Cubaan China Bangkit dari Tekanan Barat, 1861-1895

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Kegagalan China dalam Perang Candu dengan pihak Barat pada pertengahan abad ke-19 menyebabkan China berusaha bangkit untuk mengukuhkan kedudukan politik, ekonomi dan sosialnya. Gerakan Menguatkan Diri (GMD) atau Yang Wu Movement tahun 1861 hingga 1895 merupakan bukti China berusaha mempertahankan kedaulatan negaranya. GMD juga adalah manifestasi usaha China untuk memodenkan negaranya seiring dengan Barat serta berjaga-jaga dengan kekuatan Barat.

Ia ekoran tokoh-tokoh pengasas GMD seperti Putera Kung, Lee Hung Chang dan Liang Chi Chao menyedari China perlu maju dan mengubah persepsi lama Middle Kingdom yang mempertahankan dasar tutup pintu atau pemencilan/isolasi daripada kuasa Barat. Kedatangan pihak Barat seperti British dan Amerika Syarikat contohnya telah mencabar China khususnya selepas China menghadapi kekalahan dalam Perang Candu I (1839-1842) dan Perang Candu II (1856-1860) sehingga mencetuskan perjanjian perdagangan yang memihak kepada Barat.
Photo by: boxeraufstand.com (ed)
Antara usaha China dalam GMD ialah menubuhkan Tsungli Yamen pada tahun 1861. Tsungli Yamen merupakan pejabat pengurusan perhubungan awam. Ia turut dikenali sebagai pejabat hubungan luar (foreign office). Tsungli Yamen yang ditubuhkan oleh Putera Kung bertujuan untuk memulihkan hubungan China dengan pihak luar. Ia lanjutan kepercayaan Putera Kung bahawa China perlu bertolak ansur dengan pihak Barat.
Photo by: christiantoday.co.kr (ed)
Di samping itu, penubuhan Tung Wen Kuan tahun 1862 juga merupakan usaha China dalam GMD. Tung Wen Kuan merupakan institusi atau kolej penterjemahan. Penubuhannya bertujuan mendedahkan pegawai China untuk mempelajari bahasa asing. Ia juga memaparkan penerimaan China terhadap Perjanjian Tientsin yang mencadangkan China menggunakan Bahasa Inggeris semasa menjalankan rundingan dengan pihak Barat. Tung Wen Kuan juga merupakan usaha China agar tidak bergantung dengan penterjemah luar seperti H.N Lay.
Photo by: faroutforays.com (ed)
China turut menitikberatkan penghantaran pegawai-pegawainya ke luar negara dalam usaha GMD. Pegawai-pegawai China dihantar ke luar negara untuk mempelajari teknologi Barat. Pelajar-pelajar China pada tahun 1870 hingga 1880-an dihantar ke Amerika, Britain dan Perancis demi mencapai tujuan tersebut.
Photo by: shanghaitours.canalblog.com (ed)
Bidang pertahanan turut diberi perhatian dalam GMD. Tokoh pelopor GMD seperti Lee Hung Chang beranggapan kelemahan China adalah disebabkan kekurangan tenaga canggih seperti Barat. Sehubungan itu, gudang-gudang senjata dibina bagi mempersiapkan China dari aspek keselamatan. Malah terdapat limbungan kapal dibina dikenali sebagai Kiangnam Arsenal.
Photo by: wikiwand.com (ed)
Dalam bidang ekonomi, China mengamalkan konsep persyarikatan dalam usaha GMD. Konsep tersebut berteraskan kepada visi “government supervision and merchant operator”. Dalam erti kata lain, konsep persyarikatan dalam GMD merupakan gabungan usaha kerajaan sebagai penyelia kepada ekonomi dengan bantuan pihak swasta/saudagar dalam menguruskan sesebuah syarikat atau perdagangan. Pada tahun 1872 misalnya, Lee Hung Chang menubuhkan Syarikat Perkapalan Wap Saudagar China.
Photo by: univie.ac.at (ed)

Bidang pengangkutan dan perhubungan juga penting dalam usaha GMD. Syarikat Jardine Matheson & Cooperation telah bekerjasama dengan kerajaan menubuhkan landasan kereta api pertama pada tahun 1876. Malah, pada tahun 1881 telegraf yang menghubungkan wilayah Tientsin dengan Shanghai dibina. Tindakan ini diharapkan China dapat memudahkan penyaluran maklumat kerajaan bagi memperkukuhkan sistem komunikasi di China.

Kesimpulannya GMD yang berlangsung tahun 1861 hingga 1895 memaparkan komitmen China dalam memodenkan negara setanding dengan Barat meskipun ia memperlihaktan kegagalan apabila wujud pula gerakan selepas GMD, seperti Gerakan Pembaharuan 100 Hari pada Jun hingga September 1898.

Sumbangsih Nota Kuliah Al-marhum Dr. Azhar Mad Aros (Pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya). 2014.

Chong Yock Sin. 1977. “The ‘Self Strengthening’ Movement”. dlm The History of South-East, South, and East Asia: Essays and Documents. Khoo Kay Kim (ed). Kuala Lumpur: Oxford University Press. 329-335.


Kongsikan Bersama