*Oleh: Ezafel Hakimi:)
Perkataan ‘sastera’ berasal daripada bahasa sanskrit castra yang membawa maksud kitab suci. Kesusasteraan pula membawa pengertian sebagai segala penghasilan sastera yang dinikmati atau disampaikan, baik melalui tulisan dan pembacaan mahupun melalui lisan dan pendengaran. Sastera telah berfungsi sebagai wadah yang memperjelaskan abstrak Melayu kerana di dalamnya mencakupi karya-karya agama, adat istiadat, hukum, sejarah, salasilah, perubatan dan sebagainya. Karya sastera telah menjadi pengajar dalam hal-hal yang membantu kehidupan manusia seperti nilai-nilai dasar dan kehalusan cara berinteraksi antara manusia dengan seni.
Oleh yang demikian pada abad ke -19, para intelektual Melayu seperti Raja Ali Haji dan Harun Mat Piah telah mengangkat tinggi nilai puisi, pantun dan syair sebagai medium penyebaran ilmu, memperkaya budi dan menyanjung tinggi adab. Malah penghasilan karya tersebut diteliti agar naskhah sastera yang dikarang mempunyai nilai estetika tersendiri dan dapat difahami dengan lebih baik. Kebanyakan para intelektual Melayu telah mengolah dan mengarang karya sastera dengan menerapkan unsur nasihat dan pengajaran, keagamaan malah aspek ketatanegaraan. Hal ini bertujuan agar karya sastera diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat sama ada golongan atasan atau bawahan ataupun golongan muda atau tua. Malah, pemilihan gaya bahasa dan ungkapan yang sesuai akan dibandingkan dengan realiti kehidupan masyarakat Melayu seterusnya membolehkan naskhah atau karya tersebut diguna pakai atau diterapkan dalam kehidupan masyarakat.
Eizah Mat Hussin. 2007. Simbol dan Makna dalam Pantun Melayu. Kuala Lumpur: Malaysian Institute of Translation & Books.
Mana Sikana. 2014. Teori Sastera Taabudiyyah: Sastera untuk Pengabdian. Batu Caves: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.