Jerman Pencetus Perang Dunia Pertama- Bhg II

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

**Oleh: Birru Aidan**

– Perubahan polisi ketenteraan Jerman kepada pendekatan agresif-ofensif tahun 1890 turut mencetuskan Perang Dunia Pertama. Pada tahun 1871 hingga 1890, Jerman tidak aktif menyertai peperangan di Eropah. Urusan diplomasi Jerman pada tempoh tersebut ditumpukan kepada pengekalan keseimbangan kuasa dalam kalangan negara-negara Eropah. Sungguhpun demikan, dasar diplomasi Jerman berubah pada awal abad ke-20 menerusi pendekatan provokasi ketenteraan. Ia ekoran tentera Jerman mula memberi perhatian serius untuk menggunakan gerakan tentera bagi mengembangkan sempadan Jerman. Pada penghujung tahun 1880 dan awal 1890-an menyaksikan ramai pemimpin tentera Jerman mempercayai bahawa ancaman sekitar Jerman perlu diatasi melalui tindakan ketenteraan bukan tindakan diplomatik. Ini diperkuatkan lagi dengan keputusan Rusia dan Perancis membentuk sekutu untuk membendung Jerman pada tahun 1894. Jerman seterusnya pada pertengahan 1890-an menumpukan cita-cita Weltpolitik dengan dengan program pembinaan kapal-kapal perang laut. Pada tahun 1897 misalnya Jerman berhasil menjadikan Shantung sebagai wilayahnya. Cita-cita Weltpolitik Jerman pimpinan William II dengan tumpuan pengembangan kuasa ketenteraan di bahagian laut menggerunkan dunia seterusnya mencabar dominasi pengaruh Britain dalam bidang ketenteraan laut.


– Pada tahun 1903, Jerman merupakan “kuasa ketuanan” yang berpotensi berpotensi di Eropah . Tentera Jerman merupakan tentera paling kuat di Eropah ketika itu. Tempoh tersebut membolehkan Jerman memiliki keyakinan untuk mencetuskan peperangan bagi menambah lagi kuasanya. Penglibatan Jerman dalam Perang Dunia Pertama juga adalah kerana Jerman kurang menyenangi penguasaan kententeraan laut British di English Chennel dan North Sea. Hakikatnya kuasa-kuasa besar di Barat bimbang, takut, serta saling mencurigai antara satu sama lain. Sebuah kuasa besar tidak mampu menyerang dua kuasa besar lain merangkap musuhnya. Malah pembentukan sekutu adalah penting sebagai prasyarat meneruskan kelangsungan politik sesebuah kuasa besar. Jerman pada tahun 1905 misalnya memulakan Rancangan Schlieffen iaitu satu rancangan serangan Jerman ke atas Rusia dengan syarat mengalahkan Perancis terlebih dahulu. Jerman memulakan krisis besar terhadap Perancis di Morocco pada Mac 1905 bertujuan memencilkan Perancis daripada Britain dan Rusia. Kekalahan Rusia terhadap Jepun tahun 1904-1905, dan krisis Morocco yang dicetuskan Jerman terhadap Perancis 1905 merupakan satu persekitaran negatif yang dialami kuasa-kuasa besar berkenaan. Ini menyebabkan Britain membentuk Triple Entente bersama Rusia tahun 1907 sebagai kesinambungan pembentukan sekutu oleh Rusia dengan Perancis tahun 1894. Cubaan kedua Jerman mencetuskan krisis di Morocco pada Julai 1911 turut menemui kegagalan seterusnya memperkukuhkan Triple Entente.


– Komander tentera Jerman seperti Moltke dan Ludendorff pada tahun 1912 pula memberi tekanan kepada kerajaan Jerman supaya menggunakan peperangan sebagai matlamat menghalang kecenderungan Rusia mengembangkan ketenteraannya di masa hadapan. Menurut Berghahn, mesyuarat antara Kaisar William II dengan Ketua Kakitangan Jeneral (General Staff) Jerman pada Disember 1912 memutuskan bahawa peperangan tidak dapat dielakkan dan lebih baik dipercepatkan. Pada tahun 1913, Perancis memperkasa kerahan tenaga tenteranya. Tentera Rusia pula melaksanakan program pengembangan wilayah. Jerman merasa tercabar. Justeru, Jerman pada 5 Julai 1914 berjanji memberi sokongan kuat kepada Austria-Hungary, sekiranya Rusia membantu Serbia melancarkan serangan balas oleh Austria-Hungary lanjutan pembunuhan Franz Ferdinanad, 28 Jun 1914. Apabila Jerman mengambil keputusan untuk menyerang Perancis melalui Belgium pada 3 Ogos 1914, Britain dengan segera membantu tentera Perancis bagi menggagalkan Rancangan Schlieffen. Ringkasnya, polisi agresif dan provokasi yang diamalkan oleh kepimpinan tentera Jerman sepanjang tahun 1890-1913 menjelaskan bahawa Jerman merupakan pencetus utama Perang Dunia Pertama.


Martin Gilbert. 1994. The Routledge Atlas of the First World War. London: Routledge
J. Nelson Fraser. 1917. The World at War. Oxford: Humphrey Milford Oxford University Press.
John J. Mearsheimer. 2001. The Tragedy of Great Power Politics. New York: W.W Norton & Company.
Stephen J. Lee. 1982. Aspect of European History, 1789-1980. London & New York: Routledge.


Kongsikan Bersama