Co-Hong dan Peraturan Perdagangan Manchu

Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Selaras dengan Dasar Tutup Pintu, kerajaan Manchu mengenakan pelbagai sekatan terhadap pedagang-pedagang Barat. Maharaja Chien Lung mengeluarkan arahan membataskan kegiatan saudagar-saudagar Barat di China dengan penguatkuasaan larangan untuk tidak berdagang di mana-mana pelabuhan kecuali Canton. Pihak pedagang asing yang ingin berdagang dengan China harus mendapat lesen daripada Pesuruhjaya Tinggi Perdagangan China atau dikenali sebagai Hoppo yang terdiri daripada tiga belas orang. Nama Hoppo kemudiannya ditukar menjadi Hong.

Photo: beineckelibraryatyaleuniversity/via-http://chinese-export-silver.com.gridhosted.co.uk
Pada tahun 1720, kerajaan China menubuhkan satu persatuan yang dikenali sebagai Co-Hong (Kung-hang) iaitu kesatuan saudagar-saudagar China yang menjalankan perdagangan luar negeri. Co-Hong diberikan kuasa monopoli dalam menetapkan harga barang jualan. Setiap saudagar asing mesti menjalankan perdagangan dengan seorang daripada Co-Hong. Ini bererti semua urusan jual beli hanya dapat dijalankan melalui Co-Hong. Kesatuan Co-Hong ini juga diberi hak untuk mengenakan undang-undang dan peraturan perdagangan ke atas saudagar asing. Antara peraturan yang dikenakan Co-Hong termasuklah meminta pedagang asing kebenaran kepada mereka sekiranya ingin menyeberangi Sungai Canton; menetapkan undang-undang terhadap jenis perahu yang mesti digunakan oleh pedagang Barat; peraturan berhubung pengambilan golongan penterjemah serta kawalan terhadap jenis-jenis barang yang boleh dibawa masuk ke China.
Photo: PeabodyEssexMuseum/via-brewminate.com
Selain perlu mematuhi peraturan langsung dari Co-Hong tertentu, pedagang asing juga terpaksa mematuhi peraturan langsung daripada kerajaan berhubung perdagangan. Peraturan yang dikenakan terhadap pedagang Barat ialah mereka tidak dibenarkan tinggal di Canton sepanjang tahun; mereka hanya boleh tinggal pada musim sejuk sahaja di kawasan kilang; wanita dan senjata tidak dibenarkan masuk ke kawasan perniagaan; dilarang berkahwin dengan wanita tempatan; anak dan isteri mereka harus ditinggalkan di Macao sebagai jaminan pedagang asing tidak menetap di Canton sepanjang tahun; semua nahkoda kapal hendaklah berdaftar dengan pihak berkuasa di Macao; tidak dibenarkan kapal-kapal perang balayar dalam kawasan Boque; kilang-kilang tidak dibenarkan mengambil pekerja wanita; tidak dibenarkan mengambil pekerja lelaki Cina melebihi lapan orang; akhir sekali, kegiatan perdagangan hendaklah dijalankan melalui Co-Hong. Keadaan ini menimbulkan kerumitan kepada saudagar-saudagar asing kerana semua syarat perdagangan ditentukan oleh kerajaan Manchu.
Perkembangan ini menyebabkan hubungan perdagangan antara kerajaan Manchu dengan British merosot. British dan kuasa Barat lain berusaha untuk mempengaruhi kerajaan Manchu supaya mengubah pendekatan mereka. Namun begitu, usaha kuasa-kuasa Barat untuk memujuk kerajaan China menemui kegagalan. Sikap angkuh China menyebabkan British terpaksa menggunakan kekerasan bagi memaksa kerajaan Manchu membuka pintu perdagangan kepada kuasa-kuasa Barat. Contohnya, British mengisytiharkan peperangan terhadap kerajaan China pada tahun 1839. Keadaan ini kemudiannya memberi peluang keemasan kepada British untuk mencerobohi Manchu dengan kemasukan candu.



Suffian Mansor. 2009. Sejarah China Moden. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Immanuel C. Y. Hsu. 1995. The Rise of Modern China. New York: Oxford University Press.


Kongsikan Bersama