Dasar Serantau Britain di Asia Tenggara Selepas 1945

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Jariah Sukimin:)

Usaha Britain mewujudkan dasar serantau atau kerjasama dengan Asia Tenggara bermula selepas Perang Dunia Kedua yang berakhir September 1945. Kepulangan British di wilayah jajahan menimbulkan keinginan mereka menjalin hubungan baik dengan negara Asia Tenggara yang memperlihatkan situasi kemuncak nasionalisme rakyat tempatan. Usaha British pada peringkat awal dalam menjalankan hubungan serantau dengan Asia Tenggara dilihat menerusi strateginya meneruskan penglibatan atau rancangan Western Union di Asia Tenggara. Western Union merupakan gabungan kuasa-kuasa Barat meliputi Britain, Perancis, Belanda, Belgium, dan Luxembourg pada tahun 1948. Tujuan ia ditubuhkan ialah sebagai membentuk jaminan keselamatan daripada bahaya komunis yang meluas ancamannya di Eropah. Western Union juga ditubuhkan bertujuan mengumpul sumber bahan mentah dan makanan untuk manfaat negara-negara jajahan Eropah.

Photo by: thinglink.com (ed)
Penubuhan Western Union, meningkatkan pula persepsi negatif masyarakat antarabangsa terhadap Britain. Pertama, Britain seolah-olah memperlihatkan kecenderungannya menjadi ketua dalam Eropah sedangkan kedudukannya terancam dengan pengaruh Amerika Syarikat yang kian meningkat. Rancangan menggerakkan Western Union di Asia Tenggara dianggap oleh masyarakat antarabangsa sebagai tidak relevan. Ia didorong oleh persepsi penduduk Indonesia, Indochina, dan Tanah Melayu melabel Western Union sebuah organisasi Eropah Barat yang berusaha melewatkan kemerdekaan atau ingin memerintah semula negara Asia Tenggara. Perkara ini dibuktikan jelas dengan tindakan Belanda yang terdesak mencadangkan agar Western Union segera digerakkan peranannya di Asia Tenggara sebagai cubaan Belanda untuk menghapuskan revolusi kemerdekaan yang dilancarkan masyarakat Indonesia sejak tahun 1945.
Photo by: vice.com (ed)
Perkembangan ini menyebabkan Britain membuat keputusan tidak menjalankan kegiatan Western Union di Asia Tenggara. Sebaliknya, Britain membuat keputusan memihak kepada masyarakat tempatan Asia Tenggara yang kian menular dengan semangat tuntutan kemerdekaan sebagai usahanya memulakan hubungan atau dasar serantau. Keputusan menjalin hubungan atau dasar serantau dengan Asia Tenggara adalah kerana Britain ingin agenda Komanwel tercapai. Menerusi agenda tersebut, bekas-bekas wilayah Britain yang merdeka bersetuju untuk menyertai persatuan Komanwel yang akan menjana manfaat kepada Britain dari segi pertahanan ataupun hubungan baik dalam ekonomi. Keadaan ini juga menggambarkan cubaan Britain membentuk satu imej kesetiaan atau memori oleh negara yang pernah dijajahnya dalam Komanwel.
Photo by: worldatlas.com (ed)

Marc Frey, Ronald W. Pruessen & Tan Tai Yong. 2004. The Transformation of Southeast Asia: International Perspectives on Decolonization. Singapore: Singapore University Press.

James P. Hubbard. 2010. The United States and the End of British Colonial Rule in Africa, 1941-1968. Jefferson: McFarland & Company, Inc.

Nicholas Tarling. 1998. Britain, Southeast Asia and the Onset of the Cold War, 1945-1950. Cambridge: Cambridge University Press.

Tilman Remme. 1995. Britain and Regional Cooperation in South-East Asia, 1945-49. London: Routledge


Kongsikan Bersama