Ekonomi Zaman Gupta

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Kejayaan empayar Gupta dapat dilihat menerusi sistem ekonomi yang berkesan. Empayar Gupta terus berkembang maju dan menjadi begitu penting kepada kerajaan-kerajaan lain dan India itu sendiri. Pada zaman Gupta aktiviti petanian giat dijalankan. Aktiviti pertanian yang dijalankan seperti lada, halia, sutera, kapas dan lain-lain. Melalui aktiviti pertanian ini terdapat dua golongan yang menjalani aktiviti ini iaitu golongan Kshatriyas dan Vaisyas. Kedua-dua golongan ini adalah golongan yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan aktiviti pertanian. Kshatriyas (perajurit/pemerintah) adalah golongan yang aktif dalam bidang industri dan komersial. Manakala Vaisyas (pedagang) pula aktif dalam bidang pertanian. Selain itu, dari segi ekonomi juga dapat dilihat penggunaan mata wang yang diperbuat daripada emas, gangsa dan tembaga. Mata wang ini digunakan untuk menjalankan aktiviti jual beli atau berdagang dengan negara luar. Penggunaan sistem mata wang pada zaman Gupta menunjukkan pengukuhan kepada sistem ekonomi mereka yang diperkenalkan oleh Samudra-Gupta.

Photo via: ancientcivilizationsworld.com
Melalui aktiviti perdagangan, wujud sistem cukai yang menjadi sumber pendapatan utama Empayar Gupta pada ketika itu. Namun, golongan Brahmin tidak dikenakan sebarang cukai, malah diberikan tanah ekoran kedudukan istimewa mereka dalam kalangan masyarakat. Ekonomi Gupta turut memperlihatkan pengukuhan apabila terdapat sistem pembayaran gaji kepada kakitangan kerajaan yang dibayar dalam bentuk wang tunai mahupun sebidang tanah. Tanah-tanah pada Zaman Gupta juga terbahagi kepada beberapa jenis iaitu tanah terbiar iaitu tanah yang tidak dimiliki mana-mana individu, tanah mahkota yang merujuk kepada tanah pertanian milik raja dan seterusnya tanah persendirian yang merujuk kepada tanah milik golongan masyarakat. Selain itu, setiap bandar yang ditadbir oleh Majlis Bandaran diketuai oleh wakil peniaga yang terpilih.
Photo via: ancientindiapart2.weebly.com
Jalan darat dan jalan laut merupakan jalan perhubungan yang baik untuk menjalankan aktiviti perdagangan pada ketika itu. Hal ini kerana melalui jalan perhubungan yang baik, para pedagang dapat menjual dan menghantar barangan mereka di kawasan perniagaan dengan mudah dan selamat. Selain daripada jalan perhubungan, kemudahan pelabuhan untuk para pedagang juga dibina antaranya ialah pelabuhan di Sungai Ganges, Sungai Yamuna, Sungai Narbada dan sebagainya. melalui aktiviti perdagangan ini juga telah memperkembangkan lagi pengaruh Empayar Gupta.
Photo via: coinparade.co.uk
Hasil kekayaan Gupta dapat dilihat melalui jumpaan wang syiling emas yang terdapat ukiran rupa raja-raja yang memerintah pada Zaman Gupta. Selain daripada syiling emas, Gupta juga mengeluarkan syiling perak dan kulit siput sebagai alat pertukaran dengan barangan dagangan. Penggunaan mata wang terbukti menunjukan bahawa wujudnya satu sistem kewangan dan ekonomi yang moden. Kemajuan dalam sektor perdagangan ini juga telah merintis kepada pertumbuhan ekonomi dalam bidang perindustrian khususnya dalam industri perkilangan membuat tekstil, kapas, sutera dan sebagainya. Kemajuan yang dicapai ini secara langsung telah menjadikan empayar Gupta sebagai empayar yang terkenal sehingga digelar sebagai Zaman Keemasan dalam Tamadun India.


D.D. Kosambi. 1992. The Culture and Civilization of Ancient India in Historical Outline. New Delhi: Vikas Publication.

Nagendra Nath Ghosh, M.A. 1900. Early History of India. Allahabad: The Indian Press Publication Private Ltd.


Kongsikan Bersama