Faktor Kemunculan Feudalisme di Eropah

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Feudalisme pada dasarnya merujuk kepada sistem sosial yang berlaku di Eropah pada Zaman Pertengahan. Feudalisme adalah suatu bentuk kerajaan yang wujud di Eropah Barat pada abad ke-9 Masihi, iaitu selepas perpecahan Empayar Charlemagne. Sistem pemerintahan ini wujud sehingga abad ke-13 Masihi. Feudalisme secara keseluruhannya merujuk kepada satu sistem cara hidup yang merangkumi aspek ekonomi, politik, dan sosial pada zaman pertengahan (500-1500). Feudalisme mula berkembang dan bertapak kukuh di Eropah Barat selepas keruntuhan Empayar Rom. Sistem pemerintahan ini wujud apabila kuasa kerajaan jatuh ke tangan golongan persendirian.

Photo via: vikings.fandom.com
Di Eropah, serangan orang gasar menyebabkan tidak wujud pemerintahan yang berkesan sebelum abad ke-9. Hal ini menyebabkan aktiviti perdagangan tidak berlaku dengan pesat di seluruh kawasan Eropah akibat kesan daripada huru-hara yang berlaku di bahagian utara dan persaingan orang Islam di bahagian Timur. Ini telah membawa kepada kemerosotan ekonomi di Eropah sehingga membawa kepada kemunculan sistem feudalisme. Keadaan ekonomi yang diamalkan di seluruh Eropah khususnya di bahagian Barat telah dihalang untuk berdagang dengan masyarakat di bahagian timur kerana perdagangan di kawasan Mediterranean dikuasai oleh orang Islam. Akibat kelemahan kerajaan pusat di di negara-negara Eropah, kegiatan pertanian juga tidak dapat dijalankan secara menyeluruh kerana ianya hanya diusahakan melalui sistem barter sehingga tiada hasil dalam bentuk tunai. Ketidakstabilan politik juga telah menyebabkan berlakunya persaingan dalam kalangan orang-orang gasar untuk mendapatkan kekuasaan untuk mentadbir tanah jajahan.
Foto: Joerg Koch/dapd; via-aier.org
Pengaruh Rom turut memainkan peranan dalam kemunculan feudalisme. Golongan bangsawan yang berpengaruh di Rom telah membahagikan tanah-tanah jajahan kepada penduduk tempatan untuk melicinkan sistem pentadbiran dan memberi keadilan kepada rakyat. Rakyat pula perlu membayar cukai untuk mendapatkan perlindungan di samping membenarkan petani menggunakan tanah mereka seumur hidup (perecarium). Seterusnya, rakyat miskin turut dibenarkan bekerja untuk golongan bangsawan yang berpengaruh demi menyara hidup mereka (patrocinum). Dengan ini, ramai petani terpaksa membayar cukai yang tinggi untuk mendapatkan perlindungan keselamatan. Bukan itu sahaja, ramai petani mula memberikan tanah mereka kepada tuan-tuan tanah utama (magnates). Tanah-tanah ini disatukan menjadi estet latifunda. Sebagai ganti, Lord membenarkan petani menggunakan tanah mereka seumur hidup. Hubungan melalui kontrak ini dipanggil (precarium). Petani-petani (koloni) yang mengusahakan estet-estet Rom yang besar mula bersatu dengan mereka yang memegang pajakan precarium. Kumpulan-kumpulan petani ini digelar serf pada zaman feudal di Eropah.

Sivachandralingam Sundra Raja. 2002. Sejarah Eropah. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd.

Wan Abdul Rahman Latif. 2001. Sejarah Perkembangan Tamadun Dunia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Robert S. Hoyt. 1968. Life and Though in the early Middle Ages. Mineapolis: Laund Press.


Kongsikan Bersama