Kekalahan Portugis: Belanda Terhutang Budi dengan Johor

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Pada tahun 1528 hingga 1640, Portugis seringkali mengancam Johor. Keadaan ini menyebabkan pusat pentadbiran Johor sering berpindah-randah. Portugis menakluki Kota Melaka selama 112 tahun. Oleh itu, sejak hubungan pertama Johor dengan Belanda pada awal kurun ke-17, Johor melihat mereka bakal menjadi sekutu untuk menentang musuhnya yang paling jelas iaitu Aceh dan Portugis. Sepanjang kurun ke-16, Johor menjadi mangsa serangan kedua-dua musuhnya tersebut yang berhasrat menguasai urusan ekonomi dan politik di sekitar Selat Melaka. Menurut Yahaya Abu Bakar, Aceh ingin menjadi jaguh politik dan ekonomi di Selat Melaka dengan melakukan beberapa siri peperangan terhadap Portugis pada tahun 1537, 1568, 1573 dan 1629.

Photo by: steemkr.com (ed)
Portugis juga tidak konsisten dalam menjalinkan hubungan baiknya dengan Johor ekoran menyedari bahawa pemahaman politik peribumi Johor adalah sebagai pengganti kesultanan Melayu Melaka. Perkembangan ini menunjukkan bahawa Johor perlu memastikan kelangsungan politiknya sebagai pengganti kesultanan Melaka. Maka, Portugis dan Aceh adalah musuh yang dianggap Johor mampu mengancam kedaulatannya.
Photo by: newnaratif.com (ed)
Justeru, bagi mempertahankan kadaulatannya dari kedua-dua musuh tersebut, Johor bertindak memperkukuhkan hubungannya dengan Vereenigde Osstindische Compagnie (VOC) atau Syarikat Hindia Timur Belanda, bagi memperoleh manfaat kebajikan bersama menghadapi ancaman musuh dan manfaat dari aspek perdagangan. Pada tahun 1636, risiko ancaman yang dihadapi Johor dari musuhnya memperlihatkan sedikit pengurangan, namun Johor tetap mengambil pendekatan berwaspada. Ia ekoran tahun tersebut menyaksikan kemangkatan Sultan Iskandar Muda (Raja Aceh) yang terkenal pendekatan agresif dan hubungan dinginnya dengan Johor. Pendekatan waspada Johor jelas apabila Johor bertindak menyalurkan bantuan kepada VOC untuk menyerbu kubu Portugis di Melaka. Kepungan dilakukan pada bulan Ogos 1640 dan berakhir dengan kejayaan VOC pada bulan Januari 1641. Tentera Johor ketika itu berperanan dalam membantu mengangkat alatan perang, membuat tapak meriam dan menggali kubu parit serta menaikkan semangat tentera Belanda sewaktu berhadapan dengan Portugis.
Photo by: spiceislandsblog.com
Penglibatan Johor sememangnya amat membantu Belanda dalam memperolehi kejayaan menakluki Kota Melaka. Sebagai bukti, pada tahun 1643, Antonio Van Diemen, Gabenor Jeneral Belanda telah menulis sepucuk surat kepada Lembaga Pengarah VOC. Di dalam surat tersebut dinyatakan rasa terhutang budi pihak Belanda terhadap Johor. Antonio Van Diemen menyatakan “Kita hendaklah sentiasa ingat bahawa orang-orang Johor telah memberikan sumbangan yang banyak terhadap usaha menakluki Melaka. Tanpa bantuan mereka, kita tidak akan berjaya menjadi tuan kepada kota yang kuat itu.” Sebagai membalas jasa Johor, Belanda memberikan hak istimewa kepada Johor seperti berniaga di Melaka, yang tidak diberikan kepada kerajaan-kerajaan lain. Belanda juga telah memberi jaminan perlindungan kepada Johor sekiranya Johor diserang oleh musuh tradisinya, Aceh.

Justeru, Johor telah bebas daripada ancaman musuhnya iaitu Portugis selama 112 tahun. Selepas penaklukan Belanda ke atas Melaka, Melaka hanya dianggap sebagai sebuah bandar pelabuhan di Nusantara, sementara pelabuhan entrepot di Johor semakin maju. Hal ini telah mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan Johor pada kurun ke-17.


Barbara Watson Andaya & Leonard Y. Andaya. 1983. Sejarah Malaysia. Terj. Petaling Jaya: Macmillan Publishers (M) Sdn. Bhd.

Yahaya Abu Bakar. 1999. Menanggapi Kesultanan Johor, 1511-1641 Masehi: Sudut Pandangan Sumber Portugis. Jurnal Warisan Johor. Jilid III: 57-70.


Kongsikan Bersama