Reformasi di Eropah

Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Reformasi berasal daripada perkataan reform yang membawa maksud perubahan atau pembaharuan terhadap sesuatu yang lebih baik. Ia juga merupakan satu gerakan pemurniaan agama yang berlaku pada awal abad ke-16 di Eropah. Reformasi adalah satu keadaan yang merujuk kepada pembahagian dunia Kristian kepada dua iaitu blok Katolik dan blok Protestan. Reformasi juga merupakan satu revolusi intelek yang bertujuan untuk memulihkan institusi gereja dengan penentangan penganut agama Kristian terhadap Gereja Katolik sejak abad ke-10 masihi.

Masyarakat Eropah mula mempersoal dan mengkritik amalan yang dilakukan oleh pihak gereja yang didakwa menyeleweng daripada ajaran kitab Bible. Namun, penentangan ini tidak menimbulkan pengaruh mendalam terhadap Gereja Katolik. Kritikan semakin memuncak apabila pihak Gereja Katolik menumpukan pemusatan dan peningkatan kekuasaan di bahagian tengah Itali. Penyelewengan yang dilakukan oleh pihak gereja ini membawa kepada gerakan Reformasi yang mahu membersihkan institusi gereja daripada menfokuskan hal-hal yang berkaitan dengan keduniaan.Gerakan Reformasi dipelopori oleh beberapa tokoh antaranya ialah Martin Luther, Ulrich Zwingli dan John Calvin.
Photo via: vancechristie.com
Gerakan Reformasi bermula di Jerman oleh Martin Luther iaitu seorang profesor teologi dari Universiti Wittenburg. Luther dilahirkan pada tahun 1483 dan pernah menuntut di University of Erfurt. Beliau amat menitiKberatkan soal keselamatan dan kepercayaan kepada Tuhan. Martin Luther juga menentang ajaran yang kolot, perbuatan rasuah dan penyelewengan dalam agama. Beliau juga telah mengkritik penyalahgunaan kuasa oleh Paus Rom. Menurutnya, hanya kitab suci sahaja yang wajib dirujuk oleh penganut Kristian dan tidak memerlukan sebarang pengantaraan dengan Tuhan. Antara penulisan yang dihasilkan oleh beliau ialah Address to the Christian Nobility, Babylonian Captivity of The Church dan sebagainya. Antara maklumat dalam Babylonian Captivity of The Church yang ditulis dalam bahasa Latin ialah beliau telah mengurangkan jumlah sakramen (doa Tuhan) dari tujuh menjadi dua, menolak doktrin Transubstantination dan banyak lagi.
Photo via: blogs.ancientfaith.com
Martin Luther juga telah menulis 95 tesis bagi menentang penjualan siji Indulgences. Sijil Indulgence merupakan penjualan surat pengampunan dosa yang dilakukan oleh pihak gereja kepada penganut Kristian yang ingin bertaubat daripada melakukan perbuatan mungkar. Penentangan terhadap penjualan sijil Indulgence sinonim sebagai perjuangan popular yang dilancarkan Luther. Tesis yang menentang penjualan Indulgence dilekatkan oleh Luther di pintu gereja Wittenburg pada tahun 1517 dan beliau berani mempertahankan tesis ini. Pendirian Luther ini seterusnya mengancam kedudukan gereja dan membawa kepada kemunculan mazhab Protestan.
Photo via: historylearningsite.co.uk
Gerakan Reformasi kemudiannya tersebar luas di beberapa buah negara. Antaranya ialah England dan Switzerland. Pemimpin ajaran reformasi di Switzerland ialah Huldreich Zwingli. Selepas beliau meninggal dunia, gerakan Reformasi diteruskan oleh John Calvin, pelajar undang-undang di Switzerland. Beliau berpendapat bahawa adalah penting seorang penganut Kristian mengenali Tuhan. Menurut Calvin, untuk mengetahui Tuhan, seseorang individu perlu merujuk kepada kitab Bible sebagai rujukan. Manusia juga dikehendaki mengamalkan cara hidup berdisiplin dan menolak sebarang kegiatan yang memberikan keseronokan semata-mata.
Jayaudin Jamaudin. 2002. Tamadun Dunia Hingga Tahun 1800. Kuala Lumpur: Longman Malaysia.

Kongsikan Bersama