Solidariti plastik membawa maksud individu yang menggerakkan solidariti itu hanya bertujuan untuk mendapatkan perhatian orang ramai semata-mata. Individu ini hanya ingin dilihat seolah-olah dia yang paling banyak berjasa dalam memperjuangkan hak-hak orang yang tertindas. Namun, mereka akan berasa sungguh kecewa apabila solidariti yang dibawa oleh mereka gagal mendapat tempat di dalam diri orang ramai. Jika solidariti itu bertujuan untuk mendapatkan ganjaran bagi diri sendiri sahaja, solidariti itu adalah palsu sedangkan solidariti ini membawa suara dan hak ramai pihak bukannya seseorang individu itu sahaja. Ringkasnya, solidariti plastik hanyalah lakonan semata-mata yang akan berakhir dengan kekecewaan dan kecederaan emosi dan jiwa apabila solidariti ini gagal secara keseluruhannya.
Membicarakan soal solidariti buta pula, penggerak kepada solidariti buta ini mempunyai semangat solidariti yang setinggi langit namun sayangnya tidak disertai dengan kefahaman yang jelas mengenai isu yang dibawa oleh mereka. Mereka hanya mengikut pihak lain yang turut bersolidariti isu yang sama tanpa memikirkan dan mencari maklumat mengenai isu apakah yang dibawa dalam solidariti itu. Hasilnya, solidariti yang dibawa oleh mereka hanya menjadi ikutan sahaja dan lahirlah sekumpulan individu yang keliru. Apabila disoal mengenai sesuatu isu itu, mereka akan mula meragui untuk menjawab sedangkan pada awalnya mereka dengan semangatnya mencanang-canang menyebarkan isu itu di hadapan orang ramai. Hal ini boleh menunjukkan bahawa solidariti itu mempunyai isi yang ingin dibawa tetapi isinya tidak kukuh dan kurang meyakinkan. Jadi dapat disimpulkan bahawa solidariti buta ini juga akan menemui kegagalan di akhirnya nanti.
Solidariti ketiga ialah solidariti konkrit. Solidariti konkrit ini membawa maksud solidariti yang dibawa tanpa mengharapkan sebarang ganjaran dan pengiktirafan daripada manusia. Mereka bersolidariti dengan sukarela dan bertindak atas kesedaran dan kefahaman mereka sendiri. Mereka tidak mahu melihat masyarakat yang ditindas terbiar tanpa sebarang jalan penyelesaian dan solusi. Solidariti mereka bukannya bertindak apabila adanya individu atau pihak lain yang bangkit menggerakkannya terlebih dahulu tetapi mereka menjadi orang pertama bertindak dalam memperjuangkan isu itu. Kefahaman yang jelas terhadap isu yang dibawa menjadikan solidariti mereka berjaya dan mendapat sokongan orang ramai yang terdiri daripada kesatuan mereka juga. Solidariti mereka jelas dan sentiasa konsisten dalam meperjuangkan isu yang dibawa.
Dalam dunia kontemporari, masyarakat dunia memperjuangkan isu-isu mereka melalui solidariti kerana suara dan hak mereka akan didengari dengan lebih jelas dan mendapat perhatian orang ramai. Sebagai contohnya, isu pencerobohan tentera India ke wilayah yang berkonflik iaitu Kashmir mencetuskan suasana ketegangan bersama seteru utamanya, Pakistan dan seluruh dunia kerana bertindak agresif terhadap wilayah yang diberikan autonomi itu. Kerajaan India telah membatalkan status autonomi tersebut dan menggantikannya dengan perlembagaan India yang sedia ada. Hal ini menjadikan wilayah Kashmir sama dengan wilayah-wilayah yang terletak di bawah pemerintahan kerajaan India. Oleh itu, wujudnya gerakan solidariti yang digerakkan oleh penduduk-penduduk wilayah Kashmir dalam mempertahankan hak kedaulatan wilayah dan kehidupan sosial mereka. Gerakan solidariti ini juga digerakkan oleh rakyat Pakistan yang mengutuk tindakan tentera India itu dan bersama-sama mempertahankan nasib penduduk wilayah Kashmir kerana mereka berkongsi ikatan yang sama daripada segi agama iaitu agama Islam.