Undang-Undang 99 Perak

Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan Perak terbit kesan daripada kedatangan Islam ke Tanah Melayu lama. Sejarah kedatangan Islam ke seluruh Alam Melayu telah mengubah corak pemerintahan beraja dan sistem perundangan Kerajaan Melayu Lama daripada ajaran Hindu kepada ajaran Islam. Undang-undang ini merupakan salah sebuah karya agung yang menjadi penanda aras kebesaran penulisan manuskrip Melayu.

Photo by: nlb.gov.sg (ed)
Menurut Winstedt (1934) Undang-undang 99 Perak merupakan sebuah naskhah undang-undang yang cukup menarik. Ia diperkenalkan oleh Sayid Hussain Al-Faradz yang telah datang ke Perak dari Hadramaut pada abad ke-17. Beliau telah datang ke Perak pada zaman pemerintahan Sultan Perak ke-11, iaitu Sultan Mahmud Iskandar Shah (1653-1720). Undang-undang yang dibawa dari Hadramaut itu mampunyai 40 fasal. Apabila diterima pakai di Perak, ia telah ditambah menjadi 99 fasal. Teks undang-undang ini digunakan oleh keturunan Sayid Hussain yang telah dilantik menjadi menteri di Perak. Antaranya ialah Sayid Abu Bakar, Sayid Abdul Majid dan Sayid Jalaludin. Undang-undang ini dianggap telh pun ditulis dan digubah oleh menteri atau hakim berasaskan kitab atau bahan bacaan semasa berkhidmat di istana Perak. Jadi, fasal tersebut telah dikembangkan menjadi 99 fasal seperti yang disebutkan sebelum ini.
Photo by: root.sg (ed)

Undang-undang 99 Perak mengandungi 99 perkara berhubung dengan persoalan undang-undang. Keunikan undang-undang ini boleh dilihat melalui struktur penulisannya yang berbentuk soal-jawab antara Raja Nasarwan Adil atau lebih dikenali dengan nama Anushivan dengan seorang Perdana Menterinya. Huraian Undang-undang 99 Perak ini cukup menarik kerana ia berbeza daripada huraian undang-undang yang biasa ditemui di dalam persuratan Melayu lama. Raja Anushivan terkenal dengan gelaran “Anushivan the Just” merupakan raja dari Dinasti Sasanian, hidup pada zaman Parsi purba antara tahun 513-579. Baginda terkenal dengan sifat keadilannya dan di zaman pemerintahan baginda, negara baginda telah mencapai tahap kegemilangan seperti pembinaan tali air untuk kemudahan rakyat dan pembinaan istana Taq-I Kisra.

Photo by: sembangkuala.wordpress.com (ed)

Undang-undang 99 Perak ini turut terdiri daripada 99 faharasat iaitu undang-undang orang mengadu, undang-undang berlukaan, undang-undang orang membunuh orang, undang–undang orang kafir, undang-undang orang perempuan tiada tentu bapanya, undang-undang orang mengambil perempuan orang, undang-undang seorang perempuan hendak cerai dengan lakinya, undang-undang perkataan sahaja, undang-undang orang belanja orang berkahwin, undang-undang abdi orang, undang-undang orang jadi raja, undang-undang orang jadi pegawai memerintah di dalam mukim, undang-undang kampung atau dusun, undang-undang orang menghidupi binatang jinak dan lain-lain Ringkasnya, Undang-undang 99 Perak bertindak sebagai satu manual yang menjadi rujukan bukan hanya kepada golongan pemerintah malahan untuk rakyat jelata.

Suria Fadhillah Md Pauzi, Azniza Ahmad Zaini & Mohd Azmi Nias Ahmad. 2015. Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan: Warisan Persuratan Melayu Negeri Perak. Pahang: Universiti Teknologi MARA.

Ahmad Jelani Halimi & Ishak Saat. 2010. Warisan Melayu Perak. Johor: Universiti Tun Hussein Onn


Kongsikan Bersama