Sumber Sejarah: Teknik Baca Sumber Primer

  • Post category:Pendidikan
Kongsikan Bersama

*Oleh: Hasanah Taib:)

Sebagai penuntut atau pengkaji sejarah, sumber amat penting untuk mengkaji atau memperdalami sesuatu peristiwa sejarah. Sumber sejarah terdiri daripada sumber primer, sumber sekunder, sumber tertier dan sumber lisan. Contoh sumber primer yang berbentuk dokumen adalah seperti surat-menyurat, manuskrip-manuskrip lama, catatan atau rekod persendirian, diari, penyata rasmi parlimen, laporan tahunan, minit mesyuarat dan sebagainya. Manakala, sumber primer yang berbentuk fizikal adalah seperti batu bersurat atau penemuan rangka manusia, haiwan, tembikar tinggalan zaman lampau oleh ahli arkeologi. Jadi, sifat sumber primer ini adalah dalam bentuk asli iaitu belum diolah atau ditafsir.

Photo by: medievalbooks.nl (ed)
Satu perkara penting untuk diketahui oleh pengkaji atau penuntut sejarah juga adalah teknik atau cara membaca sumber primer khususnya berbentuk dokumen. Teknik membaca sumber primer sangat perlu untuk membolehkan kita menjalankan kajian mengikut disiplin sejarah yang betul tanpa ada unsur bias atau moral judgement. Antara teknik atau cara asas membaca sumber primer adalah pengkaji perlu membaca perasaan penulis sumber tersebut dan membayangi situasi yang berlaku pada zaman sumber tersebut dihasilkan atau ditulis. Pengetahuan tentang status pengarang atau penulis seperti surat juga antara elemen penting semasa membaca sumber primer. Dengan mengetahui kedudukan penulis sumber tersebut dalam kalangan masyarakat pada zamannya, pengkaji mendapat manfaat seperti mengetahui kredibiliti penulis sesuatu sumber primer. Hal ini kerana, kejujuran penulis pada zamannya kadangkala tidak menyamai realiti peristiwa atau maklumat yang disampaikan ketika itu.
Photo by: stevenrsouthard.com (ed)

Justeru, beberapa persoalan perlu ditimbulkan pengkaji sejarah ketika mambaca sumber primer. Contoh-contoh persoalan yang boleh dibangkitkan;

Adakah penulis sumber menulis keadaan sebenar pada waktu itu?
Apakah kepentingan disebalik penulisannya?
Siapakah sasaran awal atau audien sumber tersebut ditujukan?
Adakah kandungan sumber primer yang ditulis berbentuk retorik, terus kepada makna atau tersirat?

Oleh itu, keupayaan pengkaji sejarah mencari jawapan kepada persoalan ini semasa membaca sumber primer membolehkannya menilai kebenaran maklumat di dalam sumber tersebut. Namun, kebenaran sesuatu maklumat perlu juga dinilai dengan cara penyemakan (cross checking) sumber primer atau dokumen yang lain.

Photo by: thegospelcoalition.org (ed)
Penat lelah pengkaji sejarah mencari jawapan kepada persoalan-persoalan itu mampu menghasilkan manfaat. Ia kerana berdasarkan sumber primer seperti surat yang dibaca dengan tertib, pengkaji dapat menentukan tahap kemampuan sesuatu sumber primer demi mencapai matlamatnnya mengemukakan tesis atau hasil kajian sejarah; sama ada sebagai penemuan baharu atau menambahbaik penemuan pengkaji sejarah sebelumnya untuk kebaikan masyarakat.

Kongsikan Bersama