Sulalatus Salatin: Mitos dan Lagenda Karya Tradisional

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Mitos dan lagenda merupakan unsur yang dilihat dominan dalam karya kesusasteraan Melayu klasik. Mitos-mitos dikemukakan berdasarkan pola kepercayaan serta perkaitan pemikiran masyarakat terhadap unsur-unsur animisme yang mendasari kehidupan mereka. Lagenda pula didefinisikan sebagai cerita yang serius, dipercayai sebagai benar dan mengandungi cerita luar biasa. Takrifan lagenda juga dirujuk sebagai cerita prosa rakyat menerusi ketokohan seseorang individu yang dipercayai mempunyai sifat luar biasa serta dibantu oleh “kuasa” yang lain.

Photo via: riwayatmelayu.blogspot.com
Sehubungan itu, unsur-unsur penonjolan yang diaplikasikan terhadap karya klasik memperlihatkan sentimen imaginatif pengkarya dalam menghasilkan sesebuah karya sejarah. Hal ini dapat dibuktikan melalui karya klasik seperti Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang menceritakan tentang raja Melayu yang dikaitkan dengan keturunan Iskandar Zulkarnain iaitu seorang raja dari Makadunia bernama Raja Suran. Raja Suran telah masuk ke dalam laut menerusi sebuah peti kaca bagi menyaksikan kehidupan di dasar laut malah Raja Suran telah sampai ke negeri bawah laut bernama Dika.
Photo via: nature.desktopnexus.com
Semasa di dasar laut, Raja Suran berkahwin dengan Puteri Mahtabul Bahri dan melahirkan tiga orang putera bernama Nila Pahlawan, Krisyna Pandita dan Nila Utama. Kemudian, ketiga-tiga putera berkenaan naik ke daratan di tempat yang dikenali sebagai Bukit Siguntang iaitu terletak di Palembang. Berdasarkan teks karya tersebut, Nila Utama (Seri Teri Buana) dilantik menjadi raja di Palembang, Nila Pahlawan (Sang Sapurba) di Minangkabau, dan Krisyna Pandita di Tanjung Pura. Zuriat daripada Seri Teri Buana menurut Sulalatus Salatin kemudiannya berjaya membuka negeri Melaka. Jelasnya, gambaran kehidupan di dasar laut dalam karya ini memperlihatkan sentimen imaginatif yang merupakan antara unsur mitos yang terdapat dalam karya klasik.
Photo via: harutmarut.blogspot.com
Selain itu, unsur-unsur penonjolan yang berasaskan mitos ini turut merangkumi segenap penjuru alam sama ada di dunia luar atau sebaliknya. Latar tempat dalam penceritaan sejarah juga seringkali dikaitkan dengan unsur mitos oleh para pengarang. Penonjolan unsur alam dalam karya klasik dapat dilihat melalui karya Sejarah Melayu yang menceritakan tentang pembukaan negeri Melaka oleh Raja Iskandar Syah.


“Titah baginda “Baik tempat ini diperbuat negeri, anjing alah oleh pelanduk; jikalau orangnya betapa lagi?” Maka sembah segala Orang Besar-besar, “Benarlah seperti titah duli tuanku itu.” Maka disuruh baginda tebas, diperbuat negeri. Maka apa titah baginda, “Apa nama kayu itu?” Maka sembah orang, “Kayu Melaka namanya, tuanku, “Maka titah Raja Iskandar Syah, “Jika demikian, Melakalah nama negeri ini.” (Sulalatus Salatin, Hlmn 71)

Photo via: malacca112.weebly.com
Berdasarkan petikan di atas, jelas bahawa latar tempat merupakan antara motif yang digunakan oleh pengarang bagi mengenengahkan unsur-unsur mitos dalam sesebuah karya. Hakikatnya, penonjolan unsur-unsur mitos dapat dilihat melalui hubungan karya dari perspektif pemikiran dan pandangan hidup (world view) sesebuah masyarakat. Pada masa dahulu, pengarang cenderung memilih tema berlatarkan unsur alam, pengorbanan, percintaan dan kasih sayang disebabkan oleh faktor masyarakat yang dibentuk oleh lingkungan inkuiri dan kecenderungan masyarakat untuk mengetahui tentang asal usul sesuatu kejadian.
Seterusnya, unsur lagenda turut menjadi konteks penonjolan yang diberi perhatian oleh pengarang bagi menghasilkan karya-karya klasik. Hal ini dapat digambarkan melalui kebijaksanaan Sultan Mansur Syah dalam mentadbir kerajaannya. Baginda bertindak menjalinkan hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa besar dalam menjamin keamanan kerajaan Melaka. Misalnya, Sultan Mansur Syah mengambil keputusan untuk berbaik-baik dengan Siam meskipun Siam telah menyerang Melaka. Hal ini dijelaskan seperti berikut,


“Apa bicara tuan hamba sekalian, baiklah kita menyuruh ke benua Siam; apa sudahnya kita beralangan selama ini, kita berkelahi dengan dia pun tiada, dan berdamai pun tiada; orang Siam tiada datang ke Melaka dan orang Melaka pun tiada pergi ke Siam.” (Sulalatus Salatin, Hlmn 14-33)

Secara umumnya, dalam menghasilkan sesebuah hikayat atau cerita Melayu terdapat unsur keajaiban dan luar biasa yang menjadi tumpuan pengarang. Maka, unsur mitos dan lagenda dijadikan sebagai alat untuk mengukuhkan sesebuah cerita malah digunakan untuk menarik perhatian dan mewujudkan rasa kagum dan takjub dalam masyarakat Melayu. Unsur-unsur penonjolan seperti mitos dan lagenda ini mampu menjadi daya penarik dalam kepengarangan karya klasik disebabkan unsur-unsur ini dipengaruhi oleh agama Hindu dan juga kedatangan Islam ke alam Melayu. Oleh itu, sumber kepengarangan ini kebanyakannya melangkaui batas pemikiran manusia.



A. Samad Ahmad (Penyelenggara). 2018. Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Khairun Ain Nadiah et al. 2014. Unsur Mitos dan Lagenda yang terdapat dalam Sejarah Melayu. Karya Agung Melayu. Dicapai pada 6 Januari 2021.

Zakaria N., M.H.M, Harun M., & Mohd, F.H. 2019. Unsur Mitos Berdasarkan Teks Sastera Melayu Tradisional. International Journal of Humanities, Philosophy and Language. 2(6): 78


Kongsikan Bersama