Kesusasteraan Cham Kuno: Budaya dan Prasasti

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Kesusasteraan Cham Kuno dapat dibuktikan melalui jumpaan prasasti-prasasti di atas batu yang ditulis dalam bahasa Sanskerta atau Cham Kuno. Kesusasteraan Cham lampau yang tidak terdapat di Kemboja hanya dikesan kewujudannya di daerah Phanrang-Phanri yang terletak di Tengah Vietnam. Kesusasteraan ini dapat dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu sastera rakyat yang merangkumi Sastera rakyat (dalam bentuk lagu, pepatah dan peribahasa dan teka-teki) serta kisah dongeng dan legenda. Manakala, sastera klasik pula merangkumi kandungan berkaitan kisah epik atau kepahlawanan. Sastera adat Cham pula meliputi aspek yang menyentuh tentang moral, falsafah setempat dan hal berkaitan adat. Terdapat juga kategori sastera sejarah dan agama Cham seperti sejarah Islam atau Hindu.

Photo via: etc.ancient.eu
Sastera rakyat Cham lazimnya disampaikan menerusi lisan. Ia terdiri daripada syair lagu bukan agama, pepatah, peribahasa, serta teka-teki. Kelaziman penyampaian pepatah dan teka teki menerusi syair lagu seterusnya mengalami transisi dalam proses penyampaian. Proses transisi tersebut bermula dari amalan sebutan, ditulis, kemudian dikumpulkan dan disusun dalam satu naskhah. Syair lagu dalam kesusasteraan Cham dinyanyikan secara individu (solo) dan secara berpasangan. Nyanyian syair secara berpasangan kebiasaannya melibatkan dua individu atau dua kumpulan. Pendekatan saling membalas dalam nyanyian syair secara berpasangan dinamakan dauh pandauv iaitu “bernyanyi sambil bertanya”. Tema-tema lagu berbalasan itu terdiri daripada beraneka ragam bergantung pada keadaan sosial mereka. Contohnya, petani akan menyampaikan syair lagu berkaitan pertanian atau peristiwa seperti kemarau panjang. Golongan pemuda pula cenderung menyanyikan syair lagu berhubung cinta. Malah, peristiwa melibatkan kesengsaraan orang Cham semasa pendudukan Vietnam sering dilagukan.
Photo via: eminziki.com
Suku kaum Cham yang asal dibahagikan kepada dua kelompok. Pertama, kumpulan rumpun bahasa Austronesia yang disebut Chamik. Ia terdiri daripada masyarakat rumpun bahasa Melayu Cham serta Jerai, Rade, Cru dan Raglai. Kedua, ialah kelompok yang terdiri daripada suku kaum Ma, Mnong, Sre, Stieng dan Bahnar daripada rumpun Austroasiatik. Kerajaan Champa kaya dengan tinggalan kesusasteraan meliputi 98 buah prasasti (batu bersurat) dalam bahasa Melayu (purba/kuno); 29 buah prasasti dwibahasa (Sanskrit-Melayu), 43 buah prasasti dalam bahasa Sanskrit. Prasasti yang tertuanya dalam bahasa Melayu bertarikh sekitar kurun ke-4 Masihi dan ia mengandungi catatan kewujudan pemerintahan Melayu Cham yang bersistem. Prasasti tertua kerajaan Champa tersebut ditulis dalam bahasa Sanskrit bertarikh 192M. Batu bersurat yang mengandungi bahasa Cham merupakan antara tinggalan kesusasteraan yang terawal di Asia Tenggara. Permulaan era kegemilangan perdagangan wilayah Champa dikenalpasti melalui penemuan inskripsi tertua di Asia Tenggara dalam bahasa daerah yang dijumpai di tapak Vo Canh (Nha Trang). Kandungan inskripsi tersebut ditulis dalam bahasa Cham Tua yang diukir dengan aksara sepertimana digunakan oleh Dinasti Ikshvaka. Kandungannya tertumpu kepada tiga tingkat kelas masyarakat iaitu raja, saudara-mara dan rakyat Cham.
Ringkasnya penemuan prasasti atau batu bersurat yang mengandungi bahasa Cham kuno menggambarkan bukti keistimewaan bangsa Cham dari aspek kesusasteraan. Kesusasteraan Cham diterjemahkan masyarakatnya dalam bentuk kebudayaan yang dapat dinikmati atau disampaikan melalui tulisan, pembacaan, secara lisan dan pendengaran. Amalan kebudayaan ini menjelaskan bahawa sastera merupakan satu bidang seni kreatif yang penting. Ia berikutan perkembangan bahasa pengantar sesebuah bangsa bertitik tolak daripada inisiatif masyarakat silam mengaplikasikan hasil kesusasteraan menerusi kepelbagaian kaedah yang membolehkan realiti kehidupan mereka disampaikan.

Megandaru W. Kawuryan. 2006. Tata Pemerintahan Negara Kertagama Keratan Majapahit. Jakarta: Panji Pustaka.

Po Dharma. 1981. Kerajaan Campa. Jakarta: PN Balai Pustaka.

Zaharah Sulaiman et al. 2016. Sejarah Tamadun Alam Melayu, Asal Usul Melayu, Induknya di Benua Sunda. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Kongsikan Bersama