Nasionalisme India – Muhamad Ali Jinnah (Bahagian 1)

  • Post category:Tokoh
Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Muhamad Ali Jinnah dilahirkan pada 1876 di Karachi iaitu Pakistan kini. Latar belakang pendidikan beliau dapat dilihat seperti berikut “Jinnah was sent in 1887 to the Sind Madrasat al-Islam in Karachi. Later he attended the Christian Missionary Society High School, where at the age of 16 he passed the matriculation examination of the University of Bombay.” Beliau mendapat pendidikan di Universiti Bombay dan Lincoln’s Inn di London serta merupakan antara golongan elit India yang penting dalam arena politik di India abad ke-20.

Photo via: mohammmad-aljinnah.blogspot.com
Secara umumnya, penglibatan Muhamad Ali Jinnah dalam bidang politik dapat dilihat melalui keanggotaannya dalam Kongres Kebangsaan India (KKI) pada tahun 1906 yang diadakan di Calcutta. Perspektif perjuangan nasionalisme Jinnah pada dasarnya adalah berpaksikan kepentingan muslim di India. Namun demikian, aliran pemikiran yang ingin diperjuangkan Jinnah adalah tidak selari dengan pemimpin-pemimpin dalam KKI seperti Mahatma Gandhi, Jawaharlal Nehru dan lain-lain. Susulan itu, pada tahun 1920, Jinnah telah meninggalkan Kongres seterusnya memberi perhatian dalam menyebarkan pandangannya dalam Liga Muslim.
Penglibatan Jinnah dalam bidang politik jelas dilihat melalui perjuangannya dalam Liga Muslim. Pada awal penubuhan Liga Muslim, pegangan beliau kepada perjuangan parti tersebut adalah menjurus ke arah kepentingan umat Islam. Asas politik Liga Muslim yang cenderung memihak kepada pemerintahan Inggeris dilihat Jinnah tidak selari dengan pemikirannya. Justeru, Jinnah berhasrat untuk menyatukan Muslim dan Hindu sebagai motif mendapatkan kemerdekaan di India pada peringkat awal perjuangannya dalam Liga Muslim.
Photo via: khalidriazblog.wordpress.com
Perjuangan Muhamad Ali Jinnah memperlihatkan transisi berbeza setelah Liga Muslim mengalami kekalahan dalam pilihan raya pada tahun 1937. Oleh yang demikian, beliau mengambil pendekatan dan merancang strategi dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Liga Muslim dan menjadikannya sebagai medium bagi mewakili umat Islam. Antara strategi yang dilaksanakan oleh Jinnah dalam Liga Muslim adalah melalui penyebaran slogan ‘Islam dalam bahaya’. Strategi tersebut dilaksanakan bertujuan untuk menarik perhatian masyarakat Muslim bagi menyokong Liga Muslim. Ini kerana keyakinan masyarakat Muslim terhadap KKI semakin luntur ekoran wujud pandangan bahawa perjuangan KKI menjurus sebagai parti Hindu yang hanya mementingkan penganutnya sahaja serta menyebabkan masyarakat Islam mundur.


Akhbar S. Ahmad. 1997. Pakistan and Islamic Identity: The Search for Saladin. London: Routledge.

Azharudin Mohamed Dali. 2015. Tamadun India. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mahmud Husain. 1998. Mohammed Ali Jinnah: Pakistani Governor-General. Encyclopedia Britannica. Dicapai pada 6 Januari 2021.


Kongsikan Bersama