Kesibukan Melaka Urus Perdagangan

Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Pada abad ke-15 Melaka telah muncul sebagai pusat perdagangan yang maju di Nusantara. Hal ini kerana Melaka terletak pada kedudukan yang strategik iaitu di tengah-tengah laluan perdagangan yang menghubungkan kawasan Timur dan Barat. Pelabuhan Melaka terlindung daripada tiupan angin monsun Barat Daya dan monsun Timur Laut menyebabkan kapal boleh berlabuh dalam semua musim dan perdagangan boleh dijalankan dalam keadaan selesa berdasarkan pernyataan Tome Pires. Selain itu, bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dapat memberi petunjuk untuk berlabuh di Selat Melaka dan menjadi benteng pertahanan semulajadi. Malah, kedudukan Melaka adalah sebagai kunci utama untuk menguasai kekayaan perdagangan.

Photo by: khleo.tripod.com (ed)

Melaka berperanan sebagai pusat pelabuhan entrepot iaitu pusat pengumpulan dagangan kerana mempunyai banyak barang tempatan untuk diperdagangkan seperti beras, timah, kaca, biji timah, sutera, teh, tembikar, lada timah, rotan, damar dan manik serta berperanan sebagai pihak tengah bagi perdagangan tukar barang dari China dan Asia Tenggara dengan Barat dan India. Hal ini kerana barang dagangan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran. Selain itu, Melaka berperanan sebagai ‘emporium’ iaitu pelabuhan yang menjalankan urusan jual beli barangan dan menjadi pasar yang menjual rempah-ratus. Kesibukan pasar dan pelabuhan digambarkan dalam buku Sulalatus Salatin,

“Maka segala dagangan bawah angin dan dagang atas angin sekaliannya datang ke Melaka, terlalulah ramainya bandar Melaka pada zaman itu. Maka segala dagang Arab dinamainya Malakat, yakni perhimpunan segala dagang, dari kerana banyak pelbagai jenis dagang ada di sana, tambahan segala Orang Besar-besarnya pun sangat saksama.”

Photo by: spiceislandsblog.com

Kedudukan Melaka sebagai pusat perdagangan menjadi penting setelah mengamalkan sistem cukai yang berpatutan terhadap barang-barang dagangan. Cukai yang dikenakan kepada pedagang-pedagang di Melaka merupakan salah satu pendapatan kerajaan. Misalnya, kapal pedagang dari India dan Arab dikenakan cukai sebanyak 6% manakala 3% dikenakan bagi pedagang tempatan. Setelah membayar sejumlah cukai, barulah boleh meneruskan urus niaga mereka di Melaka. Ini mempercepatkan proses mengangkut barangan dari kapal ke pantai dan dari pantai ke kapal kerana mudah untuk bot yang dipenuhi dengan kargo untuk membuat perjalanan pulang mereka dengan mengikuti angin monsun. Jelasnya, kedudukan geografi yang strategik menjadi pemangkin sebagai pusat perdagangan.

Ahmad Jelani Halimi. 2000. Perdagangan dan Perkapalan Melayu di Selat Melaka. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

A. Samad Ahmad (peny.). 2018. Sulalatus Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Kongsikan Bersama