Kaum Muda dan Seruannya di Malaya

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Pemikiran masyarakat Melayu mengalami perubahan selepas kemunculan golongan intelektual yang mendapat pendidikan daripada Mekah dan Mesir. Kepulangan mereka ke Tanah Melayu membuka mata dan minda masyarakat Melayu dalam aspek pentadbiran politik. Keadaan di Mekah dan Mesir yang mengamalkan gaya politik yang tidak terikat dan bebas menjadikan golongan intelektual atau golongan yang dikenali sebagai Kaum Muda ini berani mengkritik pentadbiran yang dilaksanakan oleh British pada ketika itu. Golongan yang mendapat pendidikan daripada Timur Tengah menggunakan kemajuan sebagai idea utama untuk memperjuangkan pemikiran Melayu supaya lebih terbuka. Malah golongan ini mampu menerbitkan Seruan Azhar (1926-1928) yang menyingkap tentang kisah politik di Tanah Melayu ekoran daripada perbezaan pemikiran politik di Timur Tengah.

Photo by: ibrahimmayaki.com (ed)
Seruan Azhar yang diperjuangkan oleh golongan ini bertujuan untuk mengubah pemikiran masyarakat Melayu supaya bersatu-padu dan sedar keburukan akibat penjajahan yang berlaku. Golongan ini mengajak masyarakat bersatu padu kerana mereka yakin bahawa kekuatan bangsa Melayu terletak kepada kepercayaan akidah dan amalan agama Islam. Golongan intelektual dari Timur Tengah ini menggunakan Seruan Azhar untuk membincangkan pelbagai aspek bekaitan hak kebajikan umat Islam khususnya dalam perjuangan menuntut pembebasan daripada penjajah dari aspek politik. Ini juga bertujuan untuk menyedarkan masyarakat untuk memanfaatkan hasil bumi sendiri yang ada untuk kepentingan agama dan bangsa.
Photo by: infront.net (ed)
Pemikiran masyarakat Melayu yang mula memaparkan kepentingan Islam ini dikesan sejak tahun 1906 menerusi tokoh-tokoh pelopor dalam majalah al-Imam. Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin dan Syeikh Muhammad Salim Al-Kalali menerapkan seruan dakwah Islamiah di Tanah Melayu melalui al- Imam. Rencana pertama di dalam al-Imam iaitu Surat Terbuka Kepada Segala Ulama menceritakan tentang bagaimana Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin ingin membangunkan masyarakat Islam yang jauh ketinggalan daripada bangsa asing ekoran sistem pendidikan yang berbeza. Bagi beliau kemunduruan yang berlaku dalam masyarakat Melayu bukan disebabkan ketidakupayaan mereka untuk bersaing dengan kaum asing tetapi disebabkan oleh kelalaian dan kedaifan masyarakat Melayu untuk memahami ajaran agama Islam dengan lebih mendalam kerana mereka percaya bahawa masyarakat dapat diselamatkan jika diberi petunjuk kepada ajaran agama Islam yang benar. Al- Imam turut mengkritik para pemimpin Melayu, raja-raja, orang kaya-kaya, orang tua-tua yang tidak berusaha memajukan rakyat dan mengkritik pihak British yang lebih mengutamakan keuntungan yang mengabaikan masa depan masyarakat peribumi.
Golongan Kaum Tua sinonim dengan pegawai-pegawai agama yang bekerja dalam Majlis Agama Islam Negeri-Photo by: mindaahad.wordpress.com (ed)

Kaum Muda ini juga telah menubuhkan beberapa madrasah untuk menyebarkan idea dengan lebih sistematik kepada masyarakat dan menggesa untuk mewujudkan sistem pendidikan agama yang lebih liberal dengan memasukkan Bahasa Inggeris dan mata pelajaran moden disamping Bahasa Arab bagi membuka pemikiran masyarakat Melayu. Namun begitu, idea mereka mendapat tentangan daripada Kaum Tua yang terdiri daripada Ulama dan pegawai agama yang berpegang kuat kepada adat dan agama Islam. Kaum Tua telah menerbitkan akhbar Suara Benar dan Lidah Benar bagi menentang idea Kaum Muda dan ini membawa kepada pertelingkahan kecil. Hal ini menyebabkan gerakan yang dibawa oleh golongan Kaum Muda ini hanya berkembang di Negeri-Negeri Selat kerana tiada Sultan yang berkuasa di negeri tersebut. Sebaliknya, undang-undang di Negeri-Negeri Melayu lain telah menghalang kegiatan dakwah daripada Kaum Muda kerana sebarang risalah atau buku -buku daripada Kaum Muda tidak akan diedarkan tanpa kebenaran Sultan yang mana ketika itu kekuasaan Sultan sebenarnya masih dikuasai oleh pihak British.

Wiiliam. R. Roff. 1967. The Origins of Malay Nationalism. Kuala Lumpur: University of Malaya Press.

Hafiz Zakariya. 2005. Islamic Reform in Malaya: The Contribution of Shaykh Tahir Jalaluddin. Intellectual Discourse. 13(1): 49-72.


Kongsikan Bersama