Teknologi Seni Bina dan Sosiobudaya Masyarakat ProtoSejarah

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Sosiobudaya masyarakat zaman protosejarah difahami dengan jelas ekoran wujudnya kesan-kesan peninggalan budaya seperti candi atau bangunan; penemuan catatan-catatan atau inskripsi bagi menggambarkan kegiatan ekonominya. Kemahiran yang dimiliki dari segi penciptaan perkapalan dan pengetahuan berhubung keperluan keagamaan mempengaruhi teknologi pembinaan seni bina masyarakat awal zaman protosejarah di Asia Tenggara. Masyarakat awal ketika itu mahir dalam mengukir patung-patung untuk tujuan penyembahan. Kemahiran ini wujud lanjutan ekpedisi Alexander The Great di India telah memperkenalkan seni bina ukiran pada zaman Hellenistik. Kebanyakkan patung ini dihasilkan untuk upacara pemujaan. Perkembangan penghasilan seni bina ukiran tersebut menyumbang kapada aktiviti eksport ke luar negara.

Photo via: hinduhumanrights.info
Penguasaan teknologi seni bina oleh penduduk tempatan dari India mempergiatkan penghasilan candi dan patung-patung untuk tujuan penyembahan. Kebanyakkan patung yang dibina menyerupai tuhan-tuhan kepercayaan mereka seperti Visnu, Shiva dan Brahmin. Selain itu, penciptaan rumah-rumah ibadat iaitu candi-candi juga begitu ketara dalam sosiobudaya masyarakat protosejarah Asia Tenggara. Pada abad pertama sehingga lima masihi, hampir semua kerajaan awal Asia Tengara dipengaruhi dengan agama Hindu dan Buddha seperti Kerajaan Funan, Kerajaan Champa, Kerajaan Langkasuka dan Kerajaan Kedah Tua. Penghasilan seni bina berupa patung dan bangunan menjadi simbol keagungan agama setiap kerajaan tersebut. Sarjana seperti Zuliskandar Ramli contohnya berpandangan ajaran Buddha Mahayana mendapat tempat di Malaysia pada abad ke-5 ekoran wujudnya gabungan pengamalan spiritual antara agama Buddha dan kepercayaan Animisme.
Photo via: ancientkedahheritage@facebook.com
Pembinaan sesebuah bangunan zaman protosejarah melalui proses teknologi seperti pembakaran tanah liat pada suhu dan keadaan tertentu. Terdapat beberapa bentuk bata yang dihasilkan dengan pelbagai bentuk seperti segi empat tepat dan segi empat sama. Tanah liat yang diperolehi dari lembangan sungai dan paya-paya dibentuk menjadi bata. Bata menjadi asas kepada bahan binaan sejak lebih kurang 5000 tahun dahulu. Justeru, penggunaan teknologi bata merupakan suatu anjakan pengetahuan dalam tamadun manusia berikutan sumber semulajadi tersebut dioptimumkan penggunaannya untuk skala pengeluaran yang besar. Pembinaan bangunan yang menggunakan bata ini membolehkan manusia berada dalam keadaan aman terhadap cuaca dan juga haiwan buas kerana sifatnya yang stabil dan tahan lasak.
Pembinaan candi-candi turut memperlihatkan bahawa masyarakat awal di Asia Tenggara mempunyai kepakaran dan estetika tersendiri dalam ilmu pertukangan. Kebanyakkan candi dibina melalui batu bata yang telah dileburkan dengan takat didih yang tinggi bagi mengukuhkan sesuatu binaan. Masyarakat awal ini memiliki kemahiran menentukan bahan-bahan campuran serta kaedah pembakaran yang sesuai dalam pembuatan bata. Antara batu yang sering digunakan adalah seperti batu merah dan batu andesit. Contohnya, pembinaan Kompleks Pencandian Batujaya mempunyai campuran sekam padi dan juga campuran pasir sebagai bahan penguat tambahan.
Photo via: gomyanmartours.com

Selain itu, terdapat juga penemuan tinggalan candi lain seperti di Beikthano, Halin, Taungwingyi, Sriksetra, Meingmaw, Waddi dan Thegon di Mynmar. Di Champa pula, terdapat beberapa candi terkemuka iaitu Candi Po Nagar di Nha Trang dan Candi Bhadresvara di Phan Rang. Kebanyakkan candi yang dijumpai oleh para arkeologi masih berada dalam keadaan baik walaupun dimamah usia. Keadaan ini didorong oleh keberkesanan teknik pembinaan serta kewujudan sistem pengkhususan pekerjaan dalam kalangan masyarakat protosejarah. Kesimpulannya, zaman protosejarah atau masyarakat awal merupakan zaman transisi antara zaman prasejarah ke zaman sejarah yang memperlihatkan perkembangan dari sudut sosiobudayanya. Perkembangan tersebut jelas didorong oleh peningkatan penghasilan teknologi seni bina. Pengetahuan yang dimiliki masyarakat protosejarah dalam teknologi seni bina tersebut selaras dengan kewujudan sistem kepercayaan dan keagamaan (Hindu-Buddha) yang diterjemahkan menerusi unsur ketamadunan atau kebudayaan yang lebih kompleks.


Nik Hassan Shuhaimi & Zuliskandar Ramli. 2018. Prasejarah dan Protosejarah Tanah Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Jelani. 2008. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Utusan Publications and Distributors. Selangor.


Kongsikan Bersama