Kerajaan Sukhotai

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Ezafel Hakimi:)

Terdapat dua kerajaan awal yang dikaitkan dengan orang Thai iaitu Cheing-Mai dan Sukhotai. Kedua-dua kerajaan ini menjadi asas pembentukan kerajaan Siam pada abad ke-14. Namun kerajaan Sukhotai dilihat sebagai sebuah kerajaan paling membangun dan menyerlah dari segi peradabannya. Buddha merupakan pegangan agama yang dianuti oleh masyarakat Sukhotai. Menurut Nicholas Tarling agama Buddha yang diwarisi oleh kerajaan Khmer dan Mon turut diwarisi oleh kerajaan Angkor. Beliau menjelaskan bahawa Teluk Siam merupakan antara wilayah kekuasaan kerajaan Angkor sekitar abad ke-7 Masihi. Meskipun tempoh tersebut, tiada peninggalan bagi menyatakan bahawa populasi masyarakat Teluk Siam ketika itu berpegang kepada agama Buddha, Kerajaan Sukhotai yang didiami oleh masyarakai Thai abad ke-14 pula memperlihatkan penerapan agama Buddha dalam aspek pemerintahan, sosial dan ekonomi.

Photo via: searchinginhistory.blogspot.com
Kekuasaan kerajaan Sukhotai memberi kesan kepada pengukuhan agama Buddha. Hal ini kerana, semasa zaman pemerintahan Rama Kamheng sebagai raja Sukhotai, beliau telah menjalankan ekspedisi penaklukan ke kawasan di selatan Thailand pada hari ini. Kawasan ini diduduki oleh masyarakat Khmer yang berada di Lembah Menam. Namun begitu, tidak semua kawasan masyarakat Khmer ditakluki Sukhotai kerana wilayah seperti Lavo dan Lop-Buri masih berada di bawah kekuasaan masyarakat Khmer. Pengaruh tamadun Mon di wilayah selatan Thailand mula diterima oleh pemerintah Sukhotai khususnya penyerapan agama Buddha Theravada. Sebelum penaklukan berlaku, pemerintah Sukhotai menjadikan agama Buddha Mahayana sebagai agama rasmi mereka. Tetapi ia berubah apabila Buddha Theravada dijadikan sebagai mazhab utama dalam kalangan masyarakatnya.
Golongan diraja kerajaan Sukhotai merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam pengukuhan agama Buddha. Ini dapat dibuktikan selepas kemangkatan Rama Kamheng, anaknya bernama Lo Thai merupakan seorang yang berpegang kuat kepada agama Buddha sehingga bergelar Dharmaraja I (Raja Perundangan). Beliau kurang aktif dalam hal-hal perluasan kuasa jika dibandingkan dengan datuknya. Tetapi sikap Lo Thai yang sangat mencintai keamanan dan tidak suka kepada kekerasan menyebabkan rakyat menyenangi beliau. Lo Thai juga dikatakan seorang raja yang mempunyai sikap perikemanusiaan yang tinggi. Beliau terkenal dengan sikapnya menyantuni golongan banduan di penjara. Beliau memberikan sumbangan kepada masyarakat Sukhotai dari segi pembinaan bangunan, penghasilan kalendar, pengajaran subjek astrologi serta menjadi pengarang kitab astronomi popular berjudul “Traibhumikatha”.
Photo via: antique-buddhas.com
Kerajaan Sukhotai tidak lama tempoh kekuasaannya. Kejatuhan kerajaan ini adalah disebabkan serangan daripada orang Vietnam yang membalas dendam terhadap kerajaan Champa kerana merupakan musuh tradisi mereka. Kejatuhan kerajaan ini juga disebabkan oleh pengkhianatan oleh golongan-golongan elit yang berpaling tadah daripada raja mereka. Sebagai contoh semasa pemerintahan Che Bong Nga, beliau dikhianati oleh Jaya Simhawarman yang merupakan jeneral perang ketika itu. Jaya Simhawarman juga melakukan rampasan kuasa ke atas kerajaan Champa. Beliau didakwa sebagai seorang tali barut kerajaan Vietnam. Ancaman luar dan dalam negeri ini menyebabkan Kerajaan Sukhotai hanya mampu bertahan selama 112 tahun dari tahun 1238 hingga 1350.

Nabir Hj. Abdullah et el. 2000. Sejarah Asia Tenggara (Kebudayaan dan Alam Sekitar). Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nicholas Tarling. 1992. The Cambridge History of Southeast Asia (Volumer One: From Early Times to c.1800). Cambridge: Cambridge University Press.


Kongsikan Bersama