Kemunculan Dinasti Han bermula dengan kebangkitan bekas bangsawan negeri Chu iaitu Xiang Yu (Hsiang Yu). Negeri Chu merupakan antara wilayah atau negeri naungan Dinasti Qin di China. Bagi menzahirkan penentangan terhadap Dinasti Qin, Xiang Yu cuba menabalkan Raja Huai dari negeri Chu sebagai maharaja di China. Namun demikian, Xiang Yu telah menabalkan dirinya sebagai maharaja dan mengenepikan peranan Liu Bang. Liu Bang (256 SM-195 M) merupakan seorang petani yang bersekutu dengan Xiang Yu semasa menentang pemerintahan Dinasti Qin.
Keadaan ini seterusnya mencetuskan peperangan di antara kedua-dua tokoh tersebut terhadap Dinasti Han yang baru ditubuhkan. Kemenangan tentera di pihak Liu Bang membolehkan beliau memengambil alih pemerintahan Dinasti Han dan mencatatkan sejarah kerana beliau bukanlah daripada keturunan raja berikutan beliau hanya seorang petani biasa. Liu Bang menetapkan prinsip pemerintahan berasaskan kepada pemikiran politik China dengan cara memberi penghargaan kepada para jeneral dan pembantunya di atas sumbangan mereka bersama beliau membangunkan Dinasti Han. Pemerintahan beliau turut mempraktikkan dasar sesorang penguasa atau pegawai tinggi perlu menerima pendapat daripada golongan penasihat. Selain itu, maharaja Liu Bang juga memberi perhatian akan tindak balas keterlaluan oleh golongan totalitarian Ch’in dengan menegaskan bahawa Dinasti Han diwujudkan adalah untuk melindungi dan melayani rakyat.
Pada awalnya, Dinasti Han Barat mempunyai 13 orang maharaja dan yang terakhir adalah Ruzi (Liu Ying). Kejatuhan Dinasti Han Barat adalah disebabkan oleh kehilangan sokongan daripada golongan pembesar dan pengikut. Pada tahun ke-9 Masihi, Wang Mang mengambil alih takhta Dinasti Han Barat dan menubuhkan Dinasti Xin. Penubuhan dinasti ini mendapat persetujuan daripada tokoh politik di China berikutan kelemahan maharaja dinasti sebelumnya. Namun, Dinasti Xin yang diperintah oleh Wang Mang hanya bertahan selama tujuh belas tahun. Semasa pemerintahannya, beliau menjalankan upacara ritual Zhou dan mengadaptasi ajaran Konfusianisme. Wang Mang turut berusaha melakukan pemulihan yang radikal terhadap institusi Zhou. Beliau melakukan pembaharuan dengan menyita semua tanah dan mengembalikan semula dengan bahagian yang sama rata kepada golongan tertentu, manakala amalan perhambaan telah dihapuskan. Kejatuhan Dinasti Xin adalah berpunca daripada konflik yang timbul diantara keluarga-keluarga pembesar dan pemberontakan para petani terhadap pembaharuan yang dilakukan oleh Wang Mang. Kejatuhan Dinasti Xin menandakan bermulanya kemunculan Dinasti Han Timur dan menyebabkan peralihan kuasa dari ibu kota kepada kuasa di peringkat daerah.
Maharaja Guangwu yang mendirikan kerajaan Han Timur berasal dari keluarga tuan tanah dan pengikutnya berasal dari latar belakang yang hampir sama. Walaupun pengikut Maharaja Guangwu telah meninggal, keluarga mereka masih berpengaruh dan memegang kekuasaan di peringkat komuniti malahan mempunyai tempat di pejabat mahkamah. Hal ini kerana, para pengikutnya memiliki kekayaan yang banyak. Justeru, sebahagian besar sejarah Han Timur merupakan sejarah keturunan dan puak-puak yang memiliki pangkalan kekuasaan wilayah.
Pusat pemerintahan dinasti Han telah berpindah daripada wilayah Chang’an kepada Luoyang berikutan kedudukannya yang strategik sebagai pusat latihan ketenteraan dan pusat ekonomi. Perpindahan tersebut mendorong kepada perkembangan intelektual di China kerana kegiatan penerbitan karya-karya sejarah dan sastera yang mempamerkan keunggulan ibu kota dan pembaharuan ritual dinasti Han giat dijalankan. Namun demikian, kuasa pemerintahan dinasti Han merosot disebabkan serangan dan pertikaian di antara gundik-gundik maharaja dengan para sida. Pemberontakan Serban Kuning tercetus pada tahun 184 dan era pemerintahan hulubalang bermula.