Pembesar Melayu Melaka: Pencerahan Tentang Peranannya

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Golongan pembesar terbahagi mengikut zaman atau tamadun yang berbeza. Bagi kerajaan sebelum Melaka seperti Srivijaya, Inskripsi Telaga Biru memberi gambaran berkenaan struktur kepimpinan yang terdapat pada ketika itu iaitu pembesarnya terdiri daripada datu-datu yang merupakan wakil daripada maharaja. Sebaliknya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan selepasnya, struktur pemerintahan menggunakan sebuah sistem yang dikenali sebagai Pembesar Empat Lipatan. Sistem ini mempunyai beberapa jawatan khas yang bertugas dalam memastikan kelicinan pemerintahan. Antaranya jawatan Bendahara, Syahbandar, Temenggung, Penghulu Bendahari, Laksamana, Penghulu yang dibantu oleh beberapa pembesar seperti sida-sida dan para Biduanda. Sistem ini masih digunapakai oleh kerajaan-kerajaan di Alam Melayu selepas kejatuhan Melaka seperti di Perak, Johor dan Pahang.

Photo by: malaccaattractionsinmalaysia.com (ed)
Jawatan-jawatan ini mempunyai tugas yang tersendiri. Namun, mempunyai tujuan yang sama iaitu membantu Sultan atau Raja dalam pentadbiran kerajaan yang sedia ada. Para pembesar perlulah bertugas seperti seorang hakim dalam menjalankan tugas yang sedia ada. Tugas tersebut menjadi satu kewajipan kepada mereka kerana kekuasaan yang mereka perolehi terutama penguasaan terhadap wilayah yang diperintah. Golongan pembesar turut menjadi sumber rujukan terhadap rakyat. Ini dapat dilihat dalam Hukum Kanun Melaka yang menyatakan bahawa “Adapun ketahui olehmu bahawa syarat menteri itu enam perkara; pertama menafahus salah benar rakyat; kedua tahu ia hukum; ketiga tahu ia mengambil ufti; keempat mendengar kata kedua pihak; kelima tahu ia budi tatkala ia menjatuhkan hukum itu dengan keras perangainya; keenam hendaklah arif kepada siasatnya dan periksanya.”
Photo by: pglmovie (ed)
Bagi sistem pembesar di Melaka dan selepasnya, Bendahara memainkan peranan yang besar dalam pentadbiran. Jawatan Bendahara ini boleh disamakan dengan jawatan Perdana Menteri pada hari ini. Selain itu, golongan ini mempunyai tali persaudaraan dengan Sultan atau Raja yang memerintah. Buktinya dapat dijelaskan melalui kisah Tun Fatimah yang menjadi isteri kepada Sultan Mahmud Syah setelah pembunuhan keluarga Tun Mutahir berlaku. Mereka juga merupakan orang yang akan menggantikan Sultan atau Raja jika mereka tiada di dalam negeri atau Raja masih kecil. Jawatan Temenggung yang disamakan dengan jawatan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negeri. Antara kisah yang boleh digambarkan tentang tugas Temenggung adalah semasa Temenggung Seri Maharaja bertugas iaitu beliau terpaksa mengawal kota Melaka kerana berlakunya kecurian yang berleluasa. Bagi jawatan Penghulu Bendahari pula, tugasnya boleh disamakan dengan Menteri Kewangan. Maka, dapat difahami dengan mudah bahawa tugas ini adalah berkaitan dengan perbendaharaan negeri di mana ianya mengawal keluar masuk duit kerajaan.
Photo by: erisgoesto.com (ed)

Bagi jawatan Syahbandar, ianya terbahagi kepada dua. Yang pertama sebagai memungut hasil cukai dari kawasan pelabuhan dan hasil dalam negeri yang lain sebelum diserahkan kepada Penghulu Bendahari yang akan menyembahkan kepada Raja atau Sultan. Yang kedua, jawatan ini juga bertugas menjaga para pedagang di kawasan pelabuhan dan mengadili orang yang teraniaya supaya memperolehi keadilan. Menurut Hukum Kanun Melaka, “Fasal pada menyatakan hukum Syahbandar itu iaitu menghukumkan segala dagang dan anak yatim dan segala yang teraniaya dan segala api dan segala jong dan baluk dan barang sebagainya.” Dalam pemerintahan sesebuah kerajaan, situasi timbal balik sering berlaku diantara Raja atau Sultan dengan pembesar. Hal ini perlu dilakukan kerana tanpa sokongan daripada pembesar, maka seseorang Raja atau Sultan tidak dapat menaiki takhta sesebuah kerajaan.

Abu Hassan Sham. 1995. Hukum Kanun Melaka. Melaka: Penerbitan Perbadanan Muzium Melaka.

Nazri Muslim & Abdul Latif Samian. 2012. Wacana Teori dan Strategi Kepimpinan Melayu. Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA). Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.


Kongsikan Bersama