**Oleh: Birru Aidan**
-Tokoh utama yang mempopularkan gerakan Zionis ialah seorang Yahudi dari Vienna (merupakan wilayah pemerintahan Austria-Hungaria) iaitu Theodor Herzl (1860–1904) pada penghujung abad ke-19. Menurut Ilan Pape, Zionisme bermula sebagai sebuah gerakan intelektual berfokuskan kepada gerakan kebangsaan Eropah, tetapi bertukar corak kepada gerakan penjajah apabila pemimpin mereka memutuskan untuk melaksanakan visi kebangkitan kebangsaan mereka di tanah Palestin. Ini juga selaras dengan pandangan sarjana seperti Yosef Gorney bahawa Zionis mempercayai bahawa Palestin pada satu hari akan mengandungi majoriti penduduk Yahudi. Zionisme Politik (Political Zionism) menurut Finkelstein merupakan satu pemikiran Zionis yang berpendirian penyelesaian kepada Jewish Question atau masalah yang dihadapi oleh orang Yahudi ialah menubuhkan semula bangsanya di sebuah negara yang “dimiliki” mereka menerusi mana-mana tempat yang mempunyai majoriti Yahudi. Ini selaras dengan matlamat pemimipin revisionist Zionis iaitu Vladimir Jabotinsky (1880–1940) bahawa Palestin akan menjadi sebuah negara Yahudi apabila ia memiliki majoriti Yahudi.
– Menurut Ilan Pape, penganut Zionisme yang asal iaitu sejak tahun 1850-an telah mengabaikan kepentingan agama Yahudi, sebaliknya menitikberatkan kepentingan sebab-musabab dan Sains sebagai penyelesaian kepada masalah kewujudan Yahudi di Eropah. Ini kerana Yahudi tidak diterima baik di Eropah. Contohnya, kes pertuduhan pengkhianatan terhadap Alfred Dreyfus pada tahun 1894 iaitu seorang pegawai Yahudi di Perancis, menurut Herzl melenyapkan harapan mewujudkan asimilasi Yahudi di Eropah [Dreyfus merupakan anak kepada seorang pengilang tekstil Yahudi yang kaya. Karier Dreyfus memperlihatkan pengukuhan apabila dilantik menjadi kaptain di Perancis tahun 1889. Sungguhpun demikian, Dreyfus pada tahun 1894 telah dituduh mengkhianati Perancis atas dakwaan membocorkan rahsia tentera Perancis kepada pihak Jerman. Walaupun dakwaan pemerintah Perancis tersebut tidak memiliki bukti kukuh, Dreyfus telah dipenjara seumur hidup. Hukuman ke atas Dreyfus turut disokong oleh akhbar-akhbar tempatan di Perancis. Perkembangan tersebut mencetuskan polemik anti-semitik di Perancis dan Eropah]. Justeru, satu-satunya jalan penyelesaian kepada masalah orang Yahudi menurut Herzl ialah orang Yahudi perlu meninggalkan Eropah, membina negara baru di Zion, iaitu tanah Israel. Sungguhpun demikian, menurut Ilan Pappe, Zionisme sebagaimana anjuran tokoh-tokoh awal sebelum Herzl bertindak mengubahsuai agama Judaisme (agama Yahudi) sebagai satu ideologi bangsa atau nation berbanding keaslian agama Judaisme itu sendiri. Justeru bagi mencapai matlamat Zionist, Zionist mencari rujukan bukan menerusi panduan kitab asal Yahudi, sebaliknya menjadikan sejarah Yahudi kuno atau purba sebagai rujukan bagi mencipta atau mengolah masa depan mereka. Contohnya, sehingga kini, Zionis Israel mendakwa bahawa Palestin merupakan milik mereka sejak zaman Judea dan Samaria (era kuno Tebing Barat) iaitu era 2000 tahun sebelum ini. Sungguhpun demikian, hujah Zionist mengaitkan sejarah Yahudi dengan agamanya sebagai justifikasi pemilikan mutlak terhadap sesuatu tanah atau petempatan tidak dapat dipertahankan secara waras sebagaimana diutarakan oleh sarjana seperti Chomsky.
– Pada tahun 1897, Theodor Herzl menganjurkan kongres pertama Yahudi di Basel, Switzerland yang dihadiri 200 delegasi dari Eropah Timur. Persidangan tersebut membincangkan pelbagai aliran kebangsaan yang perlu dipertimbangkan sebelum orang Yahudi mendapatkan Palestin. Antara manifesto Zionis dalam persidangan tersebut ialah “Gerakan Zionis memiliki aspirasi untuk menubuhkan suaka atau tempat perlindungan bagi orang Yahudi di Eretz Israel (Tanah Israel) yang akan dijamin oleh undang-undang antarabangsa”. Namun, kebanyakan Rabbi iaitu agamawan Yahudi menghalang pengikut mereka untuk terlibat dengan gerakan Zionis. Ini kerana golongan Rabbi mempercayai bahawa Zionisme merupakan satu cubaan untuk mencampuri urusan tuhan yang telah menetapkan orang Yahudi perlu kekal dalam buangan sehingga kemunculan Messiah (penyelamat kepada orang Yahudi di akhir zaman). Dalam erti kata lain kelompok Rabbi yang menentang Zionisme merupakan Rabbi Yahudi jati. Hal ini kerana, mereka turut terkeluar daripada kelompok pemikiran Zionisme Budaya (Cultural Zionism) iaitu kumpulan pemikiran yang masih mempertahankan matlamat majoriti Yahudi diperlukan sekadar terhad kepada pemulihan spiritual kepada bangsa Yahudi. Tuntutan Zionis semakin rancak semasa Kongres Zionis kedua tahun 1898 yang memberi penekanan menjajah Eretz Israel bagi mencapai tujuan kongres pertama. Menurut Pappe, pemimpin komuniti Yahudi yang asli [Yahudi Jati] turut bimbang dengan ideologi Herzl berikutan menuntut kedaulatan Yahudi di tanah asing menerusi desakan persamaan status sebagaimana negara-negara lain yang berdaulat. Kongres Ketiga Zionis tahun 1899 pula Herzl mencadangkan permohonan mendapatkan pajakan piagam Palestin dari Sultan Uthmaniyah kerana Palestin merupakan wilayah yang dimiliki oleh Uthmaniyah. Hasrat Herzl untuk menemui Sultan Turki Uthmaniyah di Istanbul gagal lanjutan makluman dari pembantu Sultan Abdul Hamid II, bahawa sultan menolak permohonan Herzl untuk memajak tanah Palestin kepada Yahudi.
– Herzl meninggal dunia pada tahun 1904, namun idea Zionis diteruskan oleh pemimpin berikutnya yang mempunyai kaitan dengan perkembangan Zionis di Rusia sejak penghujung abad ke-19. Haim Weizmann merupakan seorang Yahudi Rusia yang berhijrah ke Manchester, England. Weizmann merupakan antara tokoh ‘territorial Zionist’ yang menggabungkan ideologi romantic nationalisme (penghargaan terhadap warisan sejarah Yahudi) dan revolusi sosialis untuk diperkenalkan di Palestin. Pertubuhan Hovevi Zion (Lovers of Zion) merupakan sebuah gerakan Zionist yang dipelopori oleh Haim Weizmann. Hovevi Zion menumpukan kepentingan awal mereka di Eropah Timur sebelum kemunculan Herzl lagi. Penglibatan Hovevi Zion sinonim dengan perkembangan kekejaman pogrom pada tahun 1881 di Selatan Rusia. Pogrom merujuk kepada gerakan pihak berkuasa Rusia bersifat anti-sematik atau anti Yahudi sebagai reaksi kepada peristiwa pembunuhan Maharaja Rusia iaitu Tsar Alexander II tahun 1881. Dasar liberal Tsar Alexander II dikaitkan dengan pengaruh Kapitalis Yahudi. Pemerintah Rusia berikutnya iaitu Tsar Alexander III menyalahkan orang Yahudi atas peristiwa pembunuhan ayahnya. Pemerintah dan Polis Rahsia Rusia mengesyaki pembunuhan Tsar Alexander II memiliki kaitan dengan gerakan bawah tanah Yahudi yang turut dipengaruhi elemen sosialis dan komunis sejak akhir abad ke-19. Kebimbangan terhadap tindakan tangkapan oleh pemerintah Rusia dan pogrom menyebabkan kelompok Yahudi meninggalkan Rusia, majoriti mereka menuju ke Amerika. Sebahagian Zionis Rusia pula berhijrah ke Palestin yang dikenali sebagai ‘First Aliya’ pada tahun 1882. Kelompok Zionis dalam kalangan First Aliya ini meminta bantuan daripada Baron Edmund de Rothcshild pegawai bank Yahudi paling kaya di Eropah untuk mendanai petempatan mereka di Palestin termasuk menghantar pakar-pakar pertanian bagi merancang penstrukturan penjajahan terhadap tanah Palestin. Pada tahun 1888, tekanan British menerusi dutanya di Istanbul menyebabkan kerajaan Turki Uthmaniyah terpaksa melonggarkan penghijrahan Zionis ke Palestin. Pada tahun 1899, Rothschild menyokong Organisasi Zionis yang merancang penubuhan petempatan Yahudi di Tanah Palestin.
-Kekalahan Utmaniyah dalam Perang Dunia Pertama menyebabkan pihak Barat membuat percaturan licik, seterusnya mengubah peta Arab. Pada 2 November 1917, Arthur Balfour (Menteri Luar British) mengisyitharkan Deklarasi Balfour yang mengesahkan komitmen British menubuhkan petempatan orang Yahudi di Palestin. Haim Weizmann merupakan wakil pemimpin Zionis merangkap perunding bagi merealisasikan deklarasi tersebut. Deklarasi Balfour merupakan tindakan politik oleh Balfour di London untuk membina kumpulan pelobi yang stabil antara pemimpin Yahudi dengan bukan Yahudi, menerusi kecenderungan berpihak kepada keluarga Rothchild.
-Jelas bahwa Deklarasi Balfour antara British dengan Zionis adalah demi memuaskan matlamat kepentingan British. Sarjana seperti Muoin Rabbani berpandangan Balfour mengadakan perjanjian dengan Weizman untuk memelihara kepentingan British di Terusan Suez. Dalam erti kata lain, Zionis diiktiraf sebagai orang tengah oleh British untuk mengeruhkan lagi keadaan di Palestin yang dimiliki oleh Uthmaniyah semasa Perang Dunia Pertama, demi mempertahankan matlamat ekonomi British di Mesir. Ini kerana selepas Perang Dunia Pertama, Britain telah menggantikan Turki Uthmaniyah sebagai kuasa dominan di Timur Tengah.
– Matlamat kepentingan ekonomi British pula selaras dengan justifikasi pemikiran pemimpin Zionist bahawa “kejayaan projek Zionis di Palestin bergantung kepada satu atau lebih kuasa besar”. Pemimpin Zionis seperti Jabotinsky contohnya menegaskan, kedudukan geografikal Palestin di pantai Mediterranean membolehkan Eropah turut mendapat manfaat dengan syarat Palestin perlu diduduki oleh majoriti Yahudi. Weizmann pula menegaskan kependudukan Yahudi di Palestin dapat memainkan peranan berkhidmat sebagai pos atau markaz tentera serantau bagi mempertahankan Terusan Suez. Keadaan ini secara tidak langusng membangkitkan kemarahan pemimpin Arab Serantau terhadap kuasa Barat. Justeru, Zionis turut menggunakan kebangkitan Arab untuk memberi tekanan pula kepada British, sebagai desakan mendapatkan kedaulatan Zionis di Palestin.
-Buktinya, apabila British menghadapi tekanan dengan krisis Palestin-Zionis khususnya apabila pemimpin Arab Palestin menentang keputusan pemisahan dua buah negara (negara Arab Palestin-Negara Yahudi) oleh Suruhanjaya Peel tahun 1937, British meminda kembali Deklarasi Balfour menerusi pengyistiharan Kertas Putih tahun 1939. Kertas Putih 1939 bertujuan memerdekakan Palestin dengan majoriti kependudukan Arab dalam tempoh 10 tahun selepas tamat mandat pemerintahan British di Palestin. Keadaan ini seterusnya mencetuskan perasaan tidak puas hati Zionis yang bertindak mempergiatkan imigrasi haram, berterusan membeli tanah di Palestin dan menyerang pegawai British di Palestin sepanjang tempoh transisi tersebut. British kemudiannya menyerahkan urusan Palestin kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang membuat keputusan pada 29 November 1947 mewajarkan semula keputusan Suruhanjaya Peel 1937 berhubung pemisahan dua negara. Tindakan British yang tidak memiliki tanggungjawab moral terhadap urusan rakyat Palestin seterusnya menyebabkan Ben Gurion mengumumkan penubuhan negara haram Israel pada 15 Mei 1948. Justeru pandangan Balfour bahawa beliau lebih mengetahui keadaan atau nasib masyarakat peribumi di Timur atau negara Islam pada awal abad ke-20 sangat meleset dan hanya memperlihatkan kedangkalan percaturan British. Kedangkalan tersebut dimanfaatkan oleh Zionis yang berterusan melakukan pembersihan etnik dan genosid kepada masyarakat Arab Palestin.
Ilan Pappe. 2006. A History of Modern Palestine. Cambridge: Cambridge University Press.
Norman G. Finkelstein. 2003. Image and Reality Of The Israel-Palestine Conflict. London: Verso
Avi Shlaim. 1988. Collusion Across the Jordan: King Abdullah, the Zionist Movement, and the Partition of Palestine. New York: Columbia University Press.
Ilan Pappe. 2006. The Ethnic Cleansing of Palestine. London: Oneworld Publications.
Edward W. Said. 1995. Orientalisme. London: Penguin Books.