannathat – Pian, 1997. Asia Tenggara, Hubungan Tradisional Serantau. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

D.G.E Hall, 1997. Sejarah Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Kongsikan Bersama