Teori pertama terdiri daripada golongan Vaisya iaitu golongan pedagang dalam kasta Hindu yang dianggap sebagai perintis dalam mengembangkan pengaruh India di Asia Tenggara. Keadaan ini berlaku ekoran kemajuan dalam teknologi perkapalan dan hubungan antara India dan Asia Tenggara, khususnya kawasan pesisir. N.J Krom mengemukakan pendapat bahawa orang India yang datang ke Asia Tenggara terdiri daripada golongan pedagang kerana ingin menjalankan aktiviti perdagangan. Pedagang India mula beralih arah ke Asia Tenggara kerana mereka kehilangan punca import batu permata lanjutan serangan yang dilakukan orang nomad Yueh-chi telah menyekat laluan perdagangan mereka dari Baktri menuju ke Siberia. Maharaja Vespian juga mengambil langkah untuk menghalang aktiviti mengeksport batu permata sehingga menyebabkan India perlu mencari kawasan lain bagi mendapatkan barangan ini. Sehubungan itu, mereka memilih Asia Tenggara yang terkenal dengan nama Golden Khersonese (Semenanjung Emas), Suvarnabhumi (Bumi Emas) dan Sivarnadvipa (Pulau atau Semenanjung Emas).
Selain golongan Vaisya, penyerapan kebudayaan India di Asia tenggara juga dipengaruhi oleh teori kedatangan golongan Ksyatria. Menurut teori ini, agama Hindu tersebar di Asia Tenggara melalui kegiatan penaklukan oleh pahlawan-pahlawan India dengan mengalahkan beberapa daerah dan kemudiannya mendirikan kerajaan Hindu. Perkara ini disokong oleh C.C Berg yang menyatakan bahawa kebudayaan India berkembang kerana kegiatan hulubalang India yang berpindah masuk ke Asia Tenggara. Mereka memainkan peranan penting seperti bangsawan sebagaimana yang diceritakan dalam Panji Jawa. Mereka kemudiannya berkahwin dengan wanita tempatan dan membentuk satu masyarakat keratin bercorak kacukan. Sarjana seperti R.C Majumdar menggunakan istilah Greater India Society (Persatuan India Besar) dalam kajian beliau berhubung sejarah awal Champa dan Jawa sebagai merujuk kepada pengaruh goloongan Vaisya ini. Namun, teori ini banyak mencetuskan kontroversi dan ditolak oleh ramai sarjana kerana tiada bukti jelas dijumpai yang menunjukkan orang India pernah menjadi raja di Asia Tenggara.
Teori kedatangan Hindu Buddha turut dikaitkan dengan golongan Brahmin. Berdasarkan sistem kasta masyarakat Hindu di India, golongan Brahmin merupakan golongan kelas yang tertinggi. Mereka merupakan golongan yang mahir dalam ilmu agama dan kesusasteraan Sanskrit. Maka, dengan kepakaran yang dimiliki, mereka ditugaskan untuk menyebarkan agama. Antara peristiwa berkaitan teori kedatangan Hindu Buddha oleh Brahmin di Asia Tenggara ialah penubuhan kerajaan Funan di Kemboja pada abad pertama Masihi. Peristiwa tersebut dikaitkan dengan seorang Brahmin bernama Kaundinya yang berasal dari India. Beliau merupakan seorang yang mahir dalam ilmu keagamaan dan menjadi individu yang bertanggungjawab dalam menghasilkan kitab Arthasastra. Walau bagaimanapun, sejauh mana kesan kedatangannya di Asia Tenggara tidak dapat dipastikan, bahkan kebenaran kisahnya sendiri masih dipersoalkan dalam kalangan sarjana.