Beliau seterusnya mendapat pendidikan di Sekolah Methodist Girls School, Melaka sekitar tahun 1916. Menurut A. Samad Ismail, Ibu Zain seorang yang gagah dan tidak patah semangat apabila menuntut di sekolah aliran Kristian. Keadaan ini tidak terjadi kepada kakaknya yang kurang menyenangi ejekan dan juga sindiran masyarakat Melayu ekoran menuntut di sekolah bukan aliran agama Islam. Sistem pendidikan Barat sememangnya meluas di Malaya pada awal abad ke-20. Ibu bapa Ibu Zain turut memantau perkembangan pendidikan anaknya supaya pendidikan Barat yang diterima tidak mempengaruhi jati diri mereka sebagai seorang Muslim. Pendidikan agama, Al- Quran dan bahasa Arab diajar oleh ayahnya sendiri untuk melengkapkan Ibu Zain dengan pengetahuan asas Islam. Pada tahun 1920, Ibu Zain menjadi Guru Besar Percubaan di Sekolah Perempuan Bandar Maharani. Beliau mengerjakan haji pada usia 30 tahun dan mendirikan rumah tangga dengan Tuan Haji Amin Bin Ahmad pada tahun 1934.
Sekitar 1940-an Ibu Zain mula melibatkan diri dalam bidang politik. Beliau sempat bersama-sama dengan Dato Onn Jaafar dalam perjuangan politik menerusi parti United Malay National Organization (UMNO). Pada tahun 1950, beliau menjadi wakil UMNO dan Ketua Kaum Ibu UMNO Malaya. Menurut Aishah Ghani, meskipun penglibatan Ibu Zain tidak begitu lama dalam bidang politik, ketokohan beliau terserlah terutama apabila beliau menyeru ramai wanita untuk bersama-sama berjuang dengan UMNO. Hal ini kerana Ibu Zain berpandangan UMNO sahaja boleh mendekatkan pemimpin dengan rakyat ke arah usaha mencapai kemerdekaan.
Di peringkat antarabangsa, Ibu Zain turut memainkan peranan sebagai wanita berpengaruh dari Tanah Melayu. Pada tahun 1947, Kongres India menjemput Ibu Zain melawat India yang membolehkan beliau bertemu dengan tokoh nasionalis India seperti Nehru, Ghandi, dan Sarojini Naidu. Apabila beliau berada di Burma pula, beliau sempat berjumpa dengan tokoh nasionalis Burma iaitu Aung San sebelum tokoh itu terbunuh dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.