Sejarah Nama Tanjong Malim

  • Post category:Pendidikan
Kongsikan Bersama

Oleh: Birru Aidan:)

Tanjong Malim terkenal sebagai tempat bersejarah terutama dari aspek institusi pendidikan yang terkenal iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Asal usul nama Tanjong Malim dikesan oleh Za’ba seperti berikut:

1) Nama asalnya Sungai Genta

Ia dimaklumkan oleh seorang penduduk lama berumur 103 tahun kepada Za’ba. Pertukaran nama Sungai Genta kepada Tanjong Malim berkait rapat dengan seorang guru agama atau muallim yang seringkali mengamalkan ibadah dalam sebuah lubang bawah tanah, di satu sudut Sungai Bernam. Dalam Islam, ibadah sebegini lazimnya dikenali sebagai uzlah atau bersendirian menyucikan hati.

2) Nama asalnya Berenam

Istilah berenam diambil sempena enam orang saudara dari Sumatera. Mereka menjadi peneroka membuka petempatan di sepanjang sungai Tanjong Malim. Kematian enam saudara tersebut ditandai dengan kubur yang tidak begitu menonjol di tebing sungai. Tempat tersebut kemudian digelar sebagai Ber-enam. Nama Bernam diganti pula kepada Tanjong Malim kerana seorang daripada enam saudara tersebut dipercayai alim dalam bidang agama. Kubur muallim tersebut dihormati sebagai tempat keramat (suci), manakala tanah atas sungai yang diduduki muallim kerap menjadi pilihan penduduk sebagai kawasan mendarat. Peredaran zaman memperlihatkan nama Tanjong Malim menggantikan Bernam yang semakin kurang digunakan.

Justeru, sejarah nama Tanjong Malim menjelaskan kepada kita betapa tingginya martabat individu yang mempunyai pengetahuan dalam sesuatu bidang. Anak bangsa di Malaysia semestinya berterima kasih dengan Tanjong Malim (kini diisytiharkan sebagai satu kawasan dalam daerah baharu; Daerah Muallim) berikutan melahirkan produk pendidik terbaik menerusi UPSI. Terima kasih cikgu.

Zainal Abidin Ahmad. 1925. The Origin of Some Malay Place-Names. Journal of the Malayan Branch Royal Asiatic Society. III(I). 79-82.


Kongsikan Bersama