Teori Kedatangan Islam dari India Ke Alam Melayu

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Secara umumnya, terdapat tiga teori yang menjelaskan kedatangan Islam ke Alam Melayu. Antaranya ialah dari Arab, China atau IndoChina dan India. Namun, para sarjana dan pengkaji sejarah tidak bersependapat dan masih wujud kontroversi dalam menyatakan tarikh sebenar kedatangan Islam ke Alam Melayu. Malah mereka juga berbeza pandangan dalam menentukan tempat atau daerah dari India yang membawa Islam ke Alam Melayu.

Photo via: thenews.com.pk
Berdasarkan teori kedatangan Islam dari India, terdapat beberapa pengkaji sejarah memberi hujah dan bukti-bukti berdasarkan hipotesis tersendiri. Van Ronkel menyatakan bahawa Islam dibawa dari India Selatan berdasarkan analisis bahawa semua bentuk-bentuk popular Islam seperti ciri-ciri ghaib, sastera roman dan sebagainya berasal dari India Selatan. S.Q Fatimi dalam Islam Comes to Malaysia berpendapat bahawa kedatangan Islam ke Alam Melayu dikesan dari Bengal berdasarkan hujah penemuan bentuk batu nisan di Pasai yang mirip batu nisan di Bengal.
Photo via: portal-sejarah.com
Hujah S.Q Fatimi disangkal oleh J.P. Mouquette iaitu seorang sarjana Belanda dan R.A. Kern. Mereka memiliki persamaan pandangan bahawa batu nisan di Pasai, kawasan Utara Sumatera (831 H/1428) dan di Gerisik, Jawa Timur adalah mirip dengan batu nisan di Cambay, Gujerat. Sungguhpun demikian, teori Mouquette dan Kern disangkal pula oleh seorang pengkaji Inggeris yang tinggal di Tanah Melayu iaitu G.E. Morrison. Morrison menyatakan bahawa ketika Samudera diislamkan, Gujerat dan daerah-daerah lain di India masih beragama Hindu.
Photo via: utm.my

Menurut Syed Naquib Al-Attas, pandangan yang mengaitkan penemuan batu-batu nisan bagi membuktikan tempat asal kedatangan Islam ke sesuatu kawasan merupakan satu kekeliruan yang besar. Hal ini kerana, beliau menegaskan penemuan batu-batu nisan di Alam Melayu sekadar menunjukkan bahawa barangan tersebut mudah didagangkan atau dibawa dari sesebuah kawasan atau daerah seperti di India. Dalam erti kata lain, Al-Attas menjelaskan bahawa penemuan batu nisan di Alam Melayu yang mirip dengan batu nisan luar negeri bukan kayu ukur tepat menentukan keadatangan Islam berpunca dari daerah luar negeri tersebut. Ringkasnya, teori kedatangan Islam ke Alam Melayu yang berasal dari India masih tidak jelas berikutan terdapat pelbagai pandangan berbeza dalam kalangan sarjana berhubung perbahasan tersebut.


Abdul Rahman Haji Abdullah. 1990. Pemikiran Umat Islam di Nusantara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

D.G. E. Hall. 1968. A History of Southeast Asia. London: MacMillan & CO LTD.


Kongsikan Bersama