China: Kejatuhan Monarki kepada Republik- Sekilas Pandang

Kongsikan Bersama

*Oleh: Hasanah Taib:)

Tahun 1908 Maharani Dowager Tzu Hsi yang terkenal dengan memerintah China secara belakang tabir telah meninggal dunia. Puyi (juga disebut Maharaja Hsuan Tung) yang berumur tiga tahun dilantik menjadi Maharaja China terakhir oleh Tzu Hsi sebelum kematiannya.

Photo via: news.ucsb.edu
China semakin lemah dan rakyat pula semakin giat menyokong serta melancarkan pemberontakan menggulingkan dinasti Manchu menerusi Revolusi China 1911. Sun Yat Sen, pelopor kepada tercetusnya Revolusi China dalam dan luar negara, dilantik menjadi Presiden Republic of China dalam tempoh yang singkat iaitu sekadar dua bulan sehingga 13 Februari 1912. Sun Yat Sen kemudiannya berunding dengan Yuan Shih Kai yang mendapat kepercayaan penuh dari pegawai atasan China menjadi Presiden Sementara Republic of China 14 Februari 1912.
Photo via: sutori.com
Pada Ogos 1912 Parti Kuomintang (Parti Nasionalis) ditubuhkan oleh Sun Yat Sen dan Sung Chiao Jen sebagai penjenamaan kepada parti revolusi sebelumnya iaitu Tung Meng Hui. Yuan Shih Kai bertindak mengharamkan Kuomintang disebabkan beliau masih memiliki jiwa feudalist. Ia berikutan beliau sebelum 1912 merupakan orang kuat kepercayaan pemerintah Dinasti Manchu dengan pelbagai jawatan penting. Keadaaan ini menyebabkan Yuan Shih Kai membubarkan Kuomintang dan melantik dirinya sebagai Maharaja China sekitar tahun 1915 hingga 1916. Yuan Shih Kai meninggal dunia Jun 1916. Bermula 1916 hingga 1928 China dianggap sebagai separa merdeka. Ini kerana pengaruh Republic of China menerusi kepimpinan Kuomintang hanya kuat di bahagian selatan China. Manakala di bahagian utara China terdapat golongan warlord atau hulubalang-hulubalang yang sering bertelagah; warlord memerintah berdasarkan puak di wilayah masing-masing. Antara warlord terkenal ialah Chang Tso Lin yang memimpin puak Fengtian.
Photo via: marxistleninist.files.wordpress.com
Tahun 1919, Gerakan 4 Mei tercetus. Ia merupakan demonstrasi besar-besaran pelajar China dari Universiti Peking untuk menuntut hak kedaulatan China terhadap wilayah Shantung dari Jepun. Tuntutan mereka berjaya. Kesannya, peristiwa ini mengukuhkan kedudukan Kuomintang dan golongan pelajar menyalahkan warlord berikutan gagal mempertahankan kedaulatan China dari perjanjian dengan kuasa asing sebelum demonstrasi diadakan.
Photo via: spartakus.fandom.com
Justeru, Jeneral Kuomintang pimpinan Chiang Kai Shek bertindak memimpin Ekspedisi Utara untuk menjatuhkan warlord yang kukuh di utara China. Kuomintang berjaya menghapuskan warlord satu persatu. Bahagian utara dan selatan China disatukan sebagai sebuah negara Republic of China pimpinan Presiden Chiang Kai Shek 1928, menerusi pengaruhnya yang kuat dalam Kuomintang. Namun di dalam parti Kuomintang, kepimpinan dan ahlinya berpecah kepada dua kumpulan; iaitu pro kepada Kuomintang sendiri dan pro kepada Parti Komunis China (PKC) yang dipimpin oleh Mao Tse Tung. Markaz PKC yang kian kukuh di wilayah Jiangxi (bahagian selatan tenggara China) menimbulkan kebimbangan kepada Chiang Kai Shek sebagai Presiden Republic of China.
Photo via: hwcwoodard.weebly.com
Pada Oktober 1934 hingga 1935 berlakunya Long March atau Perjalanan Jauh. Ia bermula apabila Chiang Kai Shek mengerahkan hampir sejuta tentera Republic of China untuk menghapuskan pengaruh komunis di wilayah Jiang Xi. Mao Tse Tung mengarahkan tentera PKC berundur dan menuju ke di wilayah Shanxi (Utara China). Peristiwa ini dinamakan sebagai Long March berikutan tentera PKC mengambil masa setahun untuk sampai ke utara China dan hanya 30 ribu daripada 100 ribu tentera PKC selamat sampai ke destinasi tersebut.
Photo via: hkirstenhis12.weebly.com
Perang Saudara antara Kuomintang dan PKC berlarutan selepas Perang Dunia Kedua, meskipun mereka bersatu menentang Jepun tahun 1937 hingga 1945. Perang Saudara tahun 1946-1949 pula menyaksikan tentera PKC pimpinan Mao Tse Tung berjaya mengalahkan tentera Kuomintang. Mao Tse Tung mengisytiharkan beliau sebagai Presiden People’s Republic of China (PRC) tahun 1949 menerusi PKC. Manakala, Chiang Kai Shek melarikan diri bersama tentera dan pengikutnya menubuhkan negara Taiwan. Chiang Kai Shek meneruskan legasi Republic of China (ROC) pimpinan Parti Kuomintang di Taiwan.

Kongsikan Bersama