Perjanjian Inggeris – Belanda (1824)

  • Post category:Politik
Kongsikan Bersama

*Oleh: Jacqueline Salomi:)

Perhubungan antara Belanda dan British di Asia Tenggara agak dingin sejak abad ke-17 lagi. Hal ini disebabkan dasar perdagangan yang berbeza di antara kedua-dua pihak. British mengamalkan dasar perdagangan bebas (laissez faire) manakala Belanda mengamalkan dasar perdagangan monopoli. Malah, hubungan kedua-dua kuasa Barat tersebut semakin meruncing kerana terdapat pegawai Belanda yang bersikap anti-Inggeris seperti Jan Peterszoom dan Van der Capellan; manakala pegawai British yang bersikap anti-Belanda ialah Stamford Raffles.

Photo via: sarvinafyp.wordpress.com
Pembukaan Singapura pada tahun 1819 merupakan satu tamparan hebat kepada Belanda. Hal ini disebabkan Singapura telah berjaya menyaingi Pelabuhan Betawi dengan kepesatan dan kemajuan ekonomi yang menguntungkan. Singapura diberi taraf pelabuhan bebas sehingga berupaya mengaut keuntungan sebanyak $4 juta dalam masa setahun. Pada tahun 1820, hasil keuntungan yang diperolehi telah mencukupi untuk perbelanjaan pentadbirannya manakala pendapatannya pada tahun 1823 telah meningkat kepada $13.2 juta. Perkembangan pesat Singapura menyebabkan British bertekad untuk tidak menyerahkan pelabuhan tersebut kepada Belanda. Belanda pula berpendapat bahawa satu cara sahaja yang dapat menyekat pengaruh British iaitu dengan menandatangani perjanjian. British juga berpendapat dengan adanya perjanjian tersebut, pengaruh Belanda dapat disekat daripada menular ke negeri-negeri Melayu.
Photo via: richardjohnbr.wordpress.com
Setelah perundingan demi perundingan diadakan untuk menghentikan pertikaian mengenai hak perdagangan Inggeris-Belanda, akhirnya satu persetujuan dicapai. British dan Belanda menandatangani suatu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Inggeris-Belanda atau Perjanjian London pada 17 Mac 1824 di London. Pihak British diwakili oleh George Canning dan Belanda diwakili oleh Charles W. Wymn. Perjanjian ini dibuat bertujuan untuk menamatkan pergeseran dan hubungan tegang yang berterusan antara dua kuasa demi kepentingan politik dan negara masing-masing.
Dalam Perjanjian Inggeris-Belanda terdapat beberapa syarat penting melibatkan kedudukan wilayah, mengenai perdagangan, kewangan dan syarat-syarat bersama. Perjanjian ini dianggap penting kerana membuka jalan ke arah perluasan kuasa politik dan ekonomi British dan Belanda di Asia Tenggara. Perjanjian tersebut telah membahagikan pemetaan rantau Melayu kepada dua pengaruh; iaitu pengaruh British di seluruh Semananjung Tanah Melayu dan Singapura manakala Belanda mendominasi seluruh kepulauan Indonesia. Keadaan tersebut menyebabkan berlakunya perpecahan dan keruntuhan empayar Johor. Perjanjian ini juga telah berjaya menamatkan masalah perebutan takhta Johor kerana Sultan Hussin menjadi Sultan yang sah di Tanah Besar Johor manakala Sultan Abdul Rahman menjadi Sultan di Kepulauan Riau-Lingga.
Photo via: thelittleredblog.sg

Perjanjian tersebut sebenarnya tidak berjaya sepenuhnya menamatkan pergeseran antara kedua-dua pihak. British dan Belanda saling menuduh dan melanggar syarat-syarat perjanjian yang dipersetujui. British dan Belanda juga tidak mahu bekerjasama dalam membanteras masalah perlanunan dan perdagangan dan mereka lebih mementingkan kedudukan pengaruh masing-masing.

Fuziah Shaffie dan Ruslan Zainuddin. 2000. Sejarah Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn Bhd. 2000.


Kongsikan Bersama