Fakir Maulana dan Raja Belanda: Ketinggian Puisi Melayu

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Kisah antara Raja Belanda dan Fakir Maulana merupakan manifestasi daripada karya puisi berjudul Ikat-Ikatan Dua Belas Puji. Puisi tersebut mengisahkan tentang Raja Belanda yang menghadiahkan kepada pengarang sebuah tempat dakwat yang diperbuat daripada perak. Pengarang puisi membahasakan dirinya sebagai “Fakir Maulana” yang tinggal di Kota Lama, Penyengat (Kepulauan Riau-Lingga). Hadiah tersebut diterima di balairong seri pada dal- ‘ain ra-ghain (H. 1274@ 1855 M). Penghasilan puisi-puisi “tersirat makna” ini dapat dikaitkan dengan penyebaran ilmu agama selaras dengan perkembangan intelektual Islam di Nusantara pada abad ke-19. Pada tempoh tersebut, pengaruh Islam tidak hanya tertumpu kepada aspek neo-sufism seperti mana yang berlaku pada abad sebelumnya, tetapi turut berkembang sehingga membentuk ideologi politik dan kenegaraan di Alam Melayu.

Photo by: picclick.co.uk
Penggunaan nama “Fakir Maulana” oleh Raja Ali Haji dalam nukilan puisinya tersebut boleh ditafsirkan pada dua perspektif. Pertama, ia adalah gambaran perasaan rendah diri Raja Ali Haji lantaran mendapat hadiah tempat dakwat perak dari Raja Belanda. Dominasi Belanda terhadap kesultanan Riau-Lingga sejak tahun 1824 mendorong Raja Ali Haji menggunapakai nama pena Fakir Maulana atas dasar menghormati pengaruh Eropah tersebut. Pada perspektif lain, penggunaan nama Fakir Maulana bertujuan sebagai langkah waspada Raja ali Haji terhadap kuasa Belanda bagi membolehkannya terus menyumbang dalam bidang penulisan abad ke-19.
Photo by: suherlanda.blogspot.com
Kemunculan kerajaan Riau-Lingga sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan ketika itu adalah disebabkan sikap toleransi pemerintah Belanda di kepulauan Indonesia yang memberikan kelonggaran dan kebebasan kepada penganut Islam mengamalkan ibadah, termasuk menunaikan fardhu haji dan aktiviti sosial seperti perkahwinan dan adat. Maka, ruang yang terbuka ini digunakan oleh Fakir Maulana dalam berkarya.
Photo by: wikiwand.com (ed)

Oleh yang demikian, perkembangan ilmu agama memberi peluang kepada golongan intelektual masyarakat Melayu tradisional menzahirkan idea, perasaan, dan pengalaman mereka dalam bentuk puisi sebagai manifestasi sosiobudaya masyarakat Melayu abad ke-19. Puisi yang dihasilkan ketika itu berfungsi mencetuskan pemikiran masyarakat Melayu mengenai ilmu agama. Pantun, syair dan gurindam merupakan antara bentuk puisi yang merakamkan atau menggambarkan minda masyarakat Melayu berhubung kepentingan ilmu agama melalui penggunaan bahasa yang indah. Fungsinya yang bersifat didaktif dan isi kandungannya yang sarat maksud tersirat menyumbang ke arah penyuburan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat Melayu tradisional.

Arba’iyah Mohd Nor, Mohd Hanafi Ibrahim. 2015. Raja Ali Haji Pemikir Ulung Alam Melayu Abad ke-19. PTS Publications & Distributors.

Taufik Abdullah et el, 2002. Ensiklopedia Tematis Dunia Islam (Asia Tenggara). Jakarta: PT Ichar Van Hoev.

Ali al-Haji Riau. 2007. Dalam Berkekalan Persahabatan: Surat-surat Raja Ali Haji kepada Von de Wall. Kepustakaan Populer Gramedia.


Kongsikan Bersama