Dalam sektor kerajaan contohnya, apabila PKP dijalankan maka budaya dan konsep bekerja dari rumah dititikberatkan. Walaupun amalan ini merupakan norma baharu dalam masyarakat, namun golongan penjawat awam segera mengadaptasi dan menyesuaikan diri sehingga semua urusan penting kerajaan dan sektor perkhidmatan kepada rakyat terus berjalan seperti biasa walaupun pejabat terpaksa ditutup. Malah, pelbagai kemudahan dalam talian yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan seperti permohonan atau penggunaan borang dalam talian memudahkan urusan pekerjaan penjawat awam dan urusan pengguna.
Sungguhpun demikian, penularan wabak Covid-19 juga mencerminkan kewujudan “mitos globalisasi” terutamanya dari aspek liberalisasi politik, ekonomi dan sosial. Dalam erti kata lain, globalisasi iaitu proses interaksi antara masyarakat dunia, syarikat-syarikat gergasi tanpa sempadan, keseragaman atau penyatuan negara-negara peringkat global dalam menangani wabak ini kurang berkesan. Ia berikutan masyarakat dunia terpaksa merujuk kembali kepada inisiatif kerajaan mereka sendiri untuk memelihara kesihatan dan melindungi keselamatan seperti yang diutarakan oleh Prof Madya Dr Amran Muhammad. Penerimaan penduduk di negara-negara Asia seperti China, Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Malaysia dan Singapura terhadap inisiatif kerajaan masing-masing mendepani wabak Covid-19 dilihat lebih positif atau lebih baik berbanding negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS), Itali, United Kingdom (UK), Jerman, Perancis, Sepanyol, Belanda dan Kanada. Hal ini jelas memaparkan bahawa negara-negara Barat yang sinonim sebagai penyokong globalisasi, liberalisasi dan demokrasi dan hak-hak asasi manusia tidak semestinya lebih baik persediaannya dalam menghadapi penularan wabak Covid-19 berbanding negara yang sering dianggap tertutup atau tidak mengamalkan prinsip kebebasan berdasarkan acuan Barat.
Menurut Prof Madya Dr Amran Muhammad kebanyakan negara dan penduduk tanpa kekuatan sains, teknologi dan inovasi pada abad ke-21 tidak boleh memahami dan mendepani ancaman atau cabaran semasa. Negara dan penduduk tanpa kekuatan institusi serta integriti politik juga tidak mampu mengendalikan ancaman dan cabaran semasa dengan efektif. Sehubungan itu, gabungan antara kekuatan sains, politik dan agama dilihat lebih praktikal dan rasional khususnya bagi mendepani wabak pandemik luar jangka seperti Covid-19 atau cabaran lain yang akan menyusul. Ilmu dan kepakaran sains, dasar politik dan agama perlu dilaksanakan secara seimbang tanpa menjadikan satu bidang tersebut mendominasi yang lain dalam mewujudkan masyarakat berdaya saing terhadap cabaran semasa dan akan datang.