Sarawak 1841-1941: Benarkah Kerajaan British Memerintah?

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Birru Aidan:)

Pelajar peringkat sekolah menengah atau universiti seringkali keliru atau dengan yakin menyatakan Sarawak tahun 1841 diperintah oleh kerajaan British. Hakikatnya, Sarawak ketika itu diperintah oleh sebuah keluarga berketurunan British iaitu keluarga Brooke. Pada peringkat awal James Brooke berniat mendapatkan Sarawak, berlaku hubungan tegang antara beliau dengan pihak British. Punca tersebut didorong oleh matlamat asal British di Asia Tenggara abad 19 seperti dinyatakan oleh Tarling hanya berkisar kepada keselamatan dan kestabilan (security and stability) perdagangannya, bukan memerintah (rule).

British tidak ingin tanggungjawab tambahan dalam memerintah Sarawak ekoran British turut menyedari bahawa saingannya, Belanda turut memiliki pengaruh di Borneo. Namun demikian, Brooke yang mendapat inspirasi dari Stamford Raffles yang berjaya menduduki Singapura dan Pulau Jawa, telah melancarkan projek empayar keluarganya di Sarawak. Brooke mula mengorak langkah di Sarawak apabila mengesan Belanda tidak mempunyai autoriti secara langsung di Sarawak. Malah, faktor Sultan Brunei yang tiada hubungan rasmi dengan Belanda menyebabkan James Brooke bertekad mendapatkan Sarawak.

Kerajaan British berbelah bagi. Pada satu aspek, British tidak menyokong Brooke atau dikenali sebagai Rajah yang bebas Sarawak. Tapi, pada satu aspek yang lain, kerajaan British sedar mereka perlu menjaga rakyatnya iaitu Brooke. Keadaan ni menyebabkan British terpaksa masuk campur urusan Sarawak dengan mengisytiharkannya sebagai salah satu wilayah lindungan (protectorate) pada tahun 1888. Perkembangan tersebut menjelaskan matlamat asal stability and security ditambah dgn satu lagi oleh British iaitu rule di Sarawak, walaupun peringkat tersebut penglibatan British hanya menumpukan perlaksanaan dasar luar Sarawak demi mengelak ancaman kuasa lain.

Hakikatnya, tindakan British mengisytiharkan protectorate di Sarawak dan kawasan Borneo yg lain adalah demi merealisasikan persetujuan kuasa Eropah dalam konferens di Berlin 1884-1885. Kuasa Eropah bersetuju akan mengakui sempadan yang ditubuhkan saingan mereka jika tuntutan tersebut disokong oleh kependudukan kolonial yg berkesan.

Jadi, meskipun tiada pengisytiharan sempadan jelas di Sarawak tahun 1880-an berbanding yang ditentukan dalam Perjanjian Inggeris–Belanda 1824, kuasa Eropah secara tidak langsung mengakui bahawa British  memiliki autoriti di Sarawak. Ia dibuktikan menerusi kependudukan berkesan oleh seorang rakyatnya yang “ghairah” menubuhkan empayar iaitu  Brooke.

Ringkasnya, tahun 1841-1941: Sarawak diperintah oleh rakyat British iaitu keluarga Brooke. Namun, akhirnya tujuan pemerintahan penuh kerajaan British dicapai tahun 1946, apabila Sarawak ketika itu menjadi tanah jajahan Mahkota British dengan rancangan yang dirangka British sejak 1880-an.

Nicholas Tarling. 1992. The Establishment of the Colonial Regimes. dlm The Cambridge History of Southeat Asia. Vol 2. The Nineteenth and Twentieth Centuries. Tarling, N (ed). Cambridge: Camridge University Press.

Barbara Watson Andaya & Leonad Y. Andaya. 2001. A History of Malaysia. Hampshire: Palgrave


Kongsikan Bersama