*Oleh: Jacqueline Salomi:)
Herodotus adalah pelopor utama pensejarahan zaman klasik yang terlibat dalam bidang historiografi. Herodotus dilahirkan pada sekitar tahun 484-425 SM di wilayah Halicarnassus yang kini merupakan Bodrum di Turki. Beliau adalah anak kepada Lyxes yang dikatakan berasal dari keluarga yang berpengaruh. Sepanjang kehidupannya, Herodotus telah menulis sebanyak sembilan buah buku. Beliau dianggap sebagai “Bapa Sejarah” dalam budaya Barat kerana beliau berpandukan kepda daya usahanya untuk membuat penyelidikan mengenai Perang Parsi. Karya tersebut ialah Histories yang merangkumi penyelidikan terhadap sejarah lalu. Disebabkan itu, perkataan “History” atau “Sejarah” diambil serta digunapakai sehingga hari ini.
Sumber lisan pula telah menjadi asas kepada kaedah penyelidikan beliau. Kaedah yang digunakan adalah dengan menemubual responden atau saksi-saksi yang terlibat dalam peperangan tersebut. Beliau akan bertanya kepada ramai orang sehingga beliau menemui jawapan terhadap perkara yang ingin diketahuinya. Contohnya, beliau kerap membandingkan maklumat-maklumat yang diperoleh daripada seorang dengan responden yang lain. Hal ini membuktikan bahawa beliau bersifat kritis dalam melaksanakan penyelidikannya.
Disebabkan ilmu pensejarahan ketika zamannya masih berada pada tahap asas ekoran ketiadaan sumber bacaan yang banyak, masyarakat Yunani ketika itu amat menggemari karya Homer bertajuk Iliad dan Odessey yang menceritakan kepahlawanan dalam bentuk puisi. Perkembangan tersebut menyebabkan Herodotus mengaitkan motif pensejarahan dengan menerapkan unsur hiburan kepada karyanya. Hal ini kerana, karya beliau dipengaruhi dengan unsur-unsur puisi dan sastera. Meskipun pendekatan Herodotus tersebut menerima banyak kritikan, namun karya beliau masih boleh diterima sebagai sebuah karya pensejarahan.
Herodotus menulis karyanya tanpa dorongan atau pengaruh mana-mana pihak. Sebaliknya, ia didorong oleh minat serta keinginan beliau yang mendalam terhadap pensejarahan dengan harapan generasi akan datang mengetahui peristiwa yang berlaku. Motif sebenar Herodotus menghasilkan penulisan dapat dilihat dalam mukaddimah penulisannya.
Jelasnya, Herodotus memberi sumbangan dalam bentuk penyelidikan yang sistematik bagi mencari penjelasan sahih dan mempunyai pemikiran kritis. Pendekatan Herodotus menyebabkan beliau dianggap sebagai penggerak kepada pensejarahan pada zaman klasik serta dapat membantu penyelidikan sejarah sehingga hari ini.
Arba’iyah Mohd Noor. 2006. Ilmu Sejarah dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bury J.B. 1958. The Ancient Greek Historians. New York: Dover Publications.
Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya. 1988. Sejarawan dan Pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.