Shah Wali Ullah: Ulama Berpengaruh di India

  • Post category:Tokoh
Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Shah Wali Ullah merupakan ulama besar di India yang menjadi rujukan ramai sarjana terhadap keilmuannya. Nama sebenar beliau ialah Qutb-ud- Din Ahmad ibni Abdul Rahim. Beliau digelar Wali Ullah lantaran sifat tawaduk, kesungguhan menuntut ilmu dan memperjuangkan agama Islam di India pada abad ke 18. Ulama ini lahir di Kampung Pulth, Delhi pada 21 Februari 1702 iaitu empat tahun sebelum kematian Aurengzeb (Maharaja Empayar Mughal). Bapanya, Sheikh Abdul Rahim ialah seorang pegawai angkatan tentera semasa zaman Shah Jahan yang dihormati dalam kalangan masyarakat India. Sheikh Abdul Rahim mementingkan agama Islam dalam kehidupan, lantas menubuhkan madrasah I Rahimiyyah di Delhi dan menjadi guru yang sangat disegani. Didikan seorang bapa yang warak, membolehkan Shah Wali Ullah turut mempelajari agama dengan bersungguh-sungguh sehingga beliau mampu menghafaz Al Quran pada umur 7 tahun. Ilmu beliau semakin meluas dengan penguasaan serta kemahirannya dalam bidang Hadis, Feqah, Tauhid, perubatan, falsafah, dan tasawuf. Shah Wali Ullah meneruskan jejak langkah bapanya yang meninggal pada tahun 1719, iaitu semasa Shah Wali Ullah berumur 17 tahun. Beliau menjadi guru Tariqat serta tenaga pengajar di Madrasah I Rahimiyyah.

Photo by: daralhadith.org.uk (ed)
Pada tahun 1730, beliau menuntut ilmu di Semenanjung Arab. Beliau menuntut ilmu agama di Madinah selama 14 tahun. Syeikh Abu Tahir Muhammad Bin Ibrahim Al Kurdi ialah salah seorang dari guru utama beliau dalam bidang Hadis di sana. Kesungguhan beliau menuntut ilmu Hadis membolehkannya memperoleh gelaran Sanad dalam Hadis. Kepulangannya di Madrasah I Rahimiyah disambut baik oleh golongan pelajar yang mengharapkan manfaat pemikiran dan ilmu yang luas daripada Shah Wali Ullah. Maka, apabila madrasah tersebut makin berkembang dan mendapat sambutan, Shah Wali Ullah terus mengembangkan medan dakwahnya dengan membuka pusat pembelajaran lain iaitu Darul Ulum.
Photo by: shahwaliullah@facebook.com (ed)
Keprihatinan dan komitmen beliau menyebarkan dakwah Islam adalah lanjutan kebimbangannya terhadap penyelewengan dan bidaah (tokok tambah) oleh sebahagian ulama di India. Ia ekoran terdapat sebahagian ulama di India merasakan diri mereka hebat dengan menghasilkan pemikiran akal logik semata-mata. Maka, beliau menegaskan, penggunaan akal sahaja tidak mampu mengukuhkan kebenaran ilmu sekiranya ulama menolak prinsip yang terdapat dalam Al-Quran dan Hadis. Terjemahan Al-Quran kepada bahasa Parsi membuatkan usahanya itu disanjungi masyarakat Muslim India. Keadaan ini memberi harapan kepada kebanyakan Muslim di India yang ingin terus melihat Islam bersinar kembali di bumi India.
Photo by: knowledgecomplex.blogspot.com (ed)
Kaedah pengkajian Hadis yang dilakukan Shah Wali Ullah adalah dengan cara menggabungkan segala rujukan dari kitab-kitab dan pandangan ulama sebelumnya bagi mengukuhkan sesuatu syarah atau penerangan Hadis. Kitab Muwatta, karangan Imam Malik yang merupakan Ulama Muktabar Mazhab dianalisis dan dijelaskan beliau dalam bentuk karya penulisan atau pengajaran di madrasah. Karya beliau yang terkenal iaitu Hujjatul al Baligha memberi sumbangan dalam pengajian Islam. Karyanya itu memenuhi tuntutan pembaca berikutan mencakupi aspek prinsip asas iman dan syariah, latar belakang ekonomi islam dan psikologi untuk pencerahan ilmu kepada masyarakat Muslim. Antara karya lain beliau termasuklah Takwilul Hadis, Al-Irsyadu fi muhammatil istinad, Athiyat-us Samadiyyah fil ansafil Muhammadiyyah, Husnul Akidah, Syifa ul qulub dan sebagainya.
Photo by: abusyahmin.blogspot.com (ed)

Anil Chandra Banerjee. 1981. Two Nations: The Philosophy of Muslim Nationalism. New Delhi: Concept Publishing Company.

Peter Clark (terj). 2002. The Worlds Religions: Islam. London: Routledge.


Kongsikan Bersama