Punca Tercetus Semangat Nasionalisme di Indonesia

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Azri Faiz:)

Pada awal abad ke 20, gerakan semangat kebangsaan nasionalisme telah muncul di Indonesia dan ia didorong oleh beberapa faktor seperti pengaruh kewartawananperanan pendidikan, pengaruh agama, peranan bahasa dan kesusasteraan, peranan golongan intelektual dan pengaruh luar.

1) Pengaruh Kewartawanan

Antara faktor utama yang mendorong gerakan kebangsaan nasionalisme di Indonesia ialah pengaruh kewartawanan. Di Indonesia, akhbar menjadi alat utama yang penting dalam menyebarkan idea-idea nasionalisme. Akhbar-akhbar yang dicetak menggunakan bahasa Indonesia atau bahasa Belanda. Tujuan akhbar ini disebarkan ialah untuk mempercepatkan idea-idea nasionalisme diterima oleh penduduk tempatan. Contoh akhbar ialah Medan Priyayi, Kaum Sunda dan Utusan Hindia.

Photo by: dewisundari.com (ed)

2) Diskriminasi Belanda Terhadap Penduduk Tempatan

Selain itu, sikap pilih kasih yang diamalkan Belanda terhadap penduduk tempatan mencetuskan semangat nasionalisme masyarakat Indonesia. Contohnya, anak golongan Priyayi diberikan pendidikan yang tersendiri dan diasingkan daripada anak golongan kebanyakan. Pendekatan diskriminasi ini bertujuan untuk memecahbelahkan rakyat. Pada tahun 1921, Suardi Surjaningrat menubuhkan institusi yang dinamakan Taman Siswa yang bertujuan memberi pendidikan kepada pelajar yang tidak mampu masuk ke sekolah kerajaan. Tindakan Suardi ini jelas menunjukkan komitmennya untuk menentang diskriminasi yang dilaksanakan oleh Belanda.

3) Peranan Agama Islam

Pengaruh agama berjaya menyatukan rakyat tempatan untuk menghadapi penindasan penjajah, pengaruh budaya barat dan agama Kristian. Kesamaan agama merupakan faktor penting bagi perkembangan semangat nasionalisme di Indonesia. Lebih 90 peratus rakyat Indonesia beragama Islam. Antara parti politik dan persatuan Islam yang terdapat di Indonesia awal abad ke 20 ialah Sarekat Islam. Sarekat Islam ditubuhkan pada 1906, parti ini juga mendapat sokongan dari kalangan rakyat tempatan. Selain itu, parti Islam seperti Muhammadiyah dan Nadhatul Ulama juga meraih sokongan dalam kalangan penduduk Islam.

Photo by: goodreads.com (ed)

4) Bahasa dan Kesusasteraan

Peranan bahasa dan kesusasteraan memainkan peranan yang penting dalam kebangkitan semangat nasionalisme di Indonesia. Penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan telah membantu menyatukan penduduk dan melahirkan semangat kebangsaan rakyat Indonesia. Karya-karya ini dihasilkan bertujuan untuk menyampaikan mesej tentang kesengsaraan dan kekecewaan terhadap penindasan penjajah Belanda. Contoh-contoh karya yang dihasilkan ialah Siti Nurbaya, Hikayat Kadirun dan Student Hidjo yang digunakan untuk mengkritik Belanda. Selain itu, karya cerpen oleh Chairil Anuar seperti Kerikil-kerikil Tajam dan Makam Bonda yang menjadi pendorong kepada gerakan nasionalisme di Indonesia.

Photos by: merdeka.com (ed); change.org (ed); britannica.com (ed)

5) Peranan Golongan Intelektual

Gerakan nasionalisme di Indonesia juga tercetus kerana lahirnya golongan intelektual seperti Sukarno, Mohd Hatta, Tan Malaka dan Sutan Sjahrir yang menyebarkan idea atau pemikiran nasionalisme melalui majalah dan akhbar. Pada peringkat awal, mereka menuntut taraf hidup bangsa mereka dibela, akan tetapi pada akhirnya mereka meminta untuk dibebaskan dari penjajah. Golongan intelektual ini juga kecewa dan berasa tidak puas hati dengan penjajah yang memeras kekayaan negara dan menindas rakyat.

Photos by: inc.com (ed); biography.com (ed); onthisday.com (ed)

6) Pengaruh Revolusi Luar Negara

Di India, perjuangan Mahatma Gandhi menentang British melalui Parti Kongres Kebangsaan India telah mempengaruhi Sukarno untuk melakukan cara yang sama. Sukarno melalui Parti Nasionalis Indonesia menentang Belanda dengan cara tidak bekerjasama dengan Belanda. Selain itu, Di Filipina pula, Jose Rizal telah menubuhkan Liga Filipina untuk menuntut Sepanyol memberi layanan yang adil kepada rakyat Filipina serta menentang penjajahan Sepanyol. Revolusi China yang berlaku pada 1911 turut mempengaruhi gerakan nasionalisme di Indonesia untuk menentang Belanda. Dr. Sun Yat Sen dan Chiang Kai Shek yang memimpin Revolusi China berjaya menumbangkan Kerajaan Manchu dan menubuhkan Republik China. Kejayaan Revolusi China telah memberi semangat kepada penduduk Indonesia untuk menentang Belanda. Beberapa faktor luar lain seperti Reformasi Mesir, Gerakan Turki Muda yang dilakukan Mustafa Kamal Ataturk dan Perang Rusia dengan Jepun juga mendorong kepada gerakan nasionalisme di Indonesia untuk membebaskan Indonesia daripada penjajah.

Rujukan:

Akira Nagazumi. 1989. Bangkitnya Nasionalisme di Indonesia: Budi Utomo 1908-1918. Jakarta: Pustaka Utama Grafiti.

Kahin, A.R. 2012. Islam, Nationalism and Democracy: A Political Biography of Mohammad Natsir. Singapore: NUS Press.

Gloria Lotha. 2008. Diakses pada 16 August 2019. https://www.britannica.com/topic/Sarekat-Islam


Kongsikan Bersama