Sistem Perundangan Kesultanan Melayu Melaka

Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Sistem perundangan yang dilaksanakan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka menjadi tonggak utama kepada kelangsungan dan keamanan negeri Melaka. Kenyataan Tome Pires yang mengatakan “They have civil and criminal (jurisdiction) over every person in their lands…” membuktikan adanya undang-undang yang dilaksanakan sepanjang abad ke-15.

Photo by: blogs.bl.uk (ed)
Hukum Kanun Melaka (HKM) boleh disebut sebagai Undang-Undang Darat yang mengandungi 44 fasal. Undang-undang ini telah disusun sepenuhnya oleh Sultan Mansur Syah selepas diasaskan oleh Sultan Muzaffar Syah. Dalam HKM mengandungi hal-hal tanggungjawab raja dan pembesar, jenayah, undang-undang keluarga, harta, kontrak, hukum perdata (civil) dan pidana (criminal). Pengaruh HKM terserlah apabila negeri Perak dan Pahang memperkenalkan Undang-Undang 99 dan Hukum Kanun Pahang masing-masing.
Undang-undang Laut Melaka mengandungi 25 Fasal utama dengan 24 Fasal yang memperuntukkan kuasa dan tugas para pegawai dan anak kapal, peraturan keselamatan laut, pembahagian dagangan, tambang dan kecurian di atas kapal. Undang-undang ini digubal sewaktu pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Undang-undang Laut Melaka lebih dikenali sebagai Adat Pelayaran Melaka, Kitab Peraturan Pelayaran dan Hukum Undang-Undang Laut. Pengaruh undang-undang ini dapat dilihat dalam Undang-Undang Laut Kedah serta diamalkan di kerajaan Patani dan Gowa di Sulawesi dengan mengekalkan versi asal atau mengubah ciri-ciri undang asal.
Photo by: deleonbyricardoramos.blogspot.com (ed)

Dengan kewujudan dan pelaksanaan undang-undang ini, aktiviti perdagangan di Melaka berjalan dengan pesat dan mengundang lebih ramai pedagang dari luar. Peningkatan aktiviti perdagangan disebabkan keyakinan dan kepercayaan terhadap sistem perundangan di Melaka. Undang-undang ini mendapat pujian daripada pihak Portugis kerana diterima baik oleh pedagang dari empat penjuru dunia dan pedagang berpuas hati berdagang di Melaka.


Armando Cortesao (eds.). 2010. The Suma Oriental of Tome Pires. England: Ashgate Publishing Limited.

Mohd Jamil Mukmin. 2004. Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara. Melaka: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP).

Mohd Yusoff Hashim. 1947. Sejarah dan Dinamisme Ketamadunan Bangsa. Edisi pertama. Melaka: Institut Kajian Patriotisme Malaysia.

Mohd Samsudin (eds.). 2017. Kegemilangan Maritim Kesultanan Melayu Melaka. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.


Kongsikan Bersama