Rukun Mempelajari Sejarah

  • Post category:Pendidikan
Kongsikan Bersama

Oleh: Hasanah Taib:)

Rukun merupakan perkara wajib atau pokok dalam sesuatu perkara . Konsep itu saya pelajari sewaktu kelas fardhu ain ketika zaman kanak-kanak dari seorang ustazah. Pembelajaran sejarah juga mempunyai rukun tersendiri. Berikut saya sampaikan 4 rukun mempelajari sejarah:

1. Sejarah dihayati, bukan dihafal.

Agak sukar juga untuk meyakinkan rukun pertama ini kepada penuntut ilmu sejarah. Sebab pertama; seseorang belajar sejarah hanya untuk lulus peperiksaan. Kedua; segelintir guru sejarah tidak setuju dengan rukun ini atas alasan kalau pelajar tidak hafal, mereka tidak dapat A, dan sukar masuk ke universiti. Cadangan penyelesaian? Penghayatan muncul apabila pelajar seronok membaca. Keseronokan membaca muncul dari beberapa faktor; i) pelajar perlu digalakkan menghayati sejarah dengan menggambarkan diri sebagai pelaku atau penonton di masa lampau. ii) Penghayatan guru juga penting ketika menyampaikan peristiwa sejarah. Syaratnya, guru sentiasa menambah bacaan sumber sejarah. Jadi, pelajar akan turut menyukai pembacaan sejarah. A akan menyusul bersama.

2. Tahun penting ditanam dalam fikiran.

Terdapat segelintir guru yang menyarankan pelajar supaya hanya fokus menghafal fakta sejarah, tahun abaikan sebab tidak penting. Kebanyakan pelajar kadangkala apabila ditanya bila tempoh masa abad ke 19? Mereka akan
jawab 1900 hingga 1999, sebetulnya 1800-1899. Malah, tahun Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia juga tertukar dan ada yang tidak mengetahuinya. Jadi, tahun penting ini harus kerap didedahkan kepada pelajar. Contoh, dengan mengingati tahun penting sejarah Malaysia mengikut kronologi, kita akan semakin seronok mempelajari sejarah. Perbahasan kedai kopi pun boleh jadi menarik bila kita memperbetulkan kesalahan fakta tahun rakan kita. (Dipersilakan untuk kongsi link nota dibawah ini kepada pelajar)

https://tahutuai.com/wp-content/uploads/2019/06/Thn-Penting-Sejarah-Msia.jpg

3. Guru Sejarah bidangnya sejarah

Polemik ini juga agak hangat kerana bidang lain seperti Bahasa, Matematik juga diajar oleh guru yang bukan opsyen tersebut. Perkara ini seharusnya difikirkan penyelesaian segera oleh pembuat dasar seperti Kementerian Pendidikan. Masyarakat juga memahami bahawa kementerian maklum akan perkara ini kerana ia melibatkan soal peruntukan dan lain-lain hal. Namun, pendidikan menjadi lebih bermakna apabila anak bangsa mempelajari sesuatu dari “pakar bidangnya” sendiri yang mempelajari konten pendidikan opsyen kepakaran dan ilmu  pedagogi selama 4 tahun di universiti. Penyelesaian? Isytihar Pekeliling. Masalah? Kekangan peruntukan. Tindakan sekarang? Doakan perkara ini mampu jadi kenyataan dengan hikmah pihak berkenaan, demi anak bangsa kita.

4. Keterbukaan dan Hikmah

Belajar sejarah tidak boleh emosi negatif. Emosi menghayati sejarah itu positif. Namun emosi yang diselitkan dengan mencerca kajian sejarawan, menafikan fakta sejarah yang dipersetujui majoriti sejarawan, ia adalah negatif. Hasil emosi negatif ini mencetuskan penilaian moral (moral judgement) yang sangat ditentang dalam disiplin sejarah. Maka, ketenangan dan keterbukaan ketika menuntut ilmu sejarah lebih penting daripada emosi negatif.
Kita boleh tidak bersetuju dengan pandangan sebahagian sejarawan. Ia disebabkan emosi negatif mungkin menghasut kita bahawa sejarawan menafikan hak kita berhubung sesuatu isu seperti kepentingan komuniti. Namun, kita juga tidak boleh menafikan, sejarawan mempunyai hak menafsirkan sesuatu peristiwa sejarah disebabkan kepayahannya mencari sumber rujukan untuk disajikan kepada masyarakat secara berilmiah.

Kongsikan Bersama