Isu Perundangan China Cetus Perang Candu

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Hubungan dingin antara China dan British sejak abad 19 terjadi lanjutan konflik yang dicetuskan oleh kerajaan Manchu dalam beberapa isu perundangan atau kehakiman. Berdasarkan undang-undang China, seseorang itu dianggap bersalah sehingga ia dapat membuktikan bahawa ia tidak bersalah. Tafsiran tersebut adalah bertentangan dengan konsep undang-undang Barat yang menekankan bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga kesalahannya dapat dibuktikan. Undang-undang China juga berasaskan “doktrin tanggungjawab berkumpulan”. Contohnya, jika individu yang melakukan sesuatu kesalahan tidak dapat ditemui atau dicari, maka kumpulannya bertanggungjawab secara kolektif untuk menyerahkan salah satu daripada mereka untuk menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh ahli kumpulan itu. Oleh itu, pihak British berpendapat pelaksanaan hukuman di China tidak adil dan kejam berikutan menjurus kepada penderaan atau penyeksaan.

Photo via: thecantoncitizen.com
Pada tahun 1784, seorang anak kapal dari kapal Lady Hughes telah melepaskan tembakan penghormatan apabila sampai di Whampoa, Canton. Malangnya, tembakan itu telah menyebabkan kematian dua orang rakyat China secara tidak sengaja. Kerajaan China menuntut anak kapal berkenaan dan beliau dicekik sehingga mati tanpa perbicaraan apabila diserahkan. Isu melibatkan perundangan China seterusnya berlaku pada tahun 1821 menerusi Peristiwa Terranova. Terranova meerupakan seorang kelasi kapal Emily telah dituduh bertanggungjawab atas kematian seorang wanita China. Kerajaan China menuntut beliau diserahkan dan telah menerima nasib yang sama dengan anak kapal Lady Hughes.
Kedua-dua peristiwa di atas menimbulkan bantahan-bantahan daripada kuasa-kuasa Barat terutamanya British dan Amerika Syarikat. Pengalaman tersebut menyebabkan British enggan menyerahkan kelasi-kelasi British yang bersalah dalam kes Lin Wei-hsi. Pada 7 Julai 1839, Lin telah dipukul mati oleh kelasi-kelasi British yang mabuk. Charles Elliot meminta kelasi tersebut dibicarakan mengikut undang-undang British. Namun, China menuntut agar pesalah tersebut diserahkan untuk diadili mengikut undang-undang China. Keenganan British memenuhi tuntutan tersebut menyebabkan hubungan antara kedua-dua pihak semakin renggang sehingga tercetus Perang Candu Pertama 1839.
Photo via: weaponsandwarfare.com
Isu perundangan China turut menjadi punca yang menyebabkan tercetusnya Perang Candu Kedua menerusi peristiwa kapal Lorcha Arrow. Lorcha Arrow merupakan sebuah kapal yang dimiliki oleh seorang rakyat China tetapi didaftarkan di Hong Kong. Kapal ini belayar di bawah bendera Britain dan kapten kapal tersebut merupakan seorang warga British. Pada 8 Oktober 1856, ketika kapal tersebut berlabuh di pelabuhan Canton, anggota polis China telah memberkas 12 orang anak kapal Lorcha Arrow atas tuduhan penyeludupan dan pelanunan. Pada 12 Oktober 1856, Sir Harry Parkes, Konsul British di Canton telah mengemukakan bantahan terhadap tindakan kerajaan China. Sir Harry Parkes menuntut supaya anak kapal British dibebaskan dan kerajaan China memohon maaf atas kejadian tersebut. Pada 22 Oktober 1856, anak-anak kapal tersebut dibebaskan tanpa kenyataan rasmi permohonan maaf dari kerajaan China. Pihak British tidak berpuas hati dan mengambil kesempatan ini untuk melancarkan serangan ke atas China. Jelasnya, sistem perundangan China yang dianggap kejam oleh Barat mendorong kerajaan Manchu gagal mengekalkan kestabilan politik yang akhirnya mencetuskan Perang Candu I dan II.


Immanuel C. Y. Hsu. 1995. The Rise of Modern China. New York: Oxford University Press.

Jonathan D. Spence. 1990. The Search for Modern China. New York: W. W. Norton Company.


Kongsikan Bersama