Politik Negeri-negeri Melayu Utara Selepas Perjanjian Bangkok

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Raja Chulalongkorn menyedari bahawa penyerahan Negeri-negeri Melayu Utara (NNMU) kepada British tidak menjejaskan Siam. Namun, tindakannya mempertahankan NNMU daripada diserahkan kepada British sejak penghujung abad 19 hingga tahun 1908 adalah demi memelihara prestij yang dianggap penting kepada Siam. Sungguhpun demikian, Perjanjian Bangkok 1909 ditandatangani untuk mengelakkan konflik yang lebih serius antara British dengan Siam sehingga menjejaskan kedudukan serta imej sultan di NNMU.

Photo via: : arkibnegaramalaysia.gov/via-persatuanpencintasejarahkelantan@facebook.com
Menerusi Perjanjian Bangkok Mac 1909, Siam menyerahkan pertuanan yang dimilikinya terhadap NNMU meliputi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis kepada penguasaan British. Patani, sebuah wilayah yang diduduki oleh penduduk Melayu Muslim, kekal menjadi milik Siam meskipun Patani turut dituntut oleh British. Ia berikutan Siam menganggap penyerahan empat NNMU kepada British merupakan satu pengorbanan besar pernah dilakukannya. British menggunakan pendapatan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) bagi membiayai projek landasan kereta api kerajaan Siam yang amat diperlukan oleh Chulalongkorn, sebagai strategi merealisasikan Perjanjian Bangkok 1909.
Photo via: wangsamahkota.wordpress.com
Penyerahan NNMU kepada British menimbulkan reaksi dingin oleh sultan atau raja di NNMU. Sultan Kedah misalnya menyatakan bahawa negerinya ibarat dijual dan dibeli seperti seekor kerbau. Sultan Terengganu pula mengkritik Siam dengan menegaskan bahawa Siam menyerahkan sesuatu [kerajaan] yang bukan dimilikinya secara jelas.
Photo via: alchetron.com
Perjanjian Bangkok 1909 meletakkan kedudukan NNMU di bawah pentadbiran British yang dikenali Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (NNMTB/ Federated Malay States). Ia berikutan tidak terdapat sebarang perjanjian persekutuan (federation) sebagaimana yang dilakukan oleh British terhadap NNMB. Meskipun NNMTB memiliki persamaan dengan NNMB dari segi status pentadbirannya sebagai pemerintahan tidak langsung British (indirect rule), NNMTB dapat mengekalkan beberapa identiti tempatannya berbanding NNMB kawalan British. Sarjana seperti Trocki contohnya menyatakan pegawai British yang dilantik menjadi Penasihat (adviser) di NNMTB memiliki kuasa yang kurang meluas berbanding Residen di NNMB. Keadaan ini membolehkan beberapa ruang kebebasan berhubung nilai tempatan diterapkan dalam urusan kerajaan NNMTB. Contohnya, Kedah mampu menubuhkan Majlis Negeri dengan tadbir urus baik oleh pembesar tempatan Melayu. Manakala. penerbitan stamp rasmi negeri Kelantan menjadi simbol penting kepada kedudukan atau kedaulatan pemerintahnya.


Barbara Watson Andaya & Leonad Y. Andaya. 2001. A History of Malaysia. Hampshire: Palgrave.

Nicholas Tarling. 1992. The Establishment of the Colonial Regimes. Dlm. The Cambridge History of Southeast Asia Volume Two: The Nineteenth and Twentieth Centuries. Nicholas Tarling (ed). Cambridge: Cambridge University Press. hlm 5-78.

Carl A. Trocki. 1992. Political Structures in the Nineteenth and Early Twentieth Centuries. The Cambridge History of Southeast Asia Volume Two: The Nineteenth and Twentieth Centuries. Nicholas Tarling (ed). Cambridge: Cambridge University Press. hlm 79-130


Kongsikan Bersama