*Oleh: Jacqueline Salomi:)
Yunani merupakan sebuah wilayah yang terletak di sekitar kawasan utara dan timur Laut Mediterranean dengan bentuk muka buminya yang bergunung-ganang dan berpulau. Oleh itu, hanya sebahagian kecil sahaja kawasan muka buminya yang boleh diusahakan dengan pertanian. Di kawasan dataran yang agak sempit, penduduk Yunani mengusahakan tanaman seperti jagung, anggur dan zaitun. Manakala, di lereng-lereng bukit pula, mereka menjalankan kegiatan menternak kambing dan biri biri.
Perkembangan pusat-pusat perbandaran yang tertumpu kepada perdagangan dan industri menyebabkan permintaan untuk bahan makanan telah meningkat menjelang abad ke-5. Sebahagian besar daripada aktiviti perdagangan di Athens menggunakan jalan laut kerana jalan darat ketika itu amat mundur. Dianggarkan pada abad ke-4, Athens terpaksa mengimport 75 peratus daripada gandum yang digunakan. Athens menerima gandum dan ternakan dari Thrace dan kawasan Laut Hitam. Manakala, barang import utama Athens ialah ikan, daging bergaram, buah-buahan, arak dan bahan mentah. Antara bahan mentah yang diimport oleh Athens ialah bahan galian, kain bulu, pakal yang dibuat daripada damar untuk menutup celah-celah papan dan fleks. Dari sebelah Timur pula hamba dan barang mewah dibawa sebagai barang pertukaran. Athens juga mengeksport minyak zaitun, perak, batu marmar, bahan buatan dan lukisan.
Athens telah beralih kepada perdagangan di laut memandangkan bentuk muka buminya yang agak sempit dan tidak memberi peluang kepada aktiviti pertanian secara giat serta sistem perhubungan darat yang agak buruk. Perdagangan luarnya berkembang pesat sekitar abad ke-7 dan ke-8 SM. Jalan-jalan laut yang digunakan dalam perdagangan selalunya di sepanjang pantai kerana kapal-kapal yang digunakan pada masa itu amat kecil dan bergantung kepada kuasa angin untuk aktiviti pelayaran. Selain itu, perdagangan lautnya turut dibantu oleh koloni-koloninya yang berada di selatan dan sekitar Laut Hitam, Mesir, Syria dan Phoenicia.
Pertumbuhan ekonomi di Athens pada asasnya disumbangkan oleh perkembangan pelabuhannya, dasar perdagangan bebas, sistem bank, insurans dan beberapa faktor lain yang berkaitan. Pelabuhan-pelabuhan utama ini memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi kerana melalui pelabuhan, barangan ekonomi diagihkan ke kawasan-kawasan lain di sekitarnya. Antara pelabuhan terpenting di Athens ialah pelabuhan Peiraens dan cukai yang dikenakan di pelabuhan ini ialah sebanyak 2% ke atas semua barangan yang diimport dan dieksport.
H. Lloyd-Jones. 1965. The Greek World. Harmondsworth: Penguin Books.
Mahdi Shuid dan Saliza Saad. 2008. Tamadun Dunia. Kuala Lumpur: Pearson.