Sejarah Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA)

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Perbadanan Pembangunan Bandar atau Urban Development Authority (UDA) merupakan syarikat pegangan milik kerajaan Malaysia yang diperbadankan pada tahun 1966. Ia ditubuhkan bagi melancarkan dan menyelia projek-projek pembangunan bandar yang berkaitan dengan sektor perniagaan, industri dan perumahan. Badan ini ditugaskan membangunkan prasarana kawasan bandar. Perbadanan Pembangunan Bandar telah ditubuhkan sebagai sebuah perbadanan milik kerajaan pada 12 November 1971 di bawah Menteri Perbadanan Awam melalui Akta Perbadanan Pembangunan Bandar.

Pada tahun 1996, syarikat ini telah diperbadankan sepenuhnya dan menukar nama kepada UDA. Dari segi pembangunan, UDA telah menjadi aktor dalam membangun dan mengambil alih beberapa bangunan bandar yang dianggapnya sesuai. UDA turut bertanggungjawab bagi penyelenggaraan bangunan-bangunan bersejarah di kawasan bandar. Antara beberapa bangunan bersejarah yang telah dibangunkan oleh UDA termasuklah Taman Dr. Ismail di Kuala Lumpur, Bandar Tun Hussein Onn di Cheras, Selangor dan juga Bandar Baru Uda di Johor Bharu.
Photo by: ceotower.com (ed)
Dalam usaha membangunkan infrastruktur negara, kerajaan mendapati bahawa terdapat banyak peluang perniagaan di bandar yang patut diberikan kepada orang Melayu. Kebetulan ketika itu perancangan pembangunan sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan. Oleh itu, terdapat beberapa program yang diatur UDA demi kepentingan orang Melayu, seperti menyediakan ruang niaga yang telah siap dibina. Tujuan program ini ialah untuk membuka peluang kepada usahawan Melayu mendapat tempat perniagaan yang strategik di kawasan bandar untuk membolehkan mereka memulakan perniagaan. Antara ruang niaga yang melibatkan program UDA ialah kompleks Ampang Park, Wisma Central, Pertama Complex, Wisma MPI dan Sungai Wang Plaza. Melalui program ini, UDA juga menyediakan kredit untuk pengubahsuaian ruang niaga, peralatan pernigaan dan modal pusingan.
Photo by: harisrahman.com (ed)

Sungguhpun di peringkat permulaan UDA menumpukan perhatiannya di kawasan-kawasan sekitar Kuala Lumpur, tetapi kini kegiatan UDA telah meluas ke setiap negeri. Ini termasuk projek mendirikan bangunannya sendiri di kawasan yang sesuai di atas tanah kerajaan atau tanah awam. UDA turut membeli bangunan perniagaan yang sesuai dalam kawasan perniagaan atau menyewa bangunan perniagaan daripada pemilik-pemilik persendirian. Keadaan ini membolehkan peniaga-peniaga yang berkemampuan khususnya peniaga bumiputera memperoleh manfaat seperti membeli bangunan UDA secara tunai atau pun ansuran. Malah peniaga-peniaga juga boleh menukarkan bayaran sewa untuk dijadikan bayaran permulaan. Justeru, UDA memainkan peranan yang penting dalam membantu peningkatan taraf hidup masyarakat khususnya di kawasan bandar.


Gale, B. 1984. Politics and Business: A Study of Multi-Purpose Holdings Sdn Bhd. Kuala Lumpur: Eastern Universities Press.

Jamaie Haji Hamil. 2018. Umno dalam Politik dan Perniagaan Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mustaza Abdullah & Mat Marjani Hj Yahya. 1991. Kemahiran Hidup Bersepadu TERAS. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Kongsikan Bersama