Tajuk Tesis/Kajian Sejarah: Pertimbangan Memilih Tajuk Kajian

  • Post category:Pendidikan
Kongsikan Bersama

*Oleh: Hasanah Taib:)

Seorang pengkaji sejarah kebiasaannya menghadkan kajian terhadap kepakaran bidang sejarah yang dimilikinya. Justeru, dalam pertimbangan pemilihan tajuk kajian, pelajar atau pengkaji sejarah seringkali mengambil kira kepentingan atau lebih tepat kecenderungannya dalam sesuatu bidang sama ada menjurus kepada Sejarah Malaysia, Sejarah Asia Tenggara, Sejarah Eropah, Sejarah Asia Barat dan sebagainya. Selain itu, pengkaji sejarah turut menimbangkan untuk memilih tajuk kajian berkaitan organisasi yang hampir dengan dirinya seperti asal-usul atau pengasasan kepada institusi pendidikan, jabatan-jabatan pengajian, persatuan atau perkumpulan yang disertai oleh pengkaji.

Photo by: twitter.com
Sumber ilham dalam memilih tajuk kajian sejarah pula perlu berasaskan kepada pengalaman sendiri. Dalam erti kata lain penerokaan, pembacaan, penelitian dan pemerhatian terhadap persekitaran adalah antara pengalaman bermakna pengkaji bagi memudahkannya untuk membuat pilihan sesuatu tajuk kajian sejarah. Selain itu, sumber ilham memilih tajuk juga boleh menjurus kepada keinginan pengkaji untuk menyambung kajian yang dilakukan oleh orang lain. Meskipun tajuk kepada kajian hampir sama dengan kajian sejarah sedia ada, perubahan persekitaran penting ditekankan oleh pengkaji demi memaparkan kelainan atau ilmu baharu seperti mengubah persekitaran tempoh masa dan geografikal dalam tajuk kajian.
Photo by: veniceresidence.it
Selain itu, asas kepada pertimbangan tajuk tesis ialah, pengkaji perlu mengetahui definisi operational yang terdapat dalam tajuk kajian. Dalam erti kata lain, pengkaji sejarah perlu jelas atau mengetahui setiap konsep atau maksud perkataan yang digunakan dalam tajuk kajian. Pengkaji sejarah perlu jelas mengapa tempoh kajian dalam tajuk tersebut dipilih? Pada peringkat awal pembinaan tajuk juga, pengkaji perlu ada kesedaran diri dengan menimbulkan persoalan sejauhmanakah kemampuan pengkaji dalam mencari eviden atau sumber primer dan sekunder daripada tajuk kajian yang dibina?
Photo by: worthpoint.com
Antara tips penting pemilihan tajuk kajian yang tidak boleh diabaikan ialah “niat” seseorang pengkaji sejarah dalam tajuk kajian yang dipilih. Sekiranya tajuk kajian yang dipilih lebih menjurus kepada “kepentingan diri” pengkaji iaitu bertujuan menaikkan dirinya dalam sesuatu bidang akademik; atau ingin mendapatkan perhatian/populariti daripada golongan pembaca ekoran selari dengan isu tular keadaan semasa, kejujuran pengkaji dalam mempamerkan kebenaran ilmu sejarah akan dipertikaikan oleh sarjana lain. Contohnya, tajuk dengan penggunaan perkataan (wording) kontroversi seperti Kejahatan/Kelicikan Kumpulan Karung Beras, di Kuala Lumpur 1880-1900 @ Kegagalan Pentadbiran Pembesar Perak, 1870-1880 bakal mengundang dua persoalan/reaksi golongan akademik terhadap tajuk ini:
Photo by: diariofemenino.com

1) Perkataan awal tajuk menunjukkan ia bersifat menghukum. Pengkaji telah melakukaan pengadilan moral (moral judgement) iaitu menghukum subjek kajian sebagai gagal dan jahat.

2) Perkataan yang sama dalam tajuk kajian memperlihatkan kelemahan tesis iaitu cenderung ke arah bias yang sangat ditentang dalam disiplin sejarah.


Kongsikan Bersama