Revolusi Inggeris: Tentangan Terhadap Penguasaan Mutlak

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Jariah Sukimin:)

England sinonim sebagai sebuah negara Eropah yang menjalankan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berpelembagaan. Sistem tersebut turut mementingkan nilai tradisi England seperti upacara pembukaan sidang parlimen yang dirasmikan oleh Ratu England. Pengukuhan sistem pemerintahan tersebut bertitik tolak kepada peristiwa Revolusi Inggeris yang berlaku sekitar tahun 1640-1649. Peristiwa tersebut adalah manifestasi tentangan penduduk England terhadap pemerintahan bersifat kepimpinan mutlak yang diamalkan oleh Raja Charles I.

Photo by: onthisday.com (ed)
Antara punca Revolusi Inggeris tercetus sehingga membawa kepada hukuman pancung terhadap raja mereka ialah kecenderungan “imperialisme” Raja Charles I mendominasi bidang keagamaan. Charles I cenderung kepada mazhab katolik. Abad ke-17 menyaksikan ramai penduduk tempatan menolak pengaruh katolik di gereja-gereja England. Hal ini kerana kebanyakan daripada pelabur-pelabur dan ahli parlimen di England cenderung kepada mazhab Kristian Protestan. Malah, penduduk Scotland turut menentang tindakan Charles I ekoran beliau cuba menggugat kebebasan mereka yang majoriti berfahaman presbyterian (satu aliran dalam protestan). Tindakan Charles I yang berusaha untuk menentukan keseragaman aliran agama dalam kerajaannya menyebabkan peperangan dilancarkan oleh penduduk Scotland dan tentera parlimen England terhadap beliau pada tahun 1640 dan 1645.
Photo by: vzok@youtube .com (ed)
Tindakan Charles I membelakangkan parlimen turut menjadi punca Revolusi Inggeris terjadi. Sikap Charles I tersebut diwarisi dari bapanya iaitu Raja James I seperti melaksanakan cukai tanpa persetujuan parlimen. Golongan parlimen tidak berpuas hati dengan tindakan Charles I kerana mengabaikan tuntutan mereka supaya tidak menangkap rakyat dan tidak melaksanakan cukai sewenang-wenangnya sebagaimana yang diperuntukkan dalam Petition of Right 1628. Pada tahun 1640, Charles I mengambil langkah sama seperti sebelumnya iaitu membubarkan parlimen. Hal ini kerana parlimen menolak tuntutan Charles mendapatkan dana menerusi kutipan cukai rakyat bagi membantunya dalam peperangan menentang penduduk Scotland. Meskipun Charles I mendakwa penduduk Scotland mengkhianatinya apabila cuba mendapatkan bantuan Raja Louis XIII dari Perancis menerusi penulisan surat, Parlimen beranggapan surat tersebut kurang popular. Ia berikutan peperangan Charles I terhadap penduduk Scotland juga tidak mendapat keyakinan penduduk England.
Photo by: nam.ac.uk (ed)

Kepimpinan Charles I yang cuba bertindak sebagai pemimpin berkuasa mutlak mencetuskan peperangan dengan parlimen. Pada tahun 1645 tentera parlimen (roundheads) pimpinan Oliver Cromwell berjaya mengalahkan tentera Charles I (royalist). Pada 30 Januari 1649, Charles I dijatuhkan hukman pancung berikutan merancang konspirasi pengkhianatan menghidupkan kembali konsep devine right of the king. Justeru, Revolusi Inggeris 1640-1649 di England menggambarkan sebagai tempoh penularan atau tuntutan demokrasi oleh masyarakat Eropah agar raja-raja mereka menerima prinsip serta hak rakyat iaitu perlembagaan.


William A. Pelz. 2016. A People’s History of Modern Europe. London: Pluto Press.

Martyn Bennet (ed). 2013. The English Civil War 1640-1649. New York: Routledge.


Kongsikan Bersama