Teknik dan Kaedah Sejarah Lisan– Filem Bukit Kepong

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Sejarah lisan merupakan satu kaedah dalam penyelidikan sejarah bagi mendapatkan serta mengesahkan kebenaran sesuatu fakta sejarah yang diperoleh. Penghasilan filem Bukit Kepong merupakan adaptasi dari kisah benar yang berlaku di balai polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. Pengarah filem tersebut, Tan Sri Dr. Jins Shamsuddin melakukan beberapa kaedah yang penting bagi merealisasikan filem ini sebelum diangkat ke layar perak.

Photo via: riziqin.blogspot.com
Antara kaedah sejarah lisan yang digunakan adalah kaedah interviewing ataupun wawancara. Kaedah ini merupakan satu elemen penting dalam memaparkan kredibiliti sejarah lisan. Hal ini kerana, wawancara merupakan satu proses mendapatkan maklumat sejarah oleh pengkaj terhadap saksi sesebuah peristiwa ataupun kejadian. Pada asalnya tradisi lisan terbahagi kepada dua iaitu tradisi lisan terkawal dan tradisi lisan tidak terkawal. Proses wawancara boleh dilakukan secara formal atau tidak formal bergantung kepada mereka yang ingin melakukan wawancara tersebut.
Photo via: goingplaces.malaysiaairlines.com
Menurut Jins Shamsuddin, penghasilan filem Bukit Kepong ini dilakukan berdasarkan fakta sejarah selepas pihaknya melakukan perbincangan terperinci dengan pihak Polis Diraja Malaysia. Menurut beliau, filem yang menjalani penggambaran pada tahun 1981 tersebut turut mendapat kerjasama daripada penduduk kampung Bukit Kepong selain temubual dengan pengganas komunis yang menyerah diri selepas insiden serangan di balai polis berkenaan. Hal ini jelas memaparkan bahawa filem ini diterbitkan selepas melalui beberapa proses sejarah lisan untuk mendapatkan fakta dan cerita yang diyakini sahih . Justeru, fakta dan maklumat yang diperolehi mampu menceritakan kisah sebenar tragedi serangan balai polis Bukit Kepong tersebut.
Kaedah wawancara juga merupakan elemen yang sangat penting dalam sejarah lisan kerana ia merupakan tradisi lisan secara turun temurun. “Good interviewers not only make good interview but they also search out the best informants to develop quality information. Some interviewers are born, some are made, and some never it regardless of how hard they try”. Hal ini selaras dengan pandangan sebahagaian sarjana yang bersetuju bahawa wawancara yang terbaik ialah mereka boleh mendapatkan maklumat yang banyak, berguna, tepat dan tidak menokok tambah dalam maklumat yang diberikan oleh responden atau saksi kejadian.
Photo via: airshowmastering.com
Selain itu, pemilihan saksi kata dengar juga merupakan penentu kepada kejayaan maklumat yang diperoleh dalam sesebuah wawancara. Bagi merealisasikan filem ini, Jins Shamsuddin turut mendapatkan keterangan daripada keluarga anggota komunis yang melakukan serangan ke atas balai polis tersebut. Pengarah filem ini mengakui bahawa keluarga anggota komunis dalam peristiwa sebenar meminta agar watak tersebut tidak ditonjolkan ekoran serangan tersebut diketuai olehnya. Maka, jelaslah bahawa penghasilan filem ini adalah berasaskan fakta sejarah yang diperoleh dan nasihat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bukannya direka sendiri untuk tujuan komersial. Pada masa sama ia turut mementingkan pemeliharaan sensitiviti atau maruah individu yang terlibat.
Antara tahap persediaan yang dilakukan oleh penerbit adalah berhubung pemilihan responden. Dalam menelusuri autoriti sejarah lisan yang tidak diragukan, maka kaedah yang perlu diimplementasikan dalam penghasilan filem tersebut adalah memilih saksi atau responden yang dikenali dan mempunyai pengkhususan maklumat untuk diceritakan. Responden juga dipilih dalam kalangan mereka yang kuat ingatan serta mempunyai butiran maklumat yang masih belum direkodkan sebagai sumber rujukan.
Photo via: fernhurstsociety.org.uk
Pemilihan saksi atau responden juga dinilai berdasarkan dua kriteria iaitu umur dan kesihatan mental. Dari segi umur, minimum responden yang sesuai untuk diwawancara adalah 15 tahun sewaktu peristiwa sejarah itu berlaku. Oleh itu, jika responden bercerita tentang peristiwa yang terjadi pada tahun 1950, maka sekurang-kurangya responden tersebut hendaklah lahir pada tahun 1935 atau sebelumnya. Pemilihan kedua pula adalah berdasarkan kesihatan mental kerana ia merupakan syarat utama yang harus dimiliki oleh responden. Status kesihatan mental penting ekoran mengukur kemampuan responden menyampaikan sejarah lisan dengan mengingati sesuatu peristiwa yang dianggap sejarah penting di dalam memorinya.
Hakikatnya, kaedah penyelidikan dengan mendapatkan keterangan saksi mata (eye-witness) yang terselamat daripada serangan tersebut dan autoriti saksi kata dengar telah berjaya menghasilkan skrip yang membolehkan semua pihak berpuas hati dengan penghasilan filem Bukit Kepong. Peranan anggota polis sendiri dalam membantu proses penyelidikan mendorong kebanyakan pihak mengesahkan perjalanan filem yang diarahkan oleh Jins Shamsuddin.
Photo via: lobakmerah.com
Ringkasnya, bagi memastikan penghasilan filem yang diadaptasi daripada kisah benar Bukit Kepong, beberapa tahap dan kaedah sejarah lisan dijalankan sehingga menjadikan filem ini berkualiti. Tahap persediaan dan kaedah wawancara amat penting demi memastikan perjalanan filem ini lancar dan berjaya. Kejayaan pengarah dan ahlinya menjalankan kaedah dan teknik sejarah lisan mengikut disiplin sejarah membolehkan filem ini diangkat sebagai filem terbaik dan memenangi lapan anugerah dalam Festivel Filem Malaysia ke-3.


Abdul Rahman Haji Abdullah. 1996. Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lihat artikel Lim Lay Hsuan. Bukit Kepong: Mengenang Pengorbanan Wira-wira yang Gugur. 23 Ogos 2017.

Niezam Abdullah. 13 September 2011. “Filem Bukit Kepong Ikut Fakta Sejarah-Jins Shamsuddin”. MStar. https://www.mstar.com.my/spotlight/hiburan/2011/09/13/filem-bukit-kepong-ikut-fakta-sejarah–jins-shamsuddin . (Diakses pada 28 Disember 2020).

Ramon l. Harris et el. 1975. The Practice of Oral History. Mirofilming Corporation of America, America.


Kongsikan Bersama