Oleh:) Dhaanyaa Murugesan
Odissi ialah satu tarian klasik
yang berasal daripada kuil-kuil kuno di negeri Orrissa di Timur India. Tema
tarian ini lazimnya berunsur keagamaan dan berasaskan alam semula jadi.
Kebiasaannya terdapat penyanyi yang disertai dengan penggunaan alat muzik
klasik India seperti ‘sitar’, ‘flut’ dan ‘dolak’. Penari tarian Odissi memakai
pakaian yang dijahit dari ‘Rudrakayah’,
rambut penari selalunya diikat rapi kebelakang dengan meletakkan bunga,
aksesori lengkap dan bersolek. Penglibatan masyarakat bukan India di Malaysia
dalam tarian klasik Odissi di Kuala Lumpur dari tahun 1980 hingga 2000
memperlihatkan tarian Odissi diterima sebagai satu kebudayaan merentasi etnik atau
“cross fertilization culture”. Ia
ekoran penari Odissi dalam kalangan masyarakat bukan India menjadikan
tarian ini lebih dikenali di Malaysia.
Masyarakat Melayu yang paling
menonjol dalam tarian klasik India ialah Datuk Ramli Ibrahim. Beliau dianggap
sebagai bapa tarian Odissi di Malaysia. Beliau dianggap sebagai salah seorang
yang membawa tarian Odissi ini ke Malaysia. Datuk Ramli Ibrahim ialah salah
seorang murid Deva Prasad Dass. Deva Prasad Dass telah menghidupkan semula
tarian Odissi. Hal ini kerana tarian tersebut dikatakan mula dilupakan
masyarakat di India sejak abad ke-19. Justeru, Ramli Ibrahim secara langsung
mempelajari Odissi dari Deva Prasad Dass. Selepas mempelajari tarian Odissi
dari Deva Prasad Dass, Datuk Ramli Ibrahim kembali ke Malaysia dan mula mengajar
serta menyebarkan tarian tersebut. Beliau menjadi pelatih tarian klasik India
terkenal di Malaysia dan telah melatih ramai penari Odissi di Temple of Fine
Arts, Kuala Lumpur. Datuk Ramli Ibrahim juga telah membuka satu pusat tarian
tersendiri iaitu ‘Sutra Dance Theater’
pada tahun 1983 dan terus melatih ramai penari lagi. Kesungguhan dan komitmen
yang ditunjukkan oleh Datuk Ramli Ibrahim mengembangkan Tarian Odissi di Kuala
Lumpur menggambarkan penerimaan wakil masyarakat Melayu untuk menghormati dan
mengiktiraf kebudayaan masyarakat India di Malaysia.
Selain itu, terdapat juga
masyarakat Cina yang terlibat dalam tarian klasik Odissi ini. Penari tarian
klasik Odissi dalam kalangan masyarakat Cina ialah January Low. Beliau juga
mempelajari tarian Odissi daripada Datuk Ramli Ibrahim pada tahun 1992.
Pendedahan January Low dalam bidang tarian bermula sejak beliau berumur lima
tahun yang dimulakan dengan tarian ballet.
Semasa usianya lapan tahun ayahnya telah memperkenalkan tarian Odissi
kepadanya. January low dibawa ke ‘Sutra
Dance Theater’ oleh ayahnya untuk mempelajari tarian Odissi dari Datuk
Ramli Ibrahim. Pada tahun 1992 bapa January Low mengalakkan beliau untuk
mempelajari tarian Odissi kerana menurut perspektif bapanya, tarian Odissi
memiliki banyak unsur feminisme yang perlu dikuasai oleh seseorang penari.
January Low juga mendapat penghargaan berikutan penglibatannya dalam Odissi
iaitu sebagai penari terbaik menerusi ‘Award
for Best Solo Dance Perfomer’ pada tahun 2003. Pada bulan Mei 2009 beliau
telah mengurangkan penglibatannya dalam ‘Sutra
Dance Teater’ untuk meneruskan penyebaran tarian Odissi ini. January Low
juga telah mengambil bahagian dalam sebuah program tarian berprestij iaitu
Festival Tarian Antarabangsa yang berlangsung di Korea Selatan pada tahun 2009.
Setelah itu beliau menjadi sangat terkenal di Malaysia dan luar negara. Penglibatan
Ramli Ibrahim dan January Law dalam tarian Odissi menunjukkan bahawa tarian
Odissi ini sangat dihormati antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
January low, Performer from Sutra Foundation, an Interwiew at BFM 89.9, 2014. http://www.bfm.my/careers-unusual-january-low-odissi-dancer