Negeri-negeri Selat dan Pentadbirannya

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Melalui Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824, British telah berjaya menempatkan pengaruh dan kekuasaannya di negeri-negeri Melayu tanpa sebarang ancaman dan tindakan dari pihak Belanda. Hal ini menyebabkan British ingin mewujudkan satu pentadbiran yang lebih sistematik dan menjimatkan kos pentadbiran. Pada tahun 1826, Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) telah bertindak menyatukan ketiga-tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura dibawah satu pentadbiran yang dikenali sebagai Negeri-negeri Selat (NNS). NNS ditadbir dibawah sebuah kerajaan pusat yang berpangkalan di Calcutta, India.

Pulau Pinang dijadikan ibu negeri pertama bagi NNS. Menjelang 1830-an Pulau Pinang memperlihatkan tanda-tanda kemerosotan ekonomi sehingga tidak mampu untuk membiayai pentadbirannya. Pihak British memindahkan ibu negeri NNS ke Singapura pada tahun 1832 selaras dengan kemajuan dan kepesatan negeri tersebut. Di bawah pentadbiran British, NNS ditadbir oleh seorang Gabenor British yang bertanggungjawab kepada Jeneral British di Calcutta, India. Setiap negeri ditempatkan seorang Residen Kaunselor yang bertugas untuk membantu Gabenor.
Photo from: thereaderwiki.com (ed)
Menjelang tahun 1851, kepesatan dan pembangunan NNS turut mendorong berlakunya pelbagai masalah dalam perdagangan. Masalah perdanangan tersebut timbul lanjutan perasaan tidak puas hati penduduk tempatan dan para pedagang. Mereka mahu pentadbiran NNS dibawah pentadbiran British di India diletakkan secara langsung kepada pentadbiran British di London. Mereka memberi alasan bahawa kebanyakan pentadbir British yang berpusat di India tidak mempunyai pengalaman dan kurang memahami keadaan serta masalah yang berlaku di NNS. Perasaan tidak puas hati dalam kalangan pedagang juga dizahirkan berikutan pentadbir-pentadbir British mengenakan cukai pelabuhan yang tinggi ke atas mereka. Selain itu, kedudukan NNS yang terletak berjauhan antara satu sama lain menyebabkan sesuatu arahan mengambil masa yang lama untuk diterima dan dilaksanakan. Keadaan diburukkan lagi apabila NNS dijadikan sebagai tempat buangan bagi banduan dan menghukum pesalah. Pada tahun 1857, lebih 4000 orang banduan telah dihantar dari India untuk menjalani hukuman dan tindakan tersebut telah menjatuhkan imej NNS sebagai kawasan perdagangan. Tindakan tersebut menerima bantahan daripada para pedagang yang diketuai oleh W H Read. Selain itu, kemasukan imigran Cina tanpa kawalan telah menyebabkan berlakunya kekacauan yang dicetuskan oleh kongsi-kongsi gelap Cina.
Photo from: median103.com (ed)

Desakan yang kuat daripada para pedagang dan saudagar British menyebabkan kempen untuk memisahkan NNS dari pentadbiran India semakin jelas pada tahun 1860-an. Kemajuan NNS merupakan faktor terpenting memperkukuhkan tuntutan mereka supaya NNS dijadikan Tanah Jajahan Mohkota Britain. Akhirnya, pada 1 April 1867, NNS dengan rasminya dipindahkan dari Calcutta, India ke Pejabat Tanah Jajahan di London. Perkembangan tersebut juga mengubah status NNS menjadi Tanah Jajahan British. Sebuah Majlis Perundangan ditubuhkan untuk mengubal dan meluluskan undang-undang berkenaan NNS. Harry Ord telah dilantik sebagai gabenor yang mengetuai pentadbiran NNS.


L. A. Mills. 1966. British Malaya 1824-1967. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Abdul Rahman Ismail. 2005. Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik. Kuala Lumpur: Dewan Pustaka dan Pustaka.


Kongsikan Bersama